Format & Contoh Karangan Syarahan

Salah satu jenis karangan yang perlu dikuasai oleh murid di sekolah adalah karangan syarahan.

Berikut merupakan format dan contoh syarahan yang boleh dijadikan panduan.

Mengenai Karangan Syarahan

Karangan syarahan atau pidato merupakan karangan berformat yang merangkumi kata aluan, kata panggilan hormat dan terima kasih.

Karangan ini lazimnya disampaikan untuk pertandingan.

Selain itu, karangan jenis ini membicarakan tajuk yang lebih formal seperti karangan fakta namun dengan format yang berbeza.

Karangan jenis ini memerlukan kata alu-aluan kepada hadirin manakala karangan fakta tidak memerlukan kata alu-aluan tersebut.

Format Karangan Syarahan

Karangan ini merangkumi format berikut:

i) Pendahuluan

Pendahuluan bagi karangan ini adalah kata-kata aluan dan menyatakan tajuk syarahan.

ii) Isi karangan

Isi karangan ditulis dalam beberapa karangan yang merangkumi:

  • Definisi tajuk syarahan
  • Idea dan hujah syarahan

iii) Penutup

Penutup bagi karangan ini disertai dengan seruan mengenai tajuk karangan dan ucapan terima kasih.

Contoh Karangan Syarahan

Contoh karangan ini boleh dilihat menerusi karangan di bawah:

Anda terpilih untuk menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan anda adalah “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.” Tulis karangan berkaitan tajuk tersebut.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana. Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Guar Chempedak, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Berdirinya saya di sini, pada pagi yang mulia ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Alam Sekitar dan Tanggungjawab Bersama.”

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum melangkah lebih jauh, terlebih dahulu izinkan saya mendefinisikan beberapa kata kunci yang terdapat dalam tajuk syarahan saya pada pagi ini. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘alam sekitar’ ditakrifkan sebagao apa-apa yang ada di langit dan di bumi. Perkataan ‘tanggungjawab’ pula ditakrifkan sebagai amanah atau tugas perlu dipikul oleh seseorang sementara ‘bersama’ diertikan sebagai semua pihak yang terlibat. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan alam sekitar ini ialah tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya dipikul oleh orang-orang tertentu sahaja. Ini sesuai dengan kata pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulatkata kerana muafakat.’ Oleh kerana itulah kebersihan dan keindahan alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama.

Kita cukup beruntung kerana memiliki pemimpin yang sedar akan kepentingan keindahan dan kebersihan alam sekitar. Bagaimanakah keadaannya sekiranya kita hidupdalam keadaan yang kotor dan alam yang tercemar? Tentu kita akan berasa tidak selesa dan kesihatan kita akan terganggu. Kita patut bersyukur kerana memiliki bangunan-bangunan pencakar langit, flora dan fauna yang pelbagai dan sebagainya. Justeru. kita perlu menjaga keindahan alam sekitar supaya kita boleh hidup dalam keadaan yang aman dan suasana yang segar.

Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga binatang ternakan di ladang yang luas. Sebaliknya lebih daripada itu, menjaga alam sekitar tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ini bermakna semua manusia atau semua pihak yang berwajib bertanggungjawab mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atau menuding jari ke arah pihak lain sekiranya alam sekitar kita tercemar. Tindakan yang perlu kita lakukan ialah melihat dalam diri sendiri dan perlu bertanggungjawab memulihara alam.

Hadirin yang dikasihi,

Alam sekitar ialah wajah kita sebenarnya. Alam sekitar ialah imej atau cerminan diri kita sendiri. Sekiranya kita menginginkan wajah yang cantik, kita perlu menghias diri kita. Hal yang sama juga boleh diaplikasikan pada alam sekitar, iaitu alam yang cantik akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar datang ke negara kita. Keadaan ini secara tidak langsung akan membantu pertumbuhan ekonomi negara. Negara-negara yang kurang mempunyai sumber alam sebagai hasil pendapatan negara, kini mula beralih ke sektor pelancongan untuk menarik pelabur luar. Oleh itu, amat wajar sekiranya kita mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memajukan negara.

Jika ditanya, siapakah semua pihak itu? Sudah tentu jawapannya merujuk kepada kanak-kanak yang baru dilahirkan sehingga orang tua yang lanjut usianya. Saya melihat tanggungjawab ini cukup besar sifatnya dan menyeluruh. Kanak-kanak perludiberikan pendidikan supaya mencintai alam sekitar. Orang tua pula perlu diingatkan supaya menjadi teladan kepada golongan yang lebih muda tentang kepentingan menjagaalam sekitar. Para pengusaha perlu ingat supaya jangan terlalu memikirkan keuntungan, sebaliknya berusaha mencari jalan untuk menjadikan alam sekitar lebih menarik. Mereka perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk sama-sama memikirkan cara mencantikkan sungai, cara memulihara laut dan pantai atau cara menarik pelabur asing ke negara kita. Pemikiran sebeginilah yang diharapkan agar masyarakat berasa bertanggungjawab dan sumbangan yang bakal diberikan oleh mereka dihargai.

Hadirin yang dihormati,

Berdasarkan hujah-hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak mahu menghidu asap beracun, minum air beracun, dan makan makanan beracun. Tubuh badan memerlukan sumber makanan dan udara yang bersih. Oleh itu, bagi mendapatkan semua perkara tersebut, semuanya bergantung pada alam sekitar yang bersih.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua warga dewan agar sama-sama mempunyai rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar. Sekian, terima kasih.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!