Berapa KM Boleh Solat Jamak? – Jarak Perjalanan Solat Jamak

Berapa KM Boleh Solat Jamak? - Jarak Perjalanan Solat Jamak
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Solat jamak adalah kemudahan yang diberikan kepada umat Islam untuk menggabungkan dua solat fardu dalam satu waktu. Kemudahan ini amat penting bagi mereka yang dalam keadaan musafir.

Salah satu soalan yang sering timbul adalah, “Solat jamak berapa km yang dibolehkan?” 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang jarak perjalanan yang membolehkan solat jamak, jenis-jenis solat jamak dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi, jom baca perkongsian di bawah. 

BACA JUGA: Solat Jamak Dan Qasar : Panduan, Syarat & Niat (JAKIM)

Apakah Itu Solat Jamak?

Solat jamak bermaksud menggabungkan dua solat fardu dalam satu waktu. 

Ini adalah salah satu rukhsah atau kelonggaran yang diberikan kepada umat Islam yang berada dalam keadaan tertentu, terutamanya ketika musafir. 

Terdapat dua jenis solat jamak iaitu:

Jamak Taqdim: Menggabungkan solat Zohor dengan Asar dalam waktu Zohor atau Maghrib dengan Isyak dalam waktu Maghrib.

Jamak Takhir: Menggabungkan solat Zohor dengan Asar dalam waktu Asar  atau Maghrib dengan Isyak dalam waktu Isyak.

Berapa KM Boleh Solat Jamak? – Jarak Perjalanan yang Membolehkan Solat Jamak

Jarak yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jamak ialah 2 marhalah. 

Merujuk kepada laman sesawang Mufti WP, maksud ukuran 2 marhalah itu ialah:

  1. Jauh perjalanan sekira-kira dua hari perjalanan atau dua malam atau sehari dan semalam perjalanan unta yang membawa barang-barang dagangan ( barat-barat dagangan yangberat di atasnya). (Rujukan Kitab Matlak Al-Badrain hlmn 92)
  1. Perjalanan selama dua hari (dua siang) atau dua malam atau sehari semalam dengan unta yang membawa barang dagangan yang berat. (Rujukan Idaman Penuntut 1/90)
  1. Perjalanan dua hari atau dua malam atau sehari semalam jika menunggang unta (Rujukan Zain ATH-Tholib 1/209)

Manakala jika dirujuk pada Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat halaman 999, marhalah bermaksud ukuran jarak yang lebih kurang 28 batu atau 45.06 km.

Adapun dua marhalah mengikut ukuran zaman sekarang adalah: antara 85 km – 90 km atau bersamaan 56 batu.

Secara amnya, Ukuran 1 marhalah = 2 barid = 24 mil hasyimi (8 farsakh). 1 mil = 1000 depa . Satu depa = empat hasta. Satu hasta = 46.656 cm. Ini bermakna satu depa = 186.624 cm (46.656 x 4). Maka 1 mil = 6000 ribu hasta bersamaan 186.624 cm (1866.24 meter atau 1.866 km) atau 24 jari melintang. 

Oleh itu, satu marhalah = 24 mil = 44789.76 meter atau bersamaan 44.790 km. 

Berapa KM Boleh Solat Jamak? - Jarak Perjalanan yang Membolehkan Solat Jamak

Syarat Sah Solat Jamak

Untuk melaksanakan solat jamak, terdapat beberapa syarat umum yang perlu dipenuhi:

  1. Niat Musafir: Seseorang mesti berniat untuk bermusafir dan perjalanan mestilah bukan untuk maksiat.
  2. Jarak Perjalanan: Seperti yang telah dibincangkan, jarak perjalanan mestilah sekurang-kurangnya 89 kilometer (2 marhalah = lebih kurang 89 atau 90 km)
  3. Tidak Menetap Lama: Musafir tersebut tidak boleh berniat untuk menetap lebih dari tiga hari, tidak termasuk hari ketibaan dan hari berangkat.
  4. Keadaan Darurat: Selain musafir, solat jamak juga dibenarkan dalam keadaan hujan lebat menurut mazhab Syafie.

Syarat Jamak TAKDIM

  • Kedua-dua solat mengikut tertib (dahului dengan solat empunya waktu) .
  • Niat jamak dilakukan dalam solat yang pertama (hingga sebelum beri
    salam)
  • Berturut-turut antara solat pertama & kedua
  • Masih musafir hingga takbir solat kedua

Syarat Jamak TA’KHIR

  • Niat ta’khir kan solat pertama pada waktu kedua adalah ketika masuk waktu solat pertama.
  • Masih musafir hingga selesai kedua-dua solat

Kepentingan

Berapa KM Boleh Solat Jamak? - Jarak Perjalanan Solat Jamak

Solat jamak adalah salah satu bentuk kemudahan yang menunjukkan fleksibiliti dan kemudahan dalam Islam. Ia membolehkan umat Islam untuk tetap menunaikan kewajipan solat walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Antara kepentingannya ialah;

  • Kemudahan: Mengurangkan beban solat dalam keadaan musafir.
  • Menjaga Ibadah: Membantu seseorang untuk terus konsisten dalam solat walaupun dalam perjalanan.
  • Menghormati Waktu: Menunjukkan kepatuhan kepada waktu solat walaupun dalam keadaan sukar.

Penutup

Dengan pemahaman yang jelas tentang jarak dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menunaikan rukhsah solat, seseorang dapat menunaikan solat dengan betul dan sesuai dengan tuntutan syariat. 

Pastikan perjalanan anda memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sentiasa rujuk kepada pandangan ulama untuk kepastian.

Rujukan:

  1. AL-KAFI # 1181: MAKSUD DUA MARHALAH DI DALAM JAMAK DAN QASAR – MuftI WP
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut