Doa Haji Mabrur & Tanda-tanda Haji Mabrur

Doa Haji Mabrur & Tanda-tanda Haji Mabrur
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Doa Haji Mabrur & Tanda-tanda Haji Mabrur

Menunaikan ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima. Ia merupakan impian semua umat Islam di dunia. 

Tahniah diucapkan kepada dhuyuf al-Rahman (tetamu-tetamu Al-Rahman) yang telah dapat dan diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Kota Mekah dan Madinah yang penuh berkat. 

BACA JUGA: Koleksi Ucapan Selamat Menunaikan Ibadah Haji

Maksud Haji

Haji adalah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan haji untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syarat dan rukun-rukun yang telah ditetapkan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. 

Dari segi bahasa, haji berasal daripada perkataan Arab “hajj” (حج) yang bermaksud ziarah ke tempat tertentu dalam waktu yang ditetapkan untuk menunaikan kewajipan agama. 

Dalam konteks syarak, haji adalah salah satu daripada lima Rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Apa Maksud Haji Mabrur?

Dari segi bahasa mabrur berasal daripada kata dasar al-bir yang bermaksud ketaatan dan ketelusan. Kalimah ini juga bermakna penerimaan dan kebaikan yang banyak. 

Imam Fudhail bin Iyad berkata “Haji Mabrur ialah haji yang tidak ternoda dengan dosa sedikit pun ketika melaksanakannya.” Pendapat ini juga turut dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.

Menurut Imam al-Qurtubi pula, “Haji Mabrur ialah haji yang dilaksanakan dengan sempurna dan bertepatan dengan setiap hukum dan ketentuan yang telah ditetapkan.”

Haji Mabrur juga adalah satu-satunya haji yang diterima oleh Allah SWT. Sesiapa yang memperolehinya, maka balasan syurga telah menanti untuknya di akhirat nanti. 

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah Radiallahu anhu bahawa Nabi SAW telah bersabda:

اَلْعُمْرَةُ إِلَى اَلْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا, وَالْحَجُّ اَلْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا اَلْجَنَّةَ

Maksud: “Umrah ke satu umrah menghapuskan apa yang ada antara kedua-duanya, dan haji mabrur tidak ada balasan (yang layak) baginya melainkan syurga.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1773 dan Muslim, 1349)

Doa Haji Mabrur

Berikut ialah antara doa yang anda boleh ucapkan untuk memohon agar dikurniakan haji yang mabrur:

DOA HAJI MABRUR – VERSI PANJANG

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

DOA HAJI MABRUR – VERSI PENDEK

اللهم اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُورًا وَذَنْبًا مَغْفُورًا وَسَعْيًا مَشْكُورًا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah ia (ibadah haji ini) sebagai haji yang mabrur, dosa yang diampuni dan usaha yang disyukuri.”

Persiapan Sebelum Menunaikan Haji – Mufti WP

1. Taubat: Sebelum melangkah kaki ke Mekah, mohonlah taubat kepada-Nya, istighfar, dan mohon maaf kepada semuanya. Biarlah hati kita datang ke Kota Mekah dengan sifar dosa dan jernih serta tulus hati.

2. Belajarlah Manasik Haji: Ini amat penting agar ibadat haji yang kita lakukan ‘عَلَى بَصِيرَة’ dengan penuh yakin dan ilmu. Banyak sekali ibadah dilakukan tetapi akhirnya sia-sia. Ini kerana dilakukan dalam keadaan jahil dan taqlid buta tanpa asas ilmu yang sebenar.

3. Bertanyalah Kepada Yang Tahu: Ini kerana banyak kali kita berasa kita tiada ilmu ketika berada dalam situasi tertentu. Alhamdulillah, Tabung Haji dan pakej haji telah menyediakan guru yang bertauliah. Justeru, inilah peluang untuk bertanya kepada mereka. Elakkan bertanya kepada ‘guru-guru sesama sendiri’ kerana dibimbangi bercanggah dengan jawapan yang sebenarnya. Ini mengakibatkan kesusahan kepada kita.

4. Bertolak Ansur Dan Saling Memaafkan: Sama ada sesama rakan taulan atau keluarga seperti suami isteri, ibu bapa, anak-anak, semuanya berpotensi dengan risiko pergaduhan. Inilah ujian terbesar dalam melaksanakan haji secara berjemaah atau keluarga.

5. Elakkan Banyak Berdebat Dan Bercakap: Ini kerana boleh melukakan perasaan, berlaku ghibah, kata nista dan sifat-sifat yang mazmumah. Sepatutnya kita isi dengan ibadat.

6. Benyakkan Baca Al-Quran, Zikir, Solat Dan Tawaf: Dalam erti kata yang lain, gunakan peluang dan masa ketika berada di Kota Mekah dan Madinah dengan acara ibadat. Inilah kekuatan sebenar haji.

7. Sentiasalah Berniat Yang Baik Dan Perbaiki Hati: Inilah peluang untuk menjadi seterbaik mungkin selepas selesai haji. Ini kerana latihan pembersihan hati atau ‘تَصْفِيَةُ القُلُوب’ akan menatijahkan ‘akhlak yang unggul’ selaras dengan kehendak Nabi SAW untuk menyempurnakan ‘مَكَارِمُ الأَخْلَاق’.

BACA JUGA: Hari Raya Haji 2026: Tarikh Cuti Umum & Cuti Sekolah

Tanda-tanda Haji Mabrur – Mufti WP

Al-Imam al-Syaukani Rahimahullah (wafat 1255H) di dalam bukunya Nail al-Awtor menjelaskan bahawa:

  • Ibn Khalawaih salah seorang pakar bahasa Arab berasal dari Yaman (wafat 370H) berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT).
  • Ulama’ lain berpendapat bahawa ia adalah haji yang (pelaksanaannya) tidak dinodai oleh dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh al-Imam al-Nawawi seorang faqih bermazhab Syafi’e dan pakar hadith.
  • Menurut al-Qurtubi, seorang pakar tafsir dan hukum (wafat 671H), pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para pakar tentang haji mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut.
  • Al-Hasan al-Basri memberi jawapan maksud haji mabrur ialah apabila seseorang itu pulang ke tanah wafatnya dengan perasaan zuhud pada dunia dan inginkan akhirat.

Haji mabrur akan tercapai insya Allah apabila pra-syarat haji dipenuhi, antaranya:

  1. Ikhlas semata-mata kerana Allah.
  2. Mengikut segala adab, syarat, rukun dengan sempurna.
  3. Rezeki yang dibawa dan digunakan adalah hala semuanya tanpa ada unsure haram ataupun syubhah.
  4. Berdoa dan mohon kepada-Nya dengan sepenuh hati.
  5. Bermuamalah dengan semua pihak dengan akhlak yang tinggi dan terpuji.
  6. Mengelakkan daripada berlakunya fasiq, berdebat dan perkara yang dilarang.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Nabi saw bersabda:

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya :” Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasiq maka dia akan kembali seperti mana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih dari dosa).” – Riwayat al-Bukhari ( 1819)

Amalan Selepas Menunaikan Haji – Mufti WP

Berikut ialah antara amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh para jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci ialah:

1. Memperbanyakkan zikrullah

Ini sangat bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 200: 

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ

Maksudnya :” Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.” 

2. Memperbanyakkan doa

Berdasarkan firman Allah dalam Surah Ghafir ayat 60: 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

\

Maksudnya :” Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

3. Sentiasa ke masjid dan berjemaah

Amalan ini telah dilakukan sebaik mungkin ketika berada di tanah suci melaksanakan ibadah haji. Maka jangan tinggalkan amalan ini setelah pulang dari haji. 

4. Menjadi agen perubah

Saban tahun, seramai 4 hingga 6 juta Jemaah haji datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan berazam untuk memperbaiki serta mengislah diri. 

Di samping berusaha membina jambatan hubungan dengan Allah (حبل من الله) dan juga jambatan hubungan dengan manusia (حبل من الناس). Ini sudah pasti memberi impak dan kesan yang sangat besar setibanya mereka di tanah air.

  • Ke masjid: Jika Jemaah haji yang pulang komited untuk sentiasa memakmurkan masjid , alangkah indahnya. Bukan itu sahaja, bahkan lebih indah jika mereka mampu untuk mengajak orang lain untuk turut sama memakmurkan rumah Allah. Jika seorang haji boleh mengajak 5 orang untuk memenuhi masjid, sudah pasti setiap qaryah atau taman perumahan akan sentiasa dihiasi dengan orang yang sentiasa melazimi rumah Allah sepertimana suasana di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
  • Infaq dan waqaf: Kalau setiap orang dari kalangan Jemaah haji yang pulang ke tanah air menginfaqkan 100 ringgit sebulan atau mewaqafkan sedikit dari hartanya ke komuniti muslim, maka sudah pasti nilainya akan mencapai jutaan ringit sebulan. Ini boleh menjadi satu sumber bagi menjana aktiviti keagamaan dan ekonomi umat islam.
  • Membina keluarga bahagia: Konsep baiti jannati (rumahku syurgaku) jika dipasak pada setiap Jemaah haji yang pulang dari tanah suci sudah pasti kita akan melahirkan hampir 30 ribu keluarga muslim yang bahagian dan patuh kepada perintah Allah.

Rujukan:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Artikel berkaitan: