Bacaan Ketika Sujud, Anggota Sujud & Doa Semasa Sujud

Bacaan Ketika Sujud, Anggota Sujud & Doa Semasa Sujud
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bacaan Ketika Sujud ,Anggota Sujud & Doa Semasa Sujud

Dalam ibadah solat, sujud adalah merupakan salah satu rukun yang sangat penting. Tidak sah solat tanpa sujud yang sempurna. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud.

Pensyariatan sujud telah sabit di dalam al-Quran, hadis dan ianya juga adalah ijmak para ulama. 

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-Haj, ayat:77)

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Syarat Sah Solat, Syarat Wajib & Perkara Membatalkan Solat

Pengertian Sujud

Bacaan Ketika Sujud, Anggota Sujud & Doa Semasa Sujud

Sujud adalah tindakan meletakkan dahi, kedua telapak tangan, lutut, dan kaki di lantai sebagai tanda kepatuhan dan penghormatan tertinggi kepada Allah SWT.

Dalam posisi ini, seorang muslim menunjukkan kerendahan hati dan ketundukan sepenuhnya kepada Pencipta.

Merujuk laman sesawang Mufti WP, sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri.

Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud.

Pengertian sujud pada syara’ ialah dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan dengan tempat sujudnya.

Syarat Sujud

Antara syarat sah sujud adalah menyentuh tempat sujud dengan dahi yang terdedah serta melakukan sujud dengan enam anggota badan yang lain iaitu dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki. 

Hal ini berdasarkan hadis, sabda Nabi ﷺ:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ، وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”

(Hadis Riwayat Bukhari (812) & Muslim (490))

NOTA: Tidak wajib mendedahkan semua anggota tersebut semasa sujud kecuali dahi dan tapak tangan

Menurut Kitab Fiqh Solat syarat-syarat sujud terbahagi kepada 9 syarat iaitu:

  1. Dua kali sujud pada setiap rakaat.
  2. Menyahajakan sujud.
  3. Menghantarkan tujuh anggota iaitu dahi, dua lutut, dua tapak tangan dan sebahagian daripada perut jari kedua-dua kaki kepada tempat sujud.
  4. Dahi dan tapak tangan terbuka tanpa berlapik dan tetap pada tempat sujud.
  5. Memberatkan kepala pada tempat sujud, andainya ada kapas di bawahnya maka wajib ditekan dahi atasnya hingga berbekas.
  6. Meninggikan punggung daripada kepala.
  7. Tidak sujud seseorang atas sesuatu yang ditanggungnya yang bergerak ia dengan geraknya seperti hujung serban tetapi tidak mengapa jika yang ditanggungnya itu tidak bergerak dengan geraknya seperti dia sujud atas kainnya yang labuh.
  8. Tidak ada berlapik atas sekalian dahi dan tapak tangan oleh umpama pembalut kecuali jika ada pembalut itu kerana luka yang amat sukar menanggalkannya maka tidak mengapa.
  9. Tomakninah dalam sujud.

Anggota WAJIB Dalam Sujud

Terdapat tujuh anggota wajib dalam sujud, iaitu:

  1. Dahi
  2. Dua tapak tangan
  3. Dua lutut
  4. Dua hujung kaki

Penjelasan:

Imam al-Nawawi r.a menyebut di dalam syarahnya:

“Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh dan mesti seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya.

Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung.

Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab Syafie, Malik dan kebanyakan ahli ilmu.”

Beliau menyebut lagi,

“Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadis menyebutkan tujuh anggota tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan. Maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.”

(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/208)

Bacaan Ketika Sujud, Anggota Sujud & Doa Semasa Sujud

Bacaan Ketika Sujud dan Hukumnya

Maksudnya: Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi (Dibaca tiga kali)

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَكَعَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَذَلِكَ أَدْنَاهُ وَإِذَا سَجَدَ فَلْيَقُلْ سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى ثَلاَثًا وَذَلِكَ أَدْنَاهُ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu rukuk maka ucapkanlah tiga kali ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ’ dan itulah sekurang-kurang ucapannya. Jika dia sujud maka ucaplah ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى’ sebanyak tiga kali dan itulah sekurang-kurang ucapannya.”

Penjelasan Hukum

Mengikut mazhab Syafie, bacaan ketika sujud/rukuk adalah sunat hai’ah. Tidak terbatal solat apabila tidak membaca bacaan ketika sujud keranan ia bukan rukun solat atau  fardu yang menyebabkan solat seseorang itu tidak sah jika ditinggalkan tetapi makruh jika ditinggalkan secara sengaja.

Hukum meninggalkan sunat hai’ah tidaklah berdosa dan tidaklah menyebabkan seseorang itu perlu menampungnya dengan sujud sahwi, seperti halnya pada meninggalkan sunat ab`adh.

Doa Ketika Sujud

Bacaan Ketika Sujud, Anggota Sujud & Doa Semasa Sujud

Rasulullah SAW bersabda:
أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ
Maksudnya: Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.

Hadith riwayat Muslim: (482)

Doa yang boleh dibaca semasa sujud ialah:

اللهم لك سجدت و بك آمنت و لك أسلمْت سجد وجهي للذي خلقه و صوّره و شّق سمعه و بصره تبارك الله أحسن الخالقين

Maksudnya: Ya Allah, hanya kepada Engkau aku bersujud, hanya kepada Engkau aku beriman dan hanya kepada Engkau aku menyerah diri. Telah sujud wajahku kepada Yang Menciptanya, Yang Membentuknya dan Yang memberikannya pendengaran dan penglihatan. Maha Suci Allah yang merupakan sebaik-baik pencipta.

Begitu juga, boleh ditambah doa yang dibaca oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, iaitu

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ، دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَعَلَانِيَتَهُ وَسِرَّهُ

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah dosaku seluruhnya, yang kecil dan yang besar, yang awal dan yang akhir, yang nyata dan yang terselindung.

Sumber:

  1. SUJUD DALAM SOLAT – Jabatan Mufti Negeri Terengganu
  2. #545: Membaca al-Quran Ketika Sujud – Maktabah Al Bakri
  3. AL-KAFI #1515: HUKUM IMAM MEMANJANGKAN SUJUD DAN BACAAN YANG BOLEH DIBACA KETIKANYA – Mufti WP 
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut