Bunga kemboja merupakan antara tanaman hiasan yang cukup popular di Malaysia.
Mempunyai haruman tersendiri, pokok kemboja turut menjadi pilihan ramai penggemar tanaman kerana ia mudah dijaga dan mampu mengeluarkan bunga pelbagai warna seperti kuning, putih dan merah jambu.
Pokoknya mampu membesar sehingga 7 meter tinggi dan tumbuh dengan lebat sehingga membuatkan kawasan persekitaran kelihatan sangat berseri meskipun daripada jauh.
Penjagaannya juga tidak terlalu rumit kerana ia hanya perlu disiram setiap hari khususnya pada hari yang panas.
Kemudian, baja kimia larut juga digunakan selama 3 bulan sekali untuk memastikan pokok ini sentiasa sihat.
Selain dijadikan pokok rendang, sesetengah penggemar tanaman turut menjadikan tanaman kemboja dalam bentuk pokok bonsai.
Di samping bunga melur, pokok kemboja berwarna putih juga sering dijumpai ditanam di kawasan perkuburan kerana baunya yang harum.
Jenis dan Nama Saintifik Bunga Kemboja
Dalam bahasa Inggeris, bunga kemboja disebut sebagai Frangipani atau Plumeria.
Bergantung kepada jenis, bunga kemboja mempunyai nama saintifik yang berbeza. Berikut merupakan antara jenis kemboja yang popular.
- Plumeria rubra – jenis kemboja yang sangat terkenal dan boleh dijumpai dalam pelbagai warna seperti putih, kuning, jingga, merah dan merah jambu terang.
2. Plumeria alba – Jenis bunga plumeria berwarna putih dengan sentuhan kuning pada tengah kelopaknya.
3. Plumeria obtusa – Juga dikenali sebagai Singapore plumeria atau Singapore Pink. Bentuk kelopaknya lebih bulat berbanding Plumeria rubra, dan pohonnya tidak terlalu tinggi berbanding jenis plumeria lain.
4. Plumeria pudica – Turut dikenali sebagai Bridal Bouquet dan menghasilkan bunga berwarna, putih atau krim dengan bahagian tengah berwarna kuning.
Fakta Menarik Bunga Kemboja
- Bagi sesetengah orang, bunga frangipani melambangkan persahabatan.
- Di Hawaii, bunga ini sering dikumpul dan disusun untuk dijadikan kalung yang dikenali sebagai Lei. Kalung ini sering diberikan sebagai tanda alu-aluan kepada tetamu yang berkunjung. Pada masa yang sama, ia juga melambangkan nasib yang baik dan panjang umur.
- Di Pulau Carribean, kulit pokok kemboja sering digunakan sebagai diuretik.
- Wanita yang tinggal di kebanyakan kepulauan Pasifik khususnya etnik Polynesia pula sering menggunakan bunga kemboja untuk melambangkan status diri. Sekiranya kuntuman bunga ini diletakkan di telinga kanan, ini bermakna wanita tersebut masih bujang. Jika bunga kemboja diletakkan di telinga kiri, ini bermaksud wanita tersebut sudah berkahwin.
- Disebabkan tumbuhan ini sering ditemui di negara tropika dan mempunyai warna sinonim dengan matahari terbenam, ia juga sering dikaitkan dengan musim panas.
- Pokok kemboja juga berbunga hampir sepanjang tahun di negara bersuhu panas termasuk Malaysia.
- Bunga kemboja merupakan bunga kebangsaan bagi negara Laos. Di negara tersebut, bunga ini dikenali sebagai Dok Jampa dan melambangkan keikhlasan dan kebahagiaan dalam hidup.
Dengan penjagaan yang mudah serta penghasilan bunga yang cantik dan berbau harum, maka tidak hairanlah mengapa kemboja mempunyai ramai peminatnya.
Ia juga sesuai untuk dijadikan pohon rendang dan mampu meneduhi sesuatu kawasan.
Sumber : nparks.gov.sg, Harian Metro, thespruce.com, allthingsfrangipani.com