Doa Selamat Haji: Bacaan Doa & Kepentingannya

Doa selamat Haji
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bagi anda yang bakal melakukan ibadah Haji atau mempunyai orang terdekat yang bakal melakukannya, berikut kami kongsikan dengan anda, doa selamat yang boleh dibaca bagi memohon kelancaran dan kemudahan sewaktu beribadah nanti.

Jika anda berminat untuk tahu lebih lagi, pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini.

Apa itu Haji?

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima dan wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. 

Ibadah ini perlu dilakukan dengan mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulanhaji bagi mengerjakan ibadah-ibadah tertentu, menurut syarat-syarat dan rukun-rukun yang telah ditetapkan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. 

Pada tahun 2025 ini, ibadah Haji dijadualkan berlangsung dari 4 Jun hingga 10 Jun 2025. Berikut adalah tarikh-tarikh penting yang perlu diketahui oleh bakal jemaah haji:

  • 4 Jun 2025
    • Ibadah Haji bermula di Mina
  • 5 Jun 2025
    • Wukuf di Arafah.
  • 6 Jun 2025
    • Hari Raya Aidiladha bagi semua umat Islam.
  • 7-10 Jun 2025
    • Jemaah melontar ketiga-tiga Jamrah  dan menyelesaikan baki amalan haji.
ibadah haji

Apa itu Doa Selamat Haji?

Doa selamat haji adalah doa yang dipanjatkan untuk memohon keselamatan, kemudahan, keberkatan, dan haji yang mabrur bagi para jemaah haji. Ia merupakan satu doa yang kebiasaannya dibaca sebelum atau sepanjang perjalanan haji.

Dengan membaca doa ini juga, kita memohon agar Allah S.W.T menerima ibadah haji yang dilakukan dan mengampuni segala dosa kita semua:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيْمِ

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Ya Allah, dengan hati yang penuh khusyu’ dan tawadhu’, kami bersyukur kepada-Mu kerana dengan keizinan dan kurniaan-Mu maka dapatlah kami berhimpun sempena Pemergian (nama bakal haji) bersama keluarga, yang akan berangkat menunaikan ibadah haji pada hari yang mulia ini, diserikan dengan hamparan petunjuk, keredhaan dan keberkatan daripada-Mu ya Allah.

اللَّهُمَّ يَا أَكْرَمَ اْلأَكْرَمِيْنَ

Ya Allah, berikanlah keselamatan dan perlindungan kepada mereka semasa pergi dan kembali daripada menunaikan ibadah umrah/haji ini, juga keselamatan buat anak-anak serta harta benda yang ditinggalkan. Jauhkanlah mereka dari perasaan resah gelisah, gangguan kesihatan dan tidak selesa. Kukuhkanlah keimanan dan keyakinan serta peliharalah mereka dengan permudahkanlah segala urusan, keselamatan zahir dan batin, harta benda serta keamanan di sepanjang perjalanan untuk menuju ke rumah-Mu, Baitullahil Haram serta mengunjungi ziarah makam nabi kami, Muhammad S.A.W.

اللَّهُمَّ يَا حَنَّانُ يَا مَنَّانُ يَا بَديعَ السَّمَـٰوَاتِ وَاْلأَرْضِ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ

Kami juga memohon, peliharalah mereka dari segala mara bahaya, penyakit dan perasaan duka. Kurniakanlah kepada mereka umrah/haji yang mabrur. Amalan-amalan yang diterima, ziarah yang aman, doa-doa yang dimakbulkan serta dosa-dosa yang diampunkan.

اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِى أَهْلِنَا وَأَمْوَالِنَا وَأَوْلاَدِنَا وَأَصْحَابِنَا، اللَّهُمَّ احْفَظْهُمْ وَإِيَّاهُمْ مِنْ آفَاتِ الدُنْيَا وَعَاهَتِهِ، سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَلَنَا هَذَا وَمَا كُنَّالَهُ مُقْرِنِينَ وَإنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْناَ عَلَى اللهِ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إلاَّ بِاللهِ، بِسْمِ اللهِ مَجْرِيهَا وَمُرْسَاهَا إِنَّ رَبِّى لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ، وَمَا قَدَرُوا اللهَ حَقَّ قَدْرِهِ، رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله ُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

Aamiin.

Sumber: Jemaah Haji Malaysia 1445H/2024M 1446H/2025M

Kelebihan Membaca Doa

Berikut merupakan beberapa kelebihan yang diperoleh apabila anda membaca doa selamat Haji sebelum melakukan ibadah tersebut:

  • Memperoleh perlindungan Allah dari segala bentuk musibah sepanjang perjalanan haji.
  • Memperoleh kelancaran dalam segala urusan ibadah haji.
  • Menyerahkan sepenuh pergantungan kepada Allah dalam urusan dunia dan akhirat.
  • Menguatkan hubungan kekeluargaan dan ukhuwah sesama Muslim.
  • Memberi ketenangan rohani dan emosi kepada jemaah haji dan keluarga mereka.
  • Mendoakan agar ibadah haji diterima dan menjadi haji yang mabrur, yang membawa keampunan dan keberkatan.
haji

Tips Kekal Cergas Sewaktu Ibadah Haji

Bagi anda yang bakal melaksanakan ibadah Haji ini, berikut kami kongsikan beberapa tips untuk kekal cergas sepanjang anda menjalankan ibadah ini

  • Pastikan kesihatan fizikal dalam keadaan baik sebelum berangkat melakukan ibadah.
  • Amalkan pemakanan yang seimbang dan pastikan anda meminum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
  • Pastikan anda memperoleh rehat yang secukupnya pada waktu yang ditetapkan agar anda dapat melakukan aktiviti lain.
  • Jaga kebersihan diri untuk mengelakkan penyakit.
  • Sentiasa berdoa dan memohon kekuatan dari Allah SWT.
  • Ikuti arahan dan panduan dari pihak pengurusan haji untuk keselamatan dan keselesaan sepanjang ibadah.
Sumber: fotoBERNAMA (2024)

Maklumat Lanjut

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Haji 2025/1446H, sila layari laman web rasmi Tabung Haji atau ikut media sosial rasmi Tabung Haji. 

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Artikel berkaitan: