Program Celik Digital merupakan inisiatif penting yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia untuk menilai dan meningkatkan kemahiran digital penjawat awam.
Penilaian dilakukan secara berterusan terhadap penjawat awam dalam usaha kerajaan memastikan 100% penjawat awam mempunyai literasi digital menjelang tahun 2025.
Kemahiran celik digital menjadikan seseorang lebih mudah berhubung, berpengetahuan lebih baik dan lebih maju berbanding individu yang tidak mahir menggunakan internet.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang program ini untuk makluman semua, khasnya penjawat awam yang terlibat.
BACA JUGA: MyDigital ID Malaysia – Cara Pendaftaran & Kelebihan ID Digital
Pengenalan Celik Digital
Celik digital merupakan keupayaan seseorang untuk mencari, menilai dan menggunakan maklumat melalui platform digital seperti Wikipedia dan sebagainya.
Secara khusus, ia adalah kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan komputer dan Internet dalam kehidupan seharian, dalam pekerjaan dan juga pembelajaran (Northstar Digital Literacy).
Pengenalan program ini adalah kesinambungan daripada program Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDigital) yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2021.
Program MyDigital tersebut dilancarkan untuk menetapkan hala tuju ekonomi digital negara dan membina asas untuk memacu inisiatif-inisiatif pendigitalan merangkumi kluster kerajaan, kluster rakyat dan kluster perniagaan.
Pelaksanaan program penilaian ini melibatkan semua Kementerian, Jabatan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah dipertanggungjawabkan untuk menjayakan inisiatif ini dengan melaksanakan program melahirkan penjawat awam celik digital melalui latihan.
Bagi menjayakannya, tahap penguasaan digital penjawat awam terlebih dahulu perlu dinilai menerusi program penilaian yang telah selesai dibangunkan kaedahnya bagi tujuan tersebut.
Objektif Program
Objektif utama program ini adalah bagi merealisasikan aspirasi kerajaan untuk mencapai 100% Penjawat Awam Celik Digital menjelang tahun 2025.
Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) telah dilancarkan pada 19 Februari 2021 bagi menetapkan hala tuju ekonomi digital negara dan membina asas untuk memacu inisiatif-inisiatif pendigitalan.
Salah satu inisiatif MyDIGITAL di bawah Kluster Kerajaan adalah untuk merealisasikan aspirasi 100 peratus penjawat awam mencapai tahap literasi digital menjelang tahun 2025.
Aspirasi yang sama turut ternyata dalam Bidang Keutamaan A, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), di bawah Strategi A1 Mentransformasi Perkhidmatan Awam.
BACA JUGA: ePromise – Sistem Tandatangan Digital Dokumen Perjanjian JPA
Kaedah Penilaian
Program Celik Digital mempunyai dua (2) peringkat:
- Membuat penilaian tahap kematangan celik digital penjawat awam terlebih dahulu melalui platform celik digital (https://www.celikdigital.gov.my)
- Memastikan penjawat awam menghadiri kursus/latihan yang diperlukan
Penilaian melibatkan 50 soalan yang perlu dijawab secara atas talian/online dalam masa 2 jam.
Sekiranya tuan/puan terpaksa berhenti disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan atau talian internet terputus, tuan/puan boleh log in semula dan sambung menjawab soalan seterusnya dengan baki masa yang ada.
Sekiranya melebihi masa dan skor rendah, anda dikira GAGAL. Bagi yang GAGAL, pihak BPSM, KPM akan memanggil anda untuk mengikuti kursus khas.
NOTA: Setiap penjawat awam perlu melaksanakan penilaian melalui platform celik digital hanya sekali. Cadangan kursus/latihan yang perlu dihadiri akan terus dimaklumkan kepada individu.
Maklumat Lanjut
Sekiranya anda ingin mengetahui maklumat lebih lanjut, sila layari portal rasmi https://www.celikdigital.gov.my/, kemudian klik FAQ.
Atau, anda boleh muat turun PDF berikut: