Cash Out Kredit eMadani – Akaun Akan Disekat

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Dah claim eMadani? Ramai yang dah tahu bahawa kredit RM100 ini perlu dibelanjakan secara fizikal. Tapi, ada segelintir yang mencari alternatif untuk menukar ganjaran kredit e-Dompet eMadani RM100 ini kepada wang – aktiviti yang disebut sebagai ‘cash out’.

Tahukah anda, tindakan ini adalah berisiko dan tidak selari dengan hasrat program Kerajaan dalam menyalurkan bantuan ini.

Kenapa begitu?

Jom kami kongsikan selanjutnya.

Pengenalan

Program eMADANI merupakan satu inisiatif Kerajaan yang telah diumumkan di bawah
kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai di samping meringankan beban kewangan rakyat.

Program ini dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia, melalui tawaran kredit
eMADANI bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian fizikal melalui penyedia
perkhidmatan e-dompet yang terpilih.

Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian akan turut menawarkan inisiatif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun, mata ganjaran (reward points) dan ‘coins’.

Anda boleh menggunakan kredit RM100 eMADANI untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit/perniagaan melalui e- dompet pilihan anda, KECUALI:

  • pemindahan “peer-to-peer”;
  • penebusan tunai;
  • bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  • bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  • bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  • pembelian permainan (“games”) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  • bayaran tempat letak kereta dan/atau tol;
  • aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; dan
  • transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.
cash out emadani

Apa Risiko Cash-Out eMadani?

Program eMADANI adalah bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai. Oleh itu, kredit eMADANI hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat atau QR DuitNow.

Jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan “peer-to-peer” eMadani atau penebusan tunai (cash out), pihak Kerajaan boleh mengambil langkah untuk menyekat akaun yang terlibat dan melucut hak kredit mereka.

Anda dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang taktik penipuan oleh ‘scammer’ yang menawarkan penebusan tunai bagi kredit eMADANI atau tawaran-tawaran lain kerana ini akan memberi risiko terhadap kehilangan kredit anda.

Pihak Kementerian Kewangan tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.

Bagi yang belum menebus eMadani, sila rujuk cara daftar di sini :

Hukum Cash Out Kredit eMadani

Berkait isu cash out eMadani ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga telah mengeluarkan satu kenyataan khusus untuk memberi pencerahan kepada rakyat Malaysia.

Sila rujuk soalan dan jawapan berikut:

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum mengenakan caj untuk servis mengeluarkan e-Madani yang bernilai RM100 ke akaun bank.

Selain itu, adakah pengeluaran e-Mdani itu sendiri dibenarkan syarak?

Saya beranggapan bahawa kebanyakan belia melakukan sedemikian secara illegal kerana terdapat terma dan syarat yang tidak membenarkan cash-out.

Mohon penjelasan Datuk Mufti.

Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Mengenakan caj perkhidmatan bagi pertukaran eMADANI kepada bentuk tunai atau pemindahan ke bank simpanan adalah termasuk dalam perbuatan riba yang diharamkan syarak. Hasil caj perkhidmatan yang dikenakan daripada pertukaran ini merupakan wang tidak patuh syariah yang haram digunakan.

Oleh itu, nilai tambahan yang diperoleh wajib dikembalikan kepada pemiliknya. Sekiranya harta tersebut tidak dapat dikenalpasti pemiliknya, maka wajib disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal.

Selain itu, perbuatan cash-out ini juga dikira menyalahi terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Keredaan si pemberi adalah berdasarkan syarat yang ditentukan.

Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka hilang reda atas pemberian tersebut dan mengakibatkan pemberian itu tidak sah mahupun terbatal kerana berlaku tanpa keredaan.

Perbuatan ini juga dianggap melanggar undang-undang yang mana perkara tersebut ditegah syarak tidak kira transaksi itu melibatkan riba atau tidak.

Artikel penuh di pautan berikut:

https://muftiwp.gov.my/…/5800-irsyad-al-fatwa-siri-ke…

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut