Bismillahi Tawakkaltu (بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ) – Maksud & Kelebihan

Doa Bismillahi Tawakkaltu
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Doa yang bermula dengan ayat بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ (Bismillahi Tawakkaltu) merupakan satu doa yang amat digalakkan untuk dibaca oleh setiap umat Islam sewaktu mereka keluar meninggalkan rumah atau tempat tinggal mereka.

Doa ini perlu dibaca agar kita diberikan perlindungan dan keselamatan sepanjang kita berada di luar rumah. Bagi anda yang tidak tahu berkenaan doa ini, teruskan membaca artikel ini. Akan kami terangkan serba sedikit berkenaan doa keluar rumah ini.

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Doa Keluar Rumah (Bismillahi Tawakkaltu)

Rumah merupakan tempat tinggal kita, tidak semua manusia mempunyai rumah, tapi hampir semua pernah atau masih mempunyai rumah. Rumah seharusnya menjadi tempat selamat bagi setiap individu.

Di dalam rumah, kita boleh menjadi diri kita sendiri dan di dalam rumah juga kita dilindungi dari bahaya. Oleh itu apabila kita keluar dari rumah, kita sangat digalakkan untuk membaca doa keluar rumah.

Doa ini perlu dibaca kerana dengan doa ini kita memohon perlindungan diri dan keselamatan kepada Allah S.W.T. sewaktu kita diluar kawasan rumah. Kepentingan membaca doa ini telah diceritakan dalam hadis-hadis di bawah:

Ummu Salamah R.A pernah menyatakan:

ومَا خَرَجَ النَّبِيُّ مِنْ بَيْنِي قَطُّ إِلا رَفَعَ طَرْفَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ اللَّهُمْ أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أَضَلَّ أَوْ أَزِلٌ أَوْ أَزَلْ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أَظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيْ

Maksud: Setiap kali Rasulullah S.A.W keluar dari rumahku, beliau selalu memandang ke arah langit dan berdoa, ‘Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari kesesatan dan menyesatkan orang lain, dari berbuat dosa atau mengajak orang lain berbuat dosa, dari melakukan kezaliman atau dianiaya orang lain, dari menyakiti atau disakiti oleh orang lain.'”

HR Ahmad, at-Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ibnu Majah. Matan dari Abu Dawud

Dari Anas bin Malik, Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ قَالَ « يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِىَ وَكُفِىَ وَوُقِىَ .

Maksud: Jika seseorang keluar rumah, lalu dia mengucapkan ‘Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, laa hawla wa laa quwwata illa billah’, maka dikatakan ketika itu: ‘Engkau akan diberi petunjuk, dicukupkan dan dilindungi’. Malah, Syaitan juga akan menjauh daripada mu. Syaitan yang lain akan menyatakan: ‘Bagaimana engkau ingin mengganggu seseorang yang telah mendapatkan petunjuk, dicukupkan dan dan diberikan perlindungan Allah S.W.T?’

At-Tirmidzi 3348
Doa Bismillahi Tawakkaltu

Lafaz Doa (Bacaan Rumi & Makna)

Berikut merupakan lafaz doa keluar rumah yang bermula dengan ayat Bismillahi Tawakkaltu. Disediakan juga bacaan rumi beserta makna bagi memudahkan anda untuk menghafal dan menghayati erti doa ini:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه

Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah

Maksud : Dengan nama Allah (aku keluar). Aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah.

Dapatkan juga Buku 101 Doa Harian Lengkap Berserta Rahsia Manfaat 99 Asmaul Husna ini untuk menambah pengetahuan anda tentang doa-doa yang boleh anda amalkan setiap hari.

Kelebihan Membaca Doa Keluar Rumah

Bagi anda yang sentiasa mengamalkan doa ini sewaktu anda keluar daripada rumah, berikut merupakan kelebihan dan hikmah yang bakal anda peroleh daripadanya:

  1. Diberikan petunjuk oleh Allah S.W.T atas segala urusan kita
  2. Diberikan perlindungan dari Allah S.W.T sepanjang kita berada di luar kawasan rumah.
  3. Diberikan kecukupan dalam semua perkara
  4. Dilindungi daripada godaan dan kejahatan Syaitan.
  5. Dilindungi dari segala bahaya, musibah dan bala bencana
rumah boboiboy

Baca juga: Doa Khatam Quran : Teks Doa Arab / Rumi Berserta Makna

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut