Blue Tears Kuala Selangor – Rujuk Harga Tiket & Tips
Adakah anda pernah dengan mengenai fenomena “blue tears” yang terdapat di Kuala Selangor?
Jika belum, anda mungkin terlepas salah satu keajaiban alam yang paling memukau dan sukar ditemui di dunia.
Fenomena “blue tears” adalah sebuah fenomena semula jadi yang sangat jarang dan hanya boleh disaksikan di beberapa tempat terpilih di dunia tau.
Malaysia menjadi antara lokasi bertuah yang menawarkan peluang eksklusif untuk menyaksikan sendiri keindahan ini — dan ianya hanya di Kuala Selangor.
Jadi, kalau anda tercari-cari aktiviti menarik di Kuala Selangor, jangan lupa masukkan lawatan ke blue tears Kuala Selangor dalam itinerari anda. Rujuk perkongsian di bawah untuk info lebih lanjut.
BACA JUGA: 15+ Restoran Chinese Muslim KL & Selangor
Apa Itu Blue Tears Kuala Selangor?
Blue Tears merujuk kepada fenomena bioluminesens, di mana air laut atau sungai memancarkan cahaya biru terang secara semula jadi.
Cahaya biru ini bukanlah hasil teknologi atau lampu, tetapi datang daripada organisma mikroskopik di dalam air yang dikenali sebagai dinoflagellates.
Apabila terdapat pergerakan air melalui ombak atau sentuhan, contohnya disebabkan oleh bot atau tangan yang mencecah permukaan air, dinoflagellates ini bertindak balas dengan memancarkan cahaya biru yang sangat menakjubkan.
Di Kuala Selangor, ia biasanya boleh dilihat pada waktu malam, terutama ketika air pasang dan cuaca cerah. Biasanya, pengunjung akan menaiki bot untuk melihat fenomena ini dengan jelas.
Selain menjadi tarikan pelancongan, fenomena ini juga menunjukkan keseimbangan ekosistem marin.
Lokasi Utama Blue Tears di Kuala Selangor
Lokasi utama untuk menyaksikan fenomena Blue Tears di Kuala Selangor ialah di muara Sungai Selangor, berhampiran kawasan Sky Mirror dan kampung nelayan Pasir Penambang.
Fenomena ini berlaku di kawasan pertemuan Sungai Selangor dengan Selat Melaka, di mana airnya kaya dengan mikroorganisma dinoflagellates.
Lokasi Utama Blue Tears Kuala Selangor: Muara Sungai Selangor, Jeti Sky Mirror, Pasir Penambang
Kampung Kuantan dan Bukit Belimbing lebih sinonim dengan aktiviti melihat kunang-kunang, namun ada pakej lawatan yang menggabungkan kedua-dua pengalaman dalam satu malam.
Cara Terbaik Menyaksikan Blue Tears
Cara paling popular untuk melihat Blue Tears adalah dengan menaiki bot malam selama 45 hingga 60 minit yang dikendalikan oleh pengusaha tempatan.
Semua pelayaran bermula dari Jeti Sky Mirror atau jeti agensi bot di sekitar Pasir Penambang. Bot akan membawa anda ke kawasan muara sungai dan laut yang gelap, di mana peluang untuk melihat cahaya biru adalah paling tinggi.
Faktor yang mempengaruhi peluang melihat Blue Tears:
- Kegelapan malam tanpa cahaya bulan (bulan baru).
- Keadaan air pasang.
- Cuaca yang baik dan tiada hujan.
Waktu Terbaik Untuk Melihat Blue Tears
Waktu terbaik untuk menyaksikan fenomena Blue Tears di Kuala Selangor ialah ketika malam yang benar-benar gelap. Khususnya, pada tiga hari pertama dalam kalender lunar, iaitu semasa bulan baru.
Pada waktu ini, air pasang dan ketiadaan cahaya bulan akan meningkatkan peluang untuk melihat cahaya biru bioluminesen dengan lebih jelas.
Tempoh pelayaran bot biasanya bermula dari jam 8 malam hingga 10 malam, tetapi waktu paling optimum adalah antara jam 9 malam hingga tengah malam.
Harga Tiket
Harga tiket Blue Tears Kuala Selangor 2025 bermula dari RM30 seorang untuk pakej asas pelayaran bot malam.
Pakej kombo dengan aktiviti tambahan boleh mencecah RM50 ke atas seorang, bergantung kepada pilihan aktiviti dan agensi pelancongan.
Pakej kombo biasanya menggabungkan aktiviti lain seperti melihat kunang-kunang, Sky Mirror, dan makan malam makanan laut.
Pembelian tiket boleh dilakukan melalui platform pembelian tiket seperti KLOOK.
Klook.comTaip Blue Tears Kuala Selangor dan klik, Search dalam kotak carian di atas. Atau klik di bawah:
Tips & Persediaan
- Bawa kamera dengan mod malam atau ISO tinggi untuk merakam cahaya biru kerana ia sukar dilihat dengan mata kasar tanpa bantuan kamera.
- Sediakan beg kalis air, ubat nyamuk, air minuman, dan payung untuk keselesaan sepanjang perjalanan.
- Anda boleh menggunakan jaring yang disediakan untuk mengacau air supaya cahaya biru lebih ketara.
- Tempahan awal sangat digalakkan kerana tempat duduk bot adalah terhad terutama pada musim cuti dan hujung minggu.
- Pakai pakaian yang selesa dan sesuai untuk cuaca malam.
- Gunakan jaket ringan jika cuaca berangin.
- Sentiasa pakai jaket keselamatan yang disediakan oleh pengusaha bot.
- Ikut semua arahan dan peraturan pengusaha bot demi keselamatan dan kelestarian alam sekitar.
Aktiviti Menarik di Kuala Selangor
Selain Blue Tears, terdapat banyak aktiviti dan tempat menarik di sekitar Kuala Selangor yang anda boleh terokai. Antaranya ialah:
1. Melihat Kelip-Kelip Kampung Kuantan
Aktiviti ini juga antara aktiviti menarik di Kuala Selangor yang anda boleh gabungkan dengan aktiviti melihat Blue Tears.
Anda akan menaiki sampan tradisional menyusuri Sungai Selangor pada waktu malam dan menyaksikan ribuan kelip-kelip berkelip-kelip seperti lampu!
2. Taman Alam Kuala Selangor
Taman Alam Kuala Selangor adalah sebuah taman ekopelancongan yang sesuai untuk aktiviti rekreasi seperti melihat burung, berjalan di hutan paya bakau dan sebagainya.
3. Bukit Melawati
Lokasi bersejarah ini menawarkan pemandangan indah Selat Melaka dari atas bukit. Jangan lupa melawat rumah api, muzium sejarah dan beramah mesra dengan monyet silver leaf yang jinak tetapi penuh gelagat!
4. Kilang Memproses Ikan Masin dan Belacan
Kuala Selangor juga terkenal dengan hasil lautnya. Singgah sebentar di kilang ikan masin atau belacan tempatan untuk melihat sendiri proses tradisional dan membeli sebagai ole-ole.
5. Pasar Malam & Gerai Makanan Laut
Nikmati pelbagai juadah tempatan di pasar malam sekitar Pasir Penambang atau deretan restoran makanan laut. Antara menu yang wajib cuba ialah ketam masak telur masin, udang butter dan ikan bakar segar.
6. Sky Mirror, Sasaran Beach
Jangan lupa juga untuk ambil peluang melihat Sky Mirror, pantai ajaib yang hanya timbul pada waktu-waktu tertentu. Permukaan pantai yang rata menghasilkan pantulan seakan-akan cermin gergasi.
BACA JUGA: Sky Mirror Kuala Selangor – Waktu Operasi, Harga Tiket & Tips Sebelum Pergi!
Fenomena ini bergantung kepada faktor cuaca, kegelapan malam, dan pergerakan air. Tidak dijamin setiap malam, tetapi peluang lebih tinggi pada malam gelap tanpa bulan.
Ya, lawatan ini mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak.
Tempahan awal sangat digalakkan untuk menempah awal kerana tempat adalah terhad, terutama pada musim cuti dan hujung minggu
Sumber: Kuala Selangor