Bunga Harum Sundal Malam : Nama Saintifik dan Kegunaan

Pokok bunga harum sundal malam merupakan antara pokok yang sering dikaitkan dengan alam mistik kerana ia mempunyai bau yang harum dan berkembang pada waktu malam.

Seperti bunga melur, bunga ini juga mempunyai keistimewaan khas iaitu mampu menghasilkan haruman yang kekal lama. Walaupun sudah dipetik, namun aromanya kekal sehinggalah ia kering dan layu.

Bunga berwarna putih ini juga sering digunakan dalam perubatan tradisional Melayu dan India serta ditanam secara komersial bagi penghasilan minyak pati.

Namun, sejauh manakah anda kenali pokok bunga yang penuh dengan misteri ini? Ayuh kita semak bersama-sama.

bunga harum sundal malam
Sumber : kompas.com

Nama Saintifik Bunga Harum Sundal Malam

Bunga ini mempunyai nama saintifik Polianthes tuberosa dan berasal dari Amerika Tengah.

Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali dengan nama Spider Lily.

Jika ia dikenali sebagai Harum Sundal Malam di Malaysia, ia digelar dengan nama lain mengikut negara. Sebagai contoh, ia dikenali sebagai Sedap Malam di Indonesia.

Di India pula, ia dikenali sebagai Ratkirani yang bermakud Mistress of the Night.

Namun, kita boleh lihat walau di mana-mana negara sekalipun, bunga ini masih dikaitkan dengan malam kerana ia berkembang dan mengeluarkan bau yang sangat harum pada waktu tersebut.

Sama seperti tumbuhan lili yang lain, sundal malam boleh membiak dengan ubi atau bebawang.

Ubinya juga boleh disimpan lama sebelum ditanam jika dikeringkan.

Ia juga merupakan tanaman hiasan yang popular khususnya di sekitar negara Asia kerana ia memerlukan pendedahan terus pada cahaya matahari.

bunga harum sundal malam
Sumber : Shopee

Kegunaan Harum Sundal Malam

Dalam perubatan tradisional Melayu, bunga ini dikatakan mampu merawat masalah keradangan sendi (rheumatoid arthritis).

Harum sundal malam turut digunakan untuk menghiasi bilik pengantin bagi menimbulkan mood romantis dalam kalangan masyarakat India.

Bunga ini turut ditanam secara meluas bagi menghasilkan minyak patinya yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Selain dijadikan ramuan dalam minyak wangi, haruman minyak patinya dikatakan mampu memulihkan emosi dan memberi ketenangan kepada seseorang.

Tidak hanya terkenal sebagai tanaman hiasan, malah sesetengah orang turut mengeringkan kudup bunga ini untuk dijadikan sayur kering.

Ia dikatakan mempunyai rasa yang hampir seperti kangkung, namun agak kelat dan masam.

Walau bagaimanapun, ia tetap enak bila ditumis bersama ramuan lain.

Di samping itu, bunga harum sundal malam dikatakan mampu menjadi penawar kepada beberapa penyakit seperti :

  • Anemia
  • Influenza dan selsema
  • Sakit tekak
  • Insomnia
  • Katarak
  • Menguatkan sistem pertahanan badan
bunga harum sundal malam
Sumber Infografik : NTV7

Kini anda tahu yang bunga ini bukan sahaja terkenal dengan harumannya yang memukau, malah ia juga mempunyai pelbagai kegunaan lain.

Selain dimanfaatkan dalam rawatan tradisional, kudup bunganya juga boleh diolah menjadi hidangan sayur.

Sumber : amdi.usm.my, Utusan Sarawak, melur.com, NTV7

Baca Juga : Bunga Melur : Nama Saintifik dan Kegunaan Dalam Perubatan Tradisional

Bantu kami share artikel ini: