Bendera Sabah: Maksud Warna, & Simbol

bendera sabah
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bendera Sabah seperti yang diketahui mempunyai lima warna dan satu objek di dalamnya iaitu Gunung Kinabalu.

Namun, sebelum itu terdapat bendera lain yang digunakan di Negeri Sabah sebelum bendera yang digunakan pada hari ini.

Sejarah Negeri Sabah

Negeri Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

Etnik yang terbesar adalah etnik Kadazan-Dusun yang membentuk hampir 30% daripada keseluruhan jumlah penduduk.

Perayaan utama mereka adalah Pesta Menuai yang disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun yang diraikan oleh etnik Kadazan-Dusun bagi menghormati Roh Beras dan untuk bersyukur di atas tuaian yang banyak.

Selain itu, satu lagi etnik lain yang ada di Sabah ialah Bajau, atau juga dikenali sebagai ‘Koboi Timur’, dan Murut, iaitu orang-orang bukit dan pemburu kepala pada masa lalu, adalah kumpulan etnik kedua dan ketiga terbesar di Sabah.

Suku kaum lain-lain adalah termasuk suku kaum bumiputera seperti Bisaya, Melayu Brunei, Bugis, Kedayan, Lotud, Ludayeh, Rungus, Suluk, Minokok, Bonggi, Ida’an, dan banyak lagi.

Di samping itu, orang Cina juga termasuk dalam kumpulan utama bagi penduduk bukan pribumi.

Untuk sejarah Negeri Sabah pula, ia boleh dikesan kembali kepada kira-kira 20,000 – 30, 000 tahun yang lalu dengan bukti-bukti yang mencadangkan bahawa manusia awal telah wujud.

Syarikat Berpiagam Borneo Utara berfungsi memerintah Sabah (kemudian dikenali sebagai Borneo Utara) dari tahun 1881 sehingga 1942, apabila tentera Jepun menyerang Borneo Utara semasa Perang Dunia II.

Akibat peperangan yang menghancurkan itu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara tidak mempunyai sumber kewangan untuk membina semula negeri Sabah.

Oleh sebab demikian, wilayah itu telah diletakkan di bawah kawalan pejabat kolonial dan menjadi tanah jajahan British pada 15 Julai 1946.

Beberapa tahun selepas itu, Sabah mencapai pemerintahan sendiri dari British, dan telah bersatu dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sejarah Bendera Sabah

Untuk pengetahuan, selepas Sabah bersama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963, terdapat 3 bendera Sabah pernah digunakan sehinggalah hari ini.

i) Bendera Negeri Sabah Pertama (1963-1982)

Sabah menerima pakai bendera empat jalur (warna merah atas putih atas kuning atas biru), dengan kanton berwarna hijau dan gunung berwarna perang – melambangkan Gunung Kinabalu pada 31 Ogos 1963.

Bendera ini telah direka oleh Encik Idris Echin, iaitu seorang pelukis pelan di Jabatan Tanah dan Ukur dari Jesselton (kini Kota Kinabalu).

Beliau memenangi pertandingan mereka bentuk bendera Negeri Sabah yang telah diadakan pada 16 Mei 1963.

Kanton berwarna hijau mewakili tanah muda dan hutan negeri, manakala Gunung Kinabalu yang berwarna perang mewakili perpaduan rakyat.

Jalur Merah mewakili keberanian dan kesanggupan untuk berkorban demi negara, Jalur Putih mewakili kesucian, Jalur kuning mewakili kekayaan negeri dan Jalur Biru mewakili keamanan dan kebahagiaan.

ii) Bendera Negeri Sabah Kedua (1982–1988)

Bendera kedua pernah dicipta pada tahun 1981 oleh Kerajaan Negeri Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan digunakan sehingga 1988.

Bendera ini diterima pakai secara rasmi pada 1 Januari 1982 yang mempunyai rekaan yang berbeza sepenuhnya daripada yang sebelumnya, iaitu jalur biru atas jalur putih dengan segi tiga merah di bahagian kiri bendera.

Merah mewakili keberanian dan cita-cita, biru mewakili keamanan dan kemajuan dan putih mewakili kejujuran dan kebenaran.

iii) Bendera Negeri Sabah Ketiga (1988 sehingga kini)

Bendera negeri Sabah versi terkini telah digunakan sejak 16 September 1988.

Bendera ini berwarna biru cerah di sebelah atas yang menjadi latar belakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu berwarna biru tua meliputi suku bahagian bendera ini.

Maksud Warna Bendera Sabah

Warna di bendera ini melambangkan perkara-perkara berikut:

  • Biru muda: Keamanan dan ketenteraman,
  • Merah: Keberanian dan keyakinan.
  • Putih: Kemurnian dan keadilan.
  • Biru Cerah: Perpaduan dan kemakmuran.
  • Biru Tua: Kekuatan dan semangat kerjasama.
  • Kelima-lima warna (biru mmuda, merah, putih, biru cerah dan biru tua): Mewakili lima buah bahagian pentadbiran negeri Sabah.

Maksud Simbol Bendera Sabah

Terdapat satu simbol bendera ini iaitu Gunung Kinabalu yang melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.

Sumber: https://sabah.gov.my

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut