Doa Orang Meninggal & Adab-Adab Menziarahi Jenazah

Doa Orang Meninggal
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Doa Orang Meninggal & Adab-adab Menziarahi/Menghadapi Kematian

Apabila bercakap mengenai kematian, ia pasti cukup menginsafkan dan mengingatkan diri bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini.

Justeru, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda beberapa bacaan doa orang meninggal yang boleh anda amalkan dalam kehidupan seharian.

Kaitan doa orang meninggal dan pahala

Hanya ada tiga perkara yang dibawa apabila kita mati kelak seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis;

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.”

Riwayat Muslim (1631)

3 perkara tersebut ialah: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak soleh/solehah.

BACA JUGA: Doa Ibu Bapa – Panduan Bacaan Rumi Beserta Makna

Hakikat sebuah kematian

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan mati. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran, ayat 185:

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari Kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan.”

Ayat ini jelas menyatakan bahawa kematian adalah suatu hal yang pasti dialami oleh setiap makhluk yang bernyawa, dan pada hari kiamat akan diberikan balasan sesuai perbuatan mereka di dunia.

Doa Orang Meninggal & Adab-adab Menziarahi/Menghadapi Kematian

Adab-adab menziarahi jenazah

1. Apabila mendengar berita kematian, ucapkanlah istirja’, إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ. 

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَاأَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

2. Menunaikan solat jenazah.

Daripada Abu Hurairah RA: 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”

 Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)

RUJUK: Solat Jenazah – Niat & Panduan Bagi Jenazah Lelaki dan Wanita

3. Tidak Meratap.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ

Maksudnya: “Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.”

Riwayat Muslim (67)

4. Tidak Bercakap Buruk Mengenai Si Mati. 

Apabila menziarahi kematian, janganlah bercakap buruk mengenai si mati atau mencanangkan aib-aibnya terdahulu. Berkatalah yang baik, ingatlah kebaikannya. 

5. Mendoakan. 

Doa adalah merupakan hadiah yang terbaik untuk si mati. Berdoalah untuk si mati agar mendapat ampunan, rahmat, dan tempat yang baik di akhirat kelak. Anda boleh rujuk beberapa senarai Doa Orang Meninggal seperti di bawah.

Doa orang meninggal dunia

Berikut adalah antara doa orang meninggal dunia yang boleh anda bacakan:

Doa orang meninggal 1:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. – Riwayat Muslim (963)

Doa orang meninggal 2: 

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.” – Riwayat Abu Daud (3201) 

Doa orang meninggal 3:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.” – Riwayat Abu Daud 3201, al-Turmudzi (1204) al-Nasai (1986), Ibn Majah (1498) dan lain-lain.

Doa orang meninggal 4: (untuk ibu bapa yang telah meninggal)

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya penghitungan amal serta pembalasan.” – Surah Ibrahim:41

Doa orang meninggal 5: (untuk ibu bapa yang telah meninggal)

رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيّ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku.” – Surah Nuh:28

Doa orang meninggal 6: 

 رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” – Surah al-Hasyr: 10

Penutup

Akhir kata, kita semua pasti akan merasai kematian. Marilah kita memperbanyakkan amal dan melazimi taubat untuk memohon keampunan kepada Allah.

Perbanyakkan juga doa untuk orang meninggal khususnya kepada ibu bapa dan sanak saudara, semoga Allah memberikan kita kematian yang baik. Amin.

 Untuk mendapatkan lebih banyak lagi perkongsian berkenaan dengan ilmu agama dan soal jawab berkenaan fiqh dari sudut pandang Mufti, anda boleh ikuti kami di e-Central (Agama) dan Taqwa.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri KE-268: Doa Untuk Ibu Bapa Yang Telah Meninggal. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Bayan Linnas Siri Ke-13: Adab Islam Bagi Menghadapi Kematian. Mufti Wilayah Persekutuan
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut