Ekzema adalah penyakit kulit yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di setiap peringkat umur, bermula bayi sehingga orang tua.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan masalah ekzema dan cara untuk merawatnya.
Baca juga:
Apa itu ekzema
Ekzema adalah keadaan kulit yang menjadi kering, gatal dan mudah merengsa. Masalah ini boleh terjadi kepada golongan kanak-kanak mahupun orang dewasa dari tahap yang ringan sehingga paling teruk.
Bayi yang baru lahir boleh mengalami masalah kulit ini pada minggu dan bulan pertama selepas dilahirkan.
Kanak-kanak yang mengalaminya akan mendapatkan tompok kulit yang sangat kering; kulit gatal yang menyebabkan lepuh dan jangkitan kulit akibat menggaru secara berlebihan.
Orang dewasa yang mengalaminya lebih cenderung berlaku apabila seseorang berumur 20-an atau lebih 50 tahun.
Individu yang menghidap ekzema, kulitnya tidak boleh menyimpan kelembapan dengan baik menyebabkan ia mudah kering dan merengsa.
Apabila anda gunakan apa-apa produk perawatan kulit, ia akan memberi kesan sampingan yang lebh teruk.
Di mana kulit anda akan bertindak balas dengan bahan kimia produk sehingga menyebabkan anda ingin selalu menggaru. Menggaru menjadikan kulit anda lebih gatal sebenarnya.
Jenis-jenis ekzema
Terdapat tujuh jenis ekzema yang perlu anda tahu. Berikut adalah penjelasan lengkapnya:
1. Dermatitis atopik (Atopic dermatitis)
Dermatitis atopik adalah jenis yang paling biasa. Orang yang mengalami dermatitis atopik juga boleh melemahkan sistem imun.
2. Dermatitis kontak (Contact dermatitis)
Jika kulit meradang atau merengsa selepas bersentuhan dengan bahan, anda mungkin mengalami dermatitis kontak
3. Ekzema dishidrotik (Dyshidrotic eczema)
Ekzema dishidrotik menyebabkan lepuh kecil pada tangan, kaki dan tepi jari tangan dan kaki.
4. Neurodermatitis
Kegatalan yang teruk yang boleh muncul di mana-mana. Ia paling biasa berlaku pada kaki, buku lali, tangan, pergelangan tangan, siku, bahu, leher dan kulit kepala.
Bahagian yang terjejas sering kelihatan kerana garis kulit, sisik, dan perubahan warna yang terbentuk daripada kegatalan yang berlebihan.
5. Ekzema nummular (Nummular eczema)
Tompok bulat yang berselerakan selalunya merupakan tanda ekzema nummular.
Selalunya, tompokan ini meleleh atau boleh menjadi sangat kering dan sensitif.
6. Dermatitis seborrheic (Seborrheic dermatitis)
Dermatitis seborrheic biasanya merosakkan kulit kepala. Mereka yang mengalami keadaan ini sering mengalami gatal-gatal yang berterusan, ruam di sekitar kulit kepala, dan gejala lain.
7. Dermatitis stasis (Stasis dermatitis)
Dermatitis stasis (juga dipanggil dermatitis graviti, ekzema vena dan dermatitis stasis vena) berlaku apabila terdapat peredaran yang lemah di kaki.
Punca ekzema
Sebenarnya, tiada punca “utama” seseorang itu berisiko menghidap ekzema.
Namun punca yang paling biasa adalah kerana genetik keluarga, sistem imun, faktor persekitaran dan tekanan persekitaran tertentu.
1. Sistem imun yang terlalu aktif
Dermanitis atopik berlaku kerana sistem imun yang terlalu aktif lalu menyebabkan kulit menjadi kering dan gatal.
Keadaan ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan dan mempunyai simptom yang berbeza-beza.
2. Genetik
Faktor genetik juga berpotensi untuk ekzema. Hal ini kerana wujudnya komponen genetik yang berpotensi untuk ekzema yang dipanggil sebagai “filaggrin”.
Tugas “filaggrin” adalah membantu mengekalkan kelembapan dalam kulit anda. Apabila “filaggrin” kurang dalam badan, ia akan menyebabkan kulti lebih kering dan gatal.
3. Faktor persekitaran
Faktor persekitaran ini termasuklah dari segi gaya hidup, cuaca, pencemaran, dan sebagainya.
4. Punca-punca lain
Masalah kulit ini juga boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti penggunaan produk tertentu yang tidak sesuai pada kulit, hama habuk dalam ruangan kotor, sentuhan kepada bahan kimia dan logam, dan pendedahan berpanjangan kepada udara kering, haba melampau atau sejuk.
Tanda-tanda ekzema
Setiap orang akan menghadapai tanda atau simptom ekzema yang berbeza-beza.
Rutin penjagaan kulit setiap individu juga akan memberi kesan pada bahagian kulit yang terjejas secara berbeza.
Antara simptom ekzema termasuklah seperti:
- Gatal
- Kulit kering dan sensitif
- Kulit yang meradang dan berubah warna
- Kulit kasar atau kelihatan seperti tompok bersisik
- Berair atau berkerak
- Bahagian badan membengkak
Sesetengah orang mungkin tersalah anggap simptom psoriasis sebagai ekzema, walaupun kedua-dua keadaannya adalah berbeza.
Bahkan sesetengah penghidap ekzema juga kadang kala keliru simptom mereka serupa dengan demam hay, alahan asma, dan alahan makanan.
Cara merawat dermatitis atopik
Umumnya, ekzema tidak mempunyai ubat-ubatan penyembuh untuk sembuh secara menyeluruh kerana masalah ini boleh berulang semula lagi.
Namun terdapat pelbagai cara untuk merawat ekzema dengan baik. Doktor biasanya akan memberikan ubat berkrim yang mengawal kegatalan dan membantu membaiki kulit.
Ini kadangkala digabungkan dengan rawatan lain seperti tabiat penjagaan diri dan sebagainya.
Anda mungkin perlu mencuba pelbagai rawatan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk mengawal masalah kulit ini.
Jika ekzema menjadi teruk seperti berair, bergelembung air, bengkak, bernanah dan berbau, berjumpalah pakar kulit untuk diperiksa lebih lanjut untuk mendapatkan ubat antibiotik.
Bila perlu jumpa doktor
Anda perlu berjumpa dengan doktor sekiranya anda mengalami ketidakselesaan dan kesakitan sehingga menghalang diri untuk beraktiviti seperti biasa.
Jangkitan kulit yang teruk terumanya sehingga berdarah, bernanah serta disertai dengan gejala demam dan sebagainya, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Kesimpulannya, penjagaan kulit yang betul dan konsisten adalah penting dalam pencegahan dan pengurusan ekzema.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan masalah ekzema dan rawatannya dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Eczema (Atopic Dermatitis): Causes, Symptoms, and Treatment. National Eczema Association
- Eczema – Symptoms, Causes and Treatment. Healthdirect
- Anda Menghidap Ekzema? Kenali Simptom Dan Cara Mencegahnya. My Sihat