Doa Nabi Ayub – Memohon Kesembuhan Daripada Penyakit
Nabi Ayub adalah merupakan salah satu nabi yang termasuk dalam senarai 25 rasul yang wajib diketahui. Kisah Nabi Ayub terkenal dengan kesabaran dan ketabahannya dalam menghadapi ujian yang Allah berikan kepadanya.
Salah satu ujian terbesar Nabi Ayub adalah penyakit yang parah menimpanya. Namun Ayub tetap bersabar berdoa agar diberikan kesembuhan serta tidak lekang memohon ampun kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda:
أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
Maksudnya: “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”
Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi.
Siapakah Nabi Ayub?
Nama penuh Nabi Ayub ialah Ayyub AS bin ‘Amush bin Zarih bin al-Aish bin Ishaq bin Ibrahim. Nabi Ayyub dikurniakan harta yang melimpah ruah oleh Allah SWT. Antara hartanya ialah binatang ternakan, hamba sahaya, dan tanah yang luas di al-Tsaniyah (الثَّنية) di daerah Huran (حُورَانَ).
Walaubagaimanapun, kenikmatan-kenikmatan itu diambil daripadanya dan beliau diuji dengan pelbagai musibah. Nabi Ayyub AS menderita penyakit yang kronik sehingga semua orang menjauhinya kerana merasa jijik. Tidak ada seorang pun yang mahu mendekatinya kecuali isterinya.
Namun begitu, Nabi Ayyub AS sentiasa bersabar mengharapkan pahala daripada Allah. Beliau sentiasa berzikir kepada Allah di waktu malam, siang, pagi dan petang hari.
Isterinya pernah berkata: “Wahai Ayyub, sekiranya engkau berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kelapangan bagimu.”
Namun, Nabi Ayyub AS menjawab: “Aku telah menjalani hidup dengan sihat selama tujuh puluh tahun. Sangat sedikit sekali bagi Allah bila aku bersabar untuk menghadapi ujian ini selama tujuh puluh tahun.”
Si isteri tersentak mendengar ungkapan Nabi Ayyub AS.
Disebabkan kesukaran hidup, isterinya mengambil upah dengan bekerja dengan orang lain. Sehinggalah satu masa, dia tidak lagi menemui orang yang mahu mengambilnya bekerja. Lalu, dia menjual tocang rambutnya untuk membeli makanan yang baik dan banyak sehingga kepalanya botak.
Doa Nabi Ayub
Apabila mengetahui hal tersebut, Nabi Ayyub AS berdoa sepertimana firman Allah SWT:
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.
(Surah al-Anbiya’: 83)
Teladan Kisah Nabi Ayub
Kisah Nabi Ayub adalah salah satu contoh teladan tentang kesabaran, keimanan, dan keteguhan hati dalam menghadapi ujian daripada Allah. Berikut adalah beberapa pelajaran yang dapat dipetik dari kisah Nabi Ayub:
1. Kesabaran dalam Menghadapi Ujian
Nabi Ayub menunjukkan kesabaran yang luar biasa meskipun mengalami ujian yang sangat berat; kehilangan harta dan keluarganya serta diuji dengan sakit yang parah. Kesabaran ini menjadi teladan bagi kita agar tetap tabah menghadapi ujian hidup.
2. Keteguhan Iman
Walaupun dalam keadaan yang diuji, Nabi Ayub tetap teguh dalam imannya kepada Allah. Ia tidak pernah mengeluh atau meragukan keadilan dan kasih sayang Allah, melainkan terus berserah diri dan memohon pertolongan kepada-Nya.
3. Kekuatan Doa dan Taubat
Nabi Ayub menunjukkan kekuatan doa dan taubat dalam menghadapi ujian Allah SWT.
4. Tawakkal kepada Allah
Nabi Ayub menunjukkan kepercayaan yang mendalam kepada Allah dengan bertawakal sepenuhnya dalam setiap keadaan. Nabi Ayub tidak putus asa dan mempercayai perancangan Allah.
Penutup
Inilah doa Nabi Ayub A.S ketika baginda menghadapi penyakit kulit yang agak dahsyat. Sekiranya anda diuji dengan sakit, anda boleh cuba amalkan doa Nabi Ayub ini.
Semoga dengan keyakinan dan keimanan yang teguh, Allah memberikan kesihatan yang baik semula. Amin.
RUJUKAN: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2914-al-kafi-979-sakit-nabi-ayyub-as