e-Lejar ialah satu kemudahan yang disediakan kepada pembayar cukai untuk menyemak Butiran Peribadi, Transaksi Lejar dan Kedudukan terkini baki cukai.
Malangnya, tidak ramai yang tahu akan kewujudan kemudahan e-Lejar ini.
Bagi yang tahu pula, tidak ramai yang benar-benar memanfaatkannya dengan sebaiknya.
MyTax: Portal pusat sehenti LHDN
MyTax merupakan sebuah portal baharu yang bertujuan untuk menyediakan orang ramai akses mudah kepada pelbagai maklumat berkaitan cukai dan data interaktif dari satu tempat dan dengan satu log masuk.
MyTax boleh diakses melalui laman web dan aplikasi mudah alihnya sendiri,
Antara kemudahan yang disediakan termasuk butiran seperti transaksi lejar, status pembayaran balik pinjaman dan potongan cukai bulanan.
Pengguna MyTax juga akan mempunyai peti mel dan akses ID mereka sendiri kepada pelbagai perkhidmatan LHDN.
Beberapa perkhidmatan yang boleh anda gunakan daripada portal ini termasuk byrHASIL, e-Filing, e-Daftar, e-Lejar dan e-Kemaskini.
Manfaat penggunaan
Apakah manfaat kemudahan e-Lejar ini?
- Pembayar cukai dapat menentukan sama ada butiran peribadi seperti alamat dan nombor akaun telah direkodkan dengan betul oleh pihak LHDNM.
- Melalui paparan transaski lejar, pembayar cukai dapat menyemak rekod transaksi percukaian seperti taksiran cukai, bayaran cukai dan pembayaran balik cukai.
Dengan menggunakan kemudahan e-Lejar LHDNM ini, ianya akan memudahkan anda membuatkan semakan transaksi percukaian dan mengelakkan sebarang kecuaian.
Malangnya, ramai yang tidak tahu kewujudan kemudahan lejar percukaian ini walaupun kemudahan ini sebenarnya telah diwujudkan sejak tahun 2010 lagi.
Cara muat turun e-Lejar
Bagi yang ingin memuat turun, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Buka pelayar internet anda dan layari mytax.hasil.gov.my
- Log Masuk akaun anda (perhatikan kotak bahagian atas kanan)*
- Setelah masuk ke dashboard akaun anda, klik pada “Status MyTax” (lihat gambar di atas)
- Kemudian pilih “Lejar”
- Boleh pilih sama ada untuk melihat e-Lejar “Cukai Pendapatan” atau “Cukai Keuntungan Harta Tanah”
- Pilih tahun cukai
- Klik pada butang “Cetak”
*Sekiranya anda baru pertama kali menggunakan web Mytax, sila baca panduan MyTax Hasil: Cara Daftar & Login e-Filing Kali Pertama terlebih dahulu.