Bekam : Khasiat dan Kesan Sampingannya Yang Anda Perlu Tahu

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bekam merupakan antara perubatan alternatif yang semakin popular di negara kita. Ia juga merupakan satu kaedah perubatan yang telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Berbekam atau cupping merupakan rawatan yang menggunakan tekanan rendah dan turut diamalkan oleh orang terdahulu di China dan Timur Tengah.

bekam

Jenis Bekam

Secara umumnya, terdapat dua jenis teknik bekam iaitu bekam angin dan bekam darah.

Bekam Angin

Bekam angin dilakukan dengan meletakkkan cawan khas pada bahagian badan yang hendak dirawat seperti belakang badan.

Seterusnya, pengamal akan membakar bahan tertentu seperti herba, kertas atau sedikit larutan alkohol pada kulit yang ditekup oleh cawan bagi menghasilkan tekanan negatif antara cawan dan kulit.

Ini akan mengakibatkan bahagian tersebut naik seperti bengkak. Sesetengah pengamal juga akan menggunakan mesin bagi menyedut angin keluar dari cawan khas bagi menghasilkan bengkak yang lebih konsisten.

Bekam Darah

Prosedur ini pula tidak banyak bezanya dengan bekam angin. Cuma, ia boleh dikenalpasti apabila pengamal menggunakan pisau skalpel untuk mengeluarkan darah dari titik rawatan yang dikenalpasti.

bekam

Hadis Rasulullah Tentang Amalan Berbekam

Memetik perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Muhammad Ijaj al-Khatib telah menyatakan bahawa terdapat banyak hadis yang telah menceritakan amalan berbekam dalam kitab yang bertajuk ‘al-Sunnah al-Nabawiyyah’.

Antaranya ialah :

1. Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”.

[Riwayat al-Tirmizi, kitab jual beli, bab rukhsah pembekam, no. Hadith 1199]

2. Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

احتجم النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ في الأخدعَيْنِ وبَينَ الكَتِفَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam di lehernya dan juga di antara dua bahunya”.

[Riwayat Ahmad, no. Hadith 1987]

3. Daripada Abdullah bin Abbas, Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أن النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم احتجَم وهو مُحرِمٌ، واحتجَم وهو صائمٌ

Maksudnya: “ Nabi SAW berbekam dalam keadaan Baginda SAW berihram dan juga Baginda SAW berbekam ketika Baginda SAW berpuasa”.

[Riwayat al-Bukhari, kitab puasa, bab berbekam dan muntah bagi orang yang berpuasa, no. Hadith: 1802]

Hukum Berbekam

Terdapat sebahagian para ulama yang mengatakan bahawa berbekam adalah amalan sunnah.

Namun, Dr Ijaj al-Khatib berpendapat bahawa berbekam adalah suatu tuntutan terhadap sesiapa yang memerlukannya dan Rasulullah SAW turut mengatakan sedemikian.

Selain itu, melakukan bekam juga tidak membatalkan puasa berdasarkan hadis Ibn Abbas RA.

Khasiat Bekam dan Potensinya Untuk Kesihatan Tubuh

Melancarkan Aliran Darah

Rawatan alternatif ini secara umumnya akan menyebabkan saluran darah lebih jelas pada permukaan kulit.

Hasilnya, aliran darah boleh menjadi lebih lancar dan dikatakan baik untuk pesakit yang mempunyai faktor risiko seperti kencing manis atau kolesterol tinggi.

Melegakan Penyakit Reumatik atau Sendi Kronik

Berdasarkan kenyataan daripada Persatuan Bekam British, amalam berbekam dikatakan boleh melegakan simptom penyakit seperti rheumatic arthritis dan gout.

Perkara ini berkemungkinan kerana penyakit-penyakit ini mempunyai lebihan penandan keradangan atau toksik seperti asid urik dalam darah yang sukar disingkirkan melalui air kencing.

Ia juga dipercayai lebih efektif sekiranya prosedur tersebut dilakukan pada bahagian sendi yang bermasalah.

Merawat Kondisi Kulit

Dengan membuang darah secara terkawal pada titik tertentu, rawatan alternatif ini dipercayai dapat membuang sedikit sel-sel darah putih serta penanda keradangan bagi masalah penyakit seperti ekzema dan psoriasis.

bekam

Sebagai Alternatif Untuk Atasi Stres Atau Kemurungan

Rawatan bekam beserta urutan yang dilakukan dalam setiap sesi dikatakan dapat membantu menenangkan fikiran serta meredakan stres.

Membantu Mengurangkan Tekanan Otot dan Badan

Berbekam juga merupakan satu rawatan alternatif yang popular dalam kalangan atlet profesional bagi tujuan pemulihan yang lebih semulajadi.

Pada acara sukan Olimpik Rio 2016 lalu, atlet renang iaitu Michael Phelps juga didapati turut mengamalkan rawatan ini.

Ia dikatakan dapat melancarkan alirah darah serta membantu otot untuk membuang sisa toksik dengan mudah selepas aktiviti bersukan.

Kesan Sampingan dan Risiko Bekam

Seperti rawatan perubatan alternatif lain, berbekam juga boleh mengakibatkan kesan sampingan sekiranya tidak dilakukan dengan cara yang betul.

Antara risiko atau kesan sampingan bagi bekam adalah :

  • Jangkitan kuman pada kulit serta badan
  • Bengkak akibat kesan cawan atau kebakaran pada kulit.
  • Ketidakselesaan atau kegatalan
  • Pendarahan dalaman kulit
  • Lemah badan dan pening kepala.

Kesimpulannya, berbekam adalah perubatan alternatif yang boleh dicuba oleh semua.

Terdapat banyak potensi berbekam yang telah dikenalpasti namun kesemua kebaikan tersebut memerlukan penelitian menerusi kajian yang lebih lanjut.

Meskipun begitu, tidak salah untuk anda mencuba. Tambahan pula, ia merupakan satu sunnah Rasulullah SAW.

Namun, pastikan anda lakukannya dengan pengamal perubatan yang berdaftar, berpengalaman dan bebas daripada unsur khurafat.

Melakukan bekam dengan pengamal tidak berdaftar seperti dukun bukan sahaja bertentangan dengan syariah, malah anda juga dikhuatiri terdedah kepada kesan sampingan yang tidak diingini.

Tambahan pula, set kelengkapan berbekam sangat mudah didapati secara atas talian. Jadi, lebih mudah untuk individu tidak berdaftar menawarkan perkhidmatan ini.

Pada masa yang sama, sekiranya penyakit yang dialami masih tidak reda walaupun telah lakukan perubatan alternatif, anda perlulah berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Sumber : Doctor On Call, Mufti WP

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut