Untuk murid yang masih tidak mahir untuk membina ayat, berikut ditunjukkan teknik bina ayat yang lazim digunakan.
Selain itu, diterangkan juga cara-cara untuk membina ayat dengan mudah.
Maksud Ayat
Ayat ialah satu susunan perkataan yang terdiri daripada subjek dan predikat.
Subjek ialah perkara yang diceritakan manakala predikat ialah cerita berkenaan perkara itu.
Ayat mestilah mengandungi makna yang lengkap dan diucapkan dengan intonasi atau nada yang sempurna.
Teknik Bina Ayat
Terdapat dua teknik untuk membina ayat iaitu:
- Teknik pengembangan
- Teknik transformasi
Teknik Pengembangan
Teknik pengembangan ini adalah menggunakan soalan apa, siapa, mengapa, bagaimana, bila dan di mana untuk dikaitkan dengan perkataan yang diuji.
Ini dapat dilihat menerusi contoh di bawah.
i) Contoh 1
Contoh perkataan diuji: menembak
- Siapa – Polis menembak perompak
- Mengapa – kerana cuba meragut beg tangan seorang wanita
- Bagaimana – menggunakan sepucuk pistol
- Bila – petang semalam
- Di mana – Jalan Langat.
Ayat lengkap:
Seorang anggota polis menembak seorang perompak yang cuba meragut beg tangan seorang wanita di Jalan Langat pada petang semalam dengan menggunakan sepucuk pistol.
ii) Contoh 2
Perkataan diuji : memukul
- Siapa – Abang memukul adik
- Mengapa – ponteng sekolah
- Bagaimana – menggunakan sebatang rotan
- Bila – semalam
- Di mana – rumah
Ayat lengkap :
Abang memukul adik dengan menggunakan sebatang rotan di rumah kerana adik ponteng sekolah semalam.
Teknik Transformasi
Teknik ini melibatkan pembinaan ayat berdasarkan jenis ayat.
Contohnya adalah seperti di bawah:
Perkataan diuji : buru.
- Ayat aktif transitif menggunakan kata ganti nama diri pertama: Saya memburu seekor rusa.
- Ayat pasif biasa: Seekor rusa saya buru.
- Ayat pasif songsang: Saya buru seekor rusa
- Ayat perintah: Jangan memburu rusa di hutan kerana binatang tersebut dilindungi oleh undang-undang.
Latihan mengenai pembelajaran ini boleh diperolehi Di Sini.