Cendawan Beracun : Ciri-Ciri dan Gejala Keracunan

Pada musim hujan, pasti terdapat banyak cendawan yang tumbuh di sekitar rumah. Walau bagaimanapun, anda perlulah berhati-hati dan jangan tersilap petik cendawan beracun yang tumbuh meliar.

Terdapat lebih 5,000 spesis cendawan di seluruh dunia, namun hanya 10% daripada jumlah ini yang selamat untuk dimakan.

Seseorang juga boleh terdedah kepada keracunan makanan akibat makan cendawan ini.

Jadi, bagaimanakah cara untuk kenalpasti cendawan yang tidak boleh dimakan dan apakah gejala keracunan yang boleh dialami?

Ayuh kita semak bersama-sama.

Ciri-Ciri / Cara Kenalpasti Cendawan Beracun

Antara kes keracunan yang sering berlaku adalah disebabkan oleh cendawan spesis Chlorophyllum Molybdites kerana rupanya yang mirip dengan cendawan busut.

cendawan beracun

Namun, anda juga boleh kenalpasti beberapa ciri cendawan yang tidak boleh makan seperti berikut :

  • Mempunyai selaput putih pada pangkal batang di dalam tanah (Volva)
  • Mempunyai insang berwarna putih
  • Mempunyai cincin pada batang cendawan
  • Sesetengah cendawan mempunyai topi berwarna merah terang
  • Biasanya dijumpai tumbuh secara bersendirian atau berpasangan di atas tanah di kawasan berumput.
cendawan beracun
cendawan beracun
Sumber : Facebook Public Health Malaysia

Gejala Akibat Makan Cendawan Beracun

Antara gejala yang boleh dialami oleh individu yang makan cendawan beracun adalah :

  • Loya dan muntah
  • Fikiran bercelaru atau berhalusinasi
  • Cirit birit yang berterusan dan mungkin menjadi berdarah
  • Gangguan koordinasi otot
  • Sawan
  • Demam
  • Sakit kepala yang teruk

Di samping gejala ini, pengambilan cendawan beracun juga boleh menyebabkan kesan jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang.

Kesan toksin yang teruk daripada cendawan juga boleh menyebabkan kematian.

Ketika anda rasa sukar untuk membezakan antara cendawan yang beracun dan yang boleh dimakan, adalah lebih baik anda elakkannya serta merta.

Warna, rupa bentuk serta bau cendawan juga bukanlah penentu kepada status racun cendawan.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mengelak daripada memetik dan makan cendawan yang tidak diketahui dan jangan sesekali makan cendawan secara mentah.

Memasak cendawan juga tidak menjamin toksin di dalamnya dapat terhapus. Anda juga disarankan untuk berhati-hati ketika membeli cendawan daripada penjual.

Sekiranya anda atau ahli keluarga mengalami gejala ini, segeralah dapat rawatan kecemasan daripada doktor bagi mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.

Sumber : Public Health Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta

Baca Juga : Cendawan Butang : Khasiat, Nutrisi dan Contoh Resepi Ringkas

Bantu kami share artikel ini: