Walaupun bunga daisy dianggap sederhana berbanding bunga lain, namun rona putih dan kuningnya mampu menceriakan hari sesiapa sahaja.
Kebanyakan daripada kita membayangkan daisy sebagai bunga dengan kelopak-kelopak kecil berwarna putih dengan bahagian tengahnya yang berwarna kuning.
Hakikatnya, terdapat pelbagai warna daisy yang sangat menarik.
Oleh sebab itulah bunga ini bukan sahaja popular untuk dihadiahkan dalam bentuk jambangan, malah ia juga terkenal dalam kalangan penggemar tanaman hiasan.
Nama Saintifik dan Kegunaan Bunga Daisy
Bunga daisy berwarna putih lebih dikenali sebagai common daisy atau English daisies. Nama saintifik bunga daisy yang popular ini adalah Bellis perennis.
Dalam bahasa Inggeris lama, bunga ini pada asalnya dipanggil ‘day’s eye’. Ini disebabkan oleh kelopak daisy yang tertutup pada waktu malam dan terbuka semula pada pagi hari.
Pada masa yang sama, bunga ini juga cukup sinonim dengan musim panas.
Bunga ini dipercayai telah ditanam pada zaman Mesir kuno sebagai salah satu ramuan tradisional ketika itu.
Ia dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit seperti ulser perut, demam dan gout.
Sesetengah orang pada hari ini turut mengutip daisy liar untuk dijadikan teh bagi merawat batuk dan sakit otot secara tradisional.
Maksud Bunga Daisy Mengikut Warna
Bukan sahaja putih, malah daisy juga boleh dijumpai dalam pelbagai warna termasuk merah jambu, kuning, jingga, merah dan sebagainya.
Lebih menarik lagi, setiap satu daripada warna bunga ini mempunyai maksudnya yang istimewa.
Ayuh kita semak satu persatu.
Daisy Putih
Bunga daisy yang paling umum ini melambangkan kesucian.
Disebabkan bunga ini mempunyai kelopak yang banyak, ia juga membawa simbol keharmonian dan cinta sejati.
Daisy Kuning
Daisy berwarna kuning melambangkan kasih sayang, kebahagiaan dan harapan yang baik buat seseorang.
Seperti bunga matahari, daisy kuning juga sangat sesuai untuk diberikan kepada orang yang sedang beransur pulih sebagai tanda ucapan ‘Semoga cepat sembuh’.
Daisy Pink / Merah Jambu
Daisy berwarna pink pula secara umumnya melambangkan kasih sayang, kelembutan dan semangat feminin.
Ia lebih sesuai untuk diberikan kepada orang terdekat seperti sahabat atau ibu sebagai tanda kasih sayang yang tidak pernah padam.
Daisy Jingga
Daisy berwarna jingga yang ceria ini melambangkan semangat, keterujaan dan rasa sayang yang hangat.
Daisy Merah
Daisy berwarna merah melambangkan cinta, khususnya bagi yang sudah lama berpasangan.
Sejambak daisy merah sangat sesuai diberikan kepada pasangan sebagai tanda kesetiaan dan kasih sayang berpanjangan.
Daisy Ungu
Daisy berwarna ungu bermaksud anda sedang memikirkan tentang seseorang itu. Selain melambangkan kemewahan dan kebanggaan, ia juga merupakan bunga yang sesuai untuk diberikan kepada seseorang sekiranya anda ingin memohon maaf.
Di sebalik kecantikan bunga ini, rupanya terdapat pelbagai maksud unik bergantung kepada warnanya. Jadi, apakah daisy kegemaran anda?
Sumber : Britannica, floraly.com.au