Bantut : Kesan dan Cara Pencegahan (Saranan KKM)

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Tinjauan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 21.2 peratus daripada kanak-kanak di negara ini mengalami pertumbuhan bantut pada 2022.

Yang merisaukan, fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak secara fizikal, namun ia turut mendedahkan generasi baharu kepada penyakit tidak berjangkit dan masalah kognitif.

Jadi apakah cara untuk mencegahnya dan tindakan yang boleh diambil oleh ibu-bapa? Ayuh kita semak bersama-sama.

Sumber : TruHeight

Apa Itu Bantut?

Bantut merupakan masalah kekurangan zat makanan yang kronik, di mana kanak-kanak tidak mendapat makanan yang mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti dalam satu tempoh masa yang lama.

Disebabkan itu, kanak-kanak yang kebantutan juga tidak mencapai ketinggian atau tumbesaran yang sepatutnya untuk umur mereka.

Walaupun ibu bapa mungkin berketinggian anak rendah, namun ia bukanlah punca utama anak bantut.

Sebaliknya, punca utama bagi masalah ini adalah kekurangan zat yang kronik pada awal usia.

bantut
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

Kesan Bantut Kepada Kanak-Kanak

Masalah ini perlu diberikan perhatian kerana ia tidak hanya menjejaskan perkembangan fizikal anak, malah ia juga boleh memberikan kesan negatif lain antaranya :

  • Sistem imuniti lemah
  • Fungsi intelektual terganggu  (psikologi, sosial, IQ dan EQ)
  • Kemahiran kognitif (kepintaran dan kecerdasan) terjejas
  • Kurang keyakinan diri
  • Risiko penyakit tidak berjangkit
  • Masalah kebantutan yang berpanjangan
  • Risiko obesiti

Cara Mencegah Kebantutan

Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak perlulah dikenalpasti sebelum usia dua tahun. Jika tidak, ia dikhuatiri boleh memberikan kesan fizikal yang kekal terhadap anak seumur hidupnya.

Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa peka dan memainkan peranan dalam memantau perkembangan kesihatan anak-anak.

Semasa tempoh kehamilan :

  • Pastikan kenaikan berat badan mengikut saranan sewaktu kehamilan.
  • Amalkan pemakanan sihat berdasarkan Piramid Makanan Malaysia bagi mendapatkan nutrisi seimbang dan keperluan tenaga harian secukupnya.
  • Amalkan pengambilan makanan kaya zat besi bagi mencegah anemia.

Selepas kelahiran anak :

  • Berikan susu ibu sahaja (secara ekslusif) kepada bayi dari lahir hingga berusia 6 bulan.
  • Berikan anak makanan daripada pelbagai jenis makanan dan kuantiti yang mencukupi selepas usia 6 bulan.
  • Bawa anak ke klinik kesihatan mengikut temu janji yang ditetapkan untuk pemantauan berterusan.
  • Dapatkan vaksin bagi meningkatkan sistem ketahanan badan bayi.
bantut
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak merupakan isu kesihatan yang serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan fizikal, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kognitif mereka.

Dalam usaha membendung masalah ini, peranan ibu bapa amatlah penting kerana merekalah yang menentukan corak pemakanan serta penjagaan kesihatan anak-anak sejak awal lagi.

Dengan pengetahuan dan kesedaran yang mencukupi, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mendapat nutrisi yang seimbang serta rawatan kesihatan yang sesuai demi tumbesaran yang sihat dan optimum.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (1), (2),(3), Astro Awani

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut