Cara Jadi Penderma Organ Melalui MySejahtera

Cara Jadi Penderma Organ
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Cara jadi penderma organ melalui MySejahtera boleh dilakukan dengan mudah melalui pendaftaran dalam aplikasi rasmi kerajaan, bagi membolehkan individu menyatakan persetujuan awal untuk menderma organ dan membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan pemindahan organ. Daftar sekarang di aplikasi MySejahtera : Google Play Store / Apps Store.

Apa itu Derma Organ

Derma organ ialah satu proses perubatan yang melibatkan pendermaan organ atau tisu yang sihat daripada seorang penderma kepada individu lain yang mengalami kegagalan organ.

Proses ini melibatkan dua pembedahan yang berlaku hampir serentak, iaitu satu pembedahan ke atas penderma untuk mengeluarkan organ, dan satu lagi pembedahan ke atas penerima untuk memasukkan organ tersebut.

Dalam konteks perubatan, derma organ merujuk kepada prosedur pembedahan di mana organ atau tisu dikeluarkan daripada seseorang (penderma organ) dan dipindahkan kepada individu lain (penderma) bagi menyelamatkan nyawa atau meningkaykan kualiti hidup pesakit.

Kredit: Dr Dzulkefly Ahmad

Jenis Penderma Organ

Jenis penderma organ secara umumnya terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu penderma meninggal dunia dan penderma hidup.

Kedua-duanya memainkan peranan pening dalam menyelamatkan nyawa pesakit yang mengalami kegagalan organ:

1. Penderma Meninggal Dunia (Deceased Donor)

Penderma organ biasanya ialah individu yang telah meninggal dunia dan telah membuat keputusan untuk menderma organ semasa masih hidup. Bagi jelas ini, organ penderma mestilah berada dalam keadaan sihat dan masih boleh berfungsi.

Namun begitu, tidak semua individu layak menjadi penderma meninggal dunia, terutamanya jika mereka pernah menghidap penyakit atau jangkitan tertentu semasa hidup.

Kebiasaannya, keputusan untuk menjadi penderma organ dibuat lebih awal, contohnya melalui pendaftaran derma organ atau persetujuan keluarga selepas kematian.

2. Penderma Hidup (Living Donor)

Penderma hidup ialah individu yang masih hidup dan berada dalam keadaan kesihatan yang baik tanpa masalah perubatan serius yang boleh menjejaskan keselamatan pembedahan.

Selain itu, penderma hidup perlu menjadi padanan yang sesuai dengan penerima, kerana pemindahan organ tidak akan berjaya tidak serasi.

Pendermaan daripada penderma hidup adalah lebih terhad kerana penderma masih memerlukan organ penting untuk terus hidup, contohnya hanya satu buah pinggang atau sebahagian hati boleh didermakan.

Contoh Organ yang Boleh Didermakan

Organ yang boleh didermakan selepas meninggal dunia:

  • Hati
  • Buah pinggang
  • Pankreas
  • Jantung
  • Paru-paru
  • Usus
  • Rahim

Tisu badan yang boleh didermakan selepas meninggal dunia:

  • Kornea mata
  • Injap jantung
  • Sumsum tulang
  • Tulang
  • Kulit
  • Tendon dan ligamen
  • Kartilaj
  • Salur darah
  • Saraf

Organ dan tisu yang boleh didermakan semasa masih hidup:

  • Sebelah buah pinggang
  • Sebahagian hati
  • Rahim
  • Sumsum tulang atau sel stenm
  • Sebahagian paru-paru atau pankreas

Siapa yang Layak Jadi Penderma Organ?

Sesiapa boleh mendaftarkan diri sebagai penderma organ dan tisu kecuali bagi mereka yang
menghidapi penyakit berjangkit seperti HIV-AIDS, hepatitis B and C, and syphilis.

Anda juga perlu melengkapkan penilaian perubatan dan psikososial. Risiko-risiko yang terlibat juga akan dimaklumkan sepenuhnya kepada anda. Kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah, kebenaran bertulis daripada ibu bapa adalah diperlukan.

Hukum Derma Organ Dalam Islam

Menurut Bayan Linnas Siri Ke-35: Pendermaan Organ, pemindahan anggota dan organ manusia merujuk kepada proses memindahkan organ sama ada yang diambil daripada manusia atau haiwan kepada tubuh manusia.

Jika organ tersebut diambil daripada manusia, keadaannya terbahagi kepada dua, iaitu daripada individu yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Sekiranya penderma masih hidup, pemindahan organ terbahagi kepada dua bentuk.

  1. Pertama, organ diambil daripada diri sendiri, dan hukum bagi keadaan ini adalah harus.
  2. Kedua, organ diambil daripada orang lain, dan dalam hal ini terdapat dua pandangan hukum.

Bagi anggota tunggal yang jika dipindahkan boleh menyebabkan kematian penderma, maka hukumnya adalah haram.

Manakala bagi anggota lain, pemindahannya adalah harus sekiranya dilakukan daripada orang Islam kepada orang Islam, atau daripada orang bukan Islam kepada orang Islam.

Namun begitu, organ yang dipindahkan tidak boleh melibatkan testis kerana ia berkaitan dengan nasab dan keturunan.

cara jadi penderma organ
cara jadi penderma organ

cara jadi penderma organ
cara jadi penderma organ
Kredit: JAKIM

Cara Daftar Sebagai Penderma Organ Melalui MySejahtera

Berikut ialah cara daftar sebagai penderma organ melalui aplikasi MySejahtera:

  1. Klik “Lihat Semua” di halaman utama aplikasi MySejahtera.
  2. Pilih menu “Ikrar Derma Organ”.
  3. Tekan “Mula” untuk mula menjawab soalan sebelum menjadi penderma organ.
  4. Jawab semua soalan dengan tepat dan pastikan semua maklumat diisi dengan betul.
  5. Klik “Hantar” sekiranya semua soalan telah dijawab.
  6. Klik “Ok” jika maklumat yang diisi adalah betul dan tepat untuk dihantar.
  7. Mesej pengesahan akan dihantar sekiranya pendaftaran berjaya. Klik “Tutup” untuk kembali ke halaman utama.
  8. Kad Digital Derma Organ akan dipaparkan pada halaman Kad Kesihatan.
  9. Klik simbol pada halaman Kad Kesihatan untuk mendapatkan kad ikrar pendermaan organ anda.
  10. Kad Ikrar Pendermaan Organ akan dilampirkan selepas anda berjaya mendaftar sebagai penderma organ.

Kelebihan Derma Organ

Derma organ ialah satu langkah sukarela yang membawa impak besar kepada kehidupan orang lain. Berikut merupakan kelebihan utama derma organ:

1. Menyelamatkan nyawa

Derma organ merupakan salah satu cara paling berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap air seperti jantung, buah pinggang, hati atau paru-paru.

Bagi pesakit ini, pemindahan organ bukan sekadar rawatan, malah menjadi satu-satunya harapan untuk terus hidup. Setiap penderma organ berpotensi menyelamatkan beberapa nyawa sekali gus.

2. Memberi peluang hidup baharu kepada pesakit

Pesakit yang menerima organ pendermaan berpeluang menjalani kehidupan yang lebih normal dan bermakna.

Mereka dapat kembali bekerja, belajar serta menjalani aktiviti harian tanpa terlalu bergantung kepada rawatan berterusan seperti dialisis. Ini secara langsung meningkatkan tahap kesejahteraan fizikal dan emosi penerima organ.

3. Mengurangkan tempoh menunggu pemindahan organ

Di Malaysia, jumlah pesakit yang memerlukan pemindahan organ jauh lebih tinggi berbanding jumlah penderma.

Dengan mendaftar sebagai penderma organ, seseorang dapat membantu mengurangkan senarai menunggu yang panjang, seterusnya meningkatkan peluang pesakit menerima organ tepat pada masanya sebelum keadaan kesihatan mereka menjadi semakin kritikal.

4. Meningkatkan kualiti hidup penerima

Derma organ bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah membantu meningkatkan kualiti hidup penerima.

Contohnya, pendermaan kornea dapat memulihkan penglihatan pesakit, manakala pendermaan tisu dan tulang membantu pesakit kembali bergerak dan menjalani kehidupan yang lebih berdikari.

5. Sumbangan kemanusiaan yang berterusan walaupun selepas meninggal dunia

Walaupun seseorang penderma telah meninggal dunia, organ dan tisu yang didermakan masih mampu memberi manfaat kepada ramai individu.

Ini menjadikan derma organ sebagai satu bentuk amal jariah yang berterusan, di mana kebaikan dan manfaatnya dapat dirasai oleh orang lain untuk jangka masa panjang.

6. Memupuk nilai keprihatinan dan empati dalam masyarakat

Amalan derma organ menggalakkan sikap saling membantu, belas ihsan dan empati terhadap pesakit yang sedang berjuang untuk hidup.

Kesedaran tentang derma organ juga dapat membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap isu kesihatan dan kebajikan sesama manusia.

7. Selaras dengan prinsip kemanusiaan dan ajaran agama

Kebanyakan agama mengiktiraf derma organ sebagai amalan mulia kerana ia bertujuan menyelamatkan nyawa dan membantu insan lain.

Selagi dilakukan secara sukarela dan mengikut garis panduan perubatan serta etika, derma organ dianggap sebagai perbuatan kebajikan yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.

8. Memberi ketenangan dan makna kepada keluarga penderma

Bagi keluarga penderma, mengetahui bahawa pemergian insan tersayang telah membantu menyelamatkan nyawa orang lain dapat memberi ketenangan emosi dan rasa bangga.

Ia juga membantu keluarga melihat kehilangan tersebut sebagai satu pengorbanan yang membawa kebaikan kepada ramai pihak.

Maklumat Lanjut

PUSAT SUMBER TRANSPLAN NASIONAL
Aras 5, Menara Wisma Sejarah,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur,
Malaysia

Email : [email protected]
Tel (bebas tol) : 1-800-88-9080
Laman sesawang : Derma Organ

Soalan Lazim – Derma Organ

1. Adakah pendermaan organ dan tisu akan mencacatkan jenazah?

Proses pendermaan organ dan tisu akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh jenazah. Pengkebumian boleh dijalankan seperti biasa.

2. Adakah semasa bedah siasat (post mortem), organ dan tisu akan diambil tanpa pengetahuan waris?

Proses pengambilan organ dan tisu untuk tujuan transplantasi hanya boleh dilakukan setelah mendapat kebenaran bertulis daripada waris. Proses pengambilan organ selalunya di dewan bedah, berbeza daripada proses bedah siasat.

3. Adakah agama Islam tidak membenarkan pendermaan organ?

Di negara-negara seperti Malaysia, Mesir, Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Singapura, umat Islam dibenarkan berikrar serta mendermakan organ dan tisu mereka mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

4. Adakah sebagai pengikrar pendermaan organ, rawatan semasa saya di hospital akan terjejas?

Rawatan hospital tidak akan terjejas. Bahkan rawatan terbaik tetap diberikan kepada semua tanpa mengira sama ada pengikrar penderma organ atau tidak.

5. Adakah semua organ daripada pengikrar akan diambil setelah meninggal dunia?

Tidak semestinya. Pendermaan organ akan dilakukan berdasarkan kriteria berikut:

i. Hanya organ dan tisu yang didermakan oleh keluarga
ii. Organ dan tisu masih berfungsi dan boleh digunakan selepas kematian
iii. Ada penerima sesuai yang menunggu

6. Sekiranya seorang meninggal di rumah, adakah dia boleh menjadi penderma organ dan tisu?

Hanya pendermaan mata sahaja yang boleh dilakukan sekiranya meninggal di rumah (prosedur akan dijalankan di rumah).

7. Adakah organ dan tisu individu yang meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19 boleh didermakan?

Organ dan tisu individu yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 tidak boleh didermakan kerana organ dan tisu individu yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 berisiko menjangkiti penerima.

8. Bagaimana saya ingin mendaftar pendermaan organ dalam aplikasi MySejahtera?

i. Log masuk pada akaun MySejahtera anda
ii. Pada bahagian menu atas laman tersebut, klik pada ikon ikrar pendermaan organ
ii. Pilih nama pengguna utama
iv. Klik “saya ingin berikrar” untuk menjawab beberapa soalan
v. Klik butang hantar
 
Setelah klik pada butang hantar, pengguna perlu muat semula profil untuk melihat kad ikrar pendermaan organ. 

9. Adakah penamaan waris yang diisi dalam borang akan mendapat notifikasi jika penderma membuat pendaftaran pendermaan organ?

Ya, nama waris yang diisi dalam borang akan mendapat notifikasi pemakluman tentang ikrar pendermaan organ oleh penderma.

10. Adakah saya boleh menarik diri setelah mendaftar sebagai penderma organ?

Ya, pengguna boleh menarik diri pada bila-bila masa.

11. Adakah saya perlu lakukan jika saya ingin menarik balik pendaftaran penderman organ?

Sebaik sahaja pengguna selesai menghantar borang ikrar sebagai penderma organ, butang “withdraw” akan terpapar. Jadi pengguna boleh menekan butang tersebut bagi menarik balik pendaftaran pendermaan organ.

12. Sekiranya saya baru sahaja menarik diri sebagai penderma organ, adakah saya boleh memohon semula sebagai penderma organ?

Apabila pengguna memohon untuk menarik diri sebagai penderma organ, kad ikrar penderma organ akan bertukar kepada warna kelabu selama 14 hari. Jika pengguna ingin memohon semula sebagai penderma organ, pengguna hanya boleh memohon semula selepas 14 hari dari hari pembatalan.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut