10 Azam Integriti 2025 (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam)

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Setiap kali tibanya tahun baharu, pasti ramai yang menetapkan azam baharu atau cita-cita bagi meningkatkan kualiti hidup agar lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Sebagai orang Islam, kita juga digalakkan untuk menanam azam demi memperbaiki diri.

Menurut firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud : “Apabila engkau telah berazam maka hendaklah engkau bertawakal kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT suka kepada mereka yang bertawakal”.

Apa juga azam yang ingin dicapai, ia juga perlu diselitkan bersama janji pada diri sendiri agar menjadi insan yang lebih berintegriti berbanding tahun sebelumnya.

Antara nilai integriti yang paling mudah adalah dalam waktu bekerja. Jika diamati semula, berapa jamkah yang kita gunakan untuk betul-betul menjalankan tugas dan sejauh manakah kita mampu memegang amanah yang diberikan oleh majikan?

Meskipun pahit untuk ditelan, namun ramai yang mengambil kesempatan ketika waktu bekerja untuk melakukan urusan peribadi seperti pergi ke bank, mengambil anak dari sekolah atau tadika dan sebagainya.

Ada ketikanya, kita juga membuat kerja bertangguh, cincai dan tidak bersungguh. Ini seterusnya boleh menjejaskan kualiti kerja dan merosakkan integriti diri sebagai seorang pekerja.

Untuk menjadi seorang yang berintegriti, adalah penting untuk kita menanam azam dan berpegang kepada amalan murni dalam kehidupan.

Oleh itu, ayuh sama-sama kita semak Azam Integriti 2025 sebagai peringatan.

Azam Integriti 2025 (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam)

  1. Pekerjaan Luar

Mendapatkan kelulusan bertulis daripada Pihak Berkuasa Melulus (dan melalui Ketua Jabatan) sebelum melakukan pekerjaan luar. (Peraturan 5[P.U(A) 395/1993]

2. Etika Berpakaian

    Mematuhi etika berpakaian pegawai awam semasa bertugas. (Peraturan 6 [P.U(A) 395/1993)

    3. Penyalahgunaan dan Penagihan Dadah

      Tidak terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan apa-apa jenis dadah berbahaya. (Peraturan 7 [P.U(A) 395/1993)

      4. Hadiah

        Tidak menerima atau memberi hadiah jika berkaitan dengan tugas awamnya dan atau bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah itu diberi. (Peraturan 8 [P.U(A) 395/1993)

        5. Bankrap

          Tidak terlibat dengan keterhutangan kewangan yang serius. (Peraturan 13 [P.U(A) 395/1993)

          6. Pernyataan Awam

            Tidak membuat apa-apa pernyataan awam secara lisan atau bertulis yang boleh memudaratkan, memburukkan apa-apa dasar kerajaan dan nama kerajaan. (Peraturan 19 [P.U(A) 395/1993)

            Sumber : AADK Perak

            7. Bergiat Aktif Politik

              Mendapatkan kelulusan bertulis daripada Pihak Berkuasa Melulus (dan melalui Ketua Jabatan) sebelum bergiat aktif dalam politik. (Peraturan 21 [P.U(A) 395/1993)

              8. Waktu Bekerja

                Mematuhi waktu bekerja dan keberadaan di pejabat dan sekolah. (Peraturan 24 [P.U(A) 395/1993)

                9. Gangguan Seksual

                  Tidak melakukan gangguan seksual atau hubungan sulit yang bercanggah dengan agama, budaya dan mencemar imej jabatan. (Peraturan 4A [P.U(A) 395/1993)

                  10. Salah Laku Jenayah

                    Tidak terlibat dengan salah laku jenayah yang akan didakwa di mahkamah. (Peraturan 43,44 & 45 [P.U(A) 395/1993)

                    *Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993, (P.U(A) 395/1993)

                    *Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia : Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam

                    azam integriti 2025

                    Masih belum terlambat untuk kita sematkan tekad dan mendidik hati agar menjadi insan yang lebih baik dan berintegriti pada tahun ini.

                    Mulakan dengan hadir lebih awal ke pejabat dan fokus serta bersungguh-sungguh melakukan tugas yang telah diberikan.

                    Buang sifat malas dan cegah diri untuk melakukan perkara yang mengalpakan dan boleh mengganggu prestasi di tempat kerja.

                    Semoga usaha kita untuk menjadi individu yang lebih baik pada tahun ini dipermudahkan Allah SWT.

                    Sumber : Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Bernama

                    Baca Juga : Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam 2025 & Pesara

                    Follow eCentral di WhatsApp Channel
                    Ikut