Buli adalah masalah sosial yang masih menjadi isu besar dalam kalangan masyarakat. Tindakan membuli juga boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di sekolah, tempat kerja dan di rumah.
Bagi mangsa yang lemah, membuli juga boleh menyebabkan pelbagai impak negatif kepada diri terutamanya dari aspek mental dan fizikal.
Maksud Membuli
Memetik Kamus Dewan Edisi Keempat, buli membawa maksud perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru, membuli mempermain-mainkan orang, biasanya orang yang lemah, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan atau menakutkan orang yang berkenaan.
Menurut Smith, Cowie, Olafsson dan Liefooghe, buli merupakan perbuatan tingkah laku agresif yang berulang bagi menyakiti individu lain dari segi fizikal mental mahupun emosi.
Jenis Buli
Setiap pembuli mempunyai cara dan taktik yang berbeza untuk menakutkan mangsa. Apabila menyentuh tentang buli, ramai yang beranggapan bahawa ia hanya melibatkan perbuatan seperti menumbuk, membelasah dan sebagainya.
Sebenarnya, buli tidak hanya terhad kepada pergerakan yang melibatkan fizikal sahaja, malah terdapat enam jenis buli yang dapat dikenalpasti.
1. Buli Secara Fizikal
Jenis buli ini lebih mudah dikenalpasti. Ia juga secara semula jadi boleh mendapat perhatian umum kerana ia melibatkan aksi agresif. Jenis membuli ini biasanya melibatkan individu yang lebih besar dan kuat menyerang individu yang lemah sebagai mangsa.
Membuli secara fizikal juga sering melibatkan perbuatan seperti menendang, menampar dan menumbuk.
2.Buli Secara Lisan (Percakapan)
Buli lisan adalah sebarang bentuk tindakan seperti menghina, mengusi, mengancam, menyebarkan khabar angin atau fitnah dan mengejek orang lain.
Ini merupakan jenis buli yang paling biasa dan boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti tempat awam, rumah, sekolah dan tempat kerja.
3. Pencerobohan Hubungan
Pencerobohan hubungan adalah istilah yang digunakan bagi menggambarkan tingkah laku seseorang yang yang menimbulkan atau menceritakan khabar angin tentang orang lain.
Biasanya pencerobohan hubungan tercetus apabila seseorang individu berasa cemburu.
Ia juga dilihat sebagai satu bentuk penghinaan bagi menjatuhkan harga diri orang lain.
4.Buli Siber
Perbuatan buli siber atau cyber bullying adalah aktiviti berulang yang dilakukan secara atas talian untuk menakutkan, mencetuskan kemarahan dan memalukan seseorang.
Biasanya, ia melibatkan kemudahan komunikasi yang digunakan secara rutin seperti laman media sosial, emel, chatting, telefon bimbit dan permainan internet.
Perbuatan ini mempunyai kesan segera dan lebih meluas memandangkan serangan daripada pembuli berlaku selama 24 jam sehari dengan kapasiti tanpa had.
Ia juga berbeza dengan buli secara tradisional yang dilakukan secara bersemuka. Di samping itu, ia turut menyebabkan kegusaran yang unik, berterusan dan sukar untuk dikenalpasti.
Mangsa juga boleh mengalami kesan negatif yang serius seperti kemurungan, depresi, cenderung untuk mencederakan diri sendiri. Jika ia tidak dibendung, mangsa boleh terdorong untuk membunuh diri.
5. Gangguan Seksual
Buli seksual merupakan tindakan berulang, berbahaya serta memalukan yang mensasarkan seseorang secara seksual.
Antara bentuk atau perbuatan gangguan seksual yang boleh dikenalpasti adalah menggunakan nama panggilan yang berbentuk seksual, komen atau gerak isyarat yang kasar, sentuhan yang tidak diingini, bahan lucah dan bahan rujukan seksual.
Antara contoh kegiatan gangguan seksual adalah pembuli yang membuat komen kasar tentang daya tarikan, perkembangan seksual atau aktiviti seksual seorang wanita.
Dalam kes yang lebih teruk, gangguan seksual boleh membuka pintu kepada serangan seksual. Para wanita juga dilihat sering menjadi sasaran pembulian seksual oleh lelaki dan wanita lain.
6. Buli Prasangka
Buli berasaskan prasangka pula adalah melibatkan orang yang dibuli akibat kepercayaan, pemikiran, pendapat atau nilai mereka.
Di samping mempunyai percanggahan idea terhadap sesuatu, pembuli juga mungkin menyerang seseorang untuk kepercayaan agam serta pendapat politiknya.
Dalam kebanyakan masa, pembuli berasaskan prasangka didorong oleh ketakutan dan kekurangan pemahaman.
Dalam kes ini, mangsa perlulah lebih berani dan tampil ke hadapan bagi memupuk pemahaman. Apabila orang dapat melihat perbezaan dalam sesebuah idea, mereka lebih cenderung untuk bertoleransi dan hormat kepada pendapat orang lain.
Punca
Terdapat pelbagai punca yang boleh menjurus kepada masalah buli seperti :
- Kurang didikan atau perhatian ibu bapa
- Perbezaan idea terhadap sesuatu perkara
- Kurang penghayatan agama atau moral
- Kurang pemantauan
- Dendam
- Masyarakat atau orang sekeliling yang kurang prihatin
- Terdedah kepada bahan negatif melalui internet
Kesan
Mangsa buli berkemungkinan untuk alami kesan jangka pendek dan jangka panjang dalam tiga aspek iaitu fizikal, mental dan tingkah laku.
Antara kesan kepada fizikal yang boleh dikenalpasti adalah :
- Sesak nafas
- Kecederaan seperti luka atau lebam
- Gangguan tidur hilang selera makan
- Keletihan
Dari sudut emosi pula, mangsa boleh alami :
- Tekanan emosi
- Rasa ketakutan
- Kemurungan
- Rasa rendah diri
- Mudah rasa terancam
Dari segi tingkah laku, mangsa boleh alami kesan seperti :
- Kurang keyakinan diri
- Prestasi merosot
- Sukar untuk menyesuaikan diri
- Tiada semangat untuk teruskan hidup
Perbuatan buli perlulah dikenalpasti dan ditangani dengan segera. Orang sekeliling juga perlulah lebih peka dan prihatin kepada orang terdekat. Semua pihak juga perlu memainkan peranan bagi membanteras kes buli yang berlaku di kawasan mereka.
Mangsa pula tidak boleh berdiam diri. Kumpulkan keberanian untuk tampil ke hadapan dan dapatkan bantuan daripada orang yang dipercayai.
Sumber : Majlis Keselamatan Negara