Askar Wataniah: Syarat & Insentif Yang Ditawarkan

askar wataniah
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bagi mereka yang menyertai pasukan askar, Askar Wataniah merupakan salah satu badan atau pasukan yang boleh disertai.

Bagi yang tidak mengetahui, pasukan askar ini menyediakan pelbagai insentif dan manfaat yang boleh dinikmati kepada mereka yang menyertainya.

Oleh itu, penyertaan ke dalam pasukan askar ini amat dialu-alukan dalam membentuk individu yang seimbang dari segi jasmani dan rohani.

Mengenai Askar Wataniah

Askar Wataniah adalah badan sukarela yang berlainan dari badan-badan sukarela yang lain.

Ia merupakan Angkatan Simpanan Tentera Darat Malaysia (ATM) dan bersama-sama dengannya untuk mempertahankan negara kita.

Penyertaan rakyat Malaysia di dalam Askar Wataniah merupakan satu sumbangan murni di dalam menyahut seruan ibu pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan di dalam dasar pertahanan negara.

HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk pengemblengan semua sumber negara di samping penglibatan angkatan tentera.

Sejarah Penubuhan

Sejarah pasukan ini bermula pada tahun 1861, apabila unit sukarela Tentera Darat negeri-negeri Selat telah ditubuhkan di Pulau Pinang dengan nama Penang Volunteers.

Unit sama juga telah ditubuhkan di Singapura dengan nama Singapore Volunteers dan pada tahun 1902, Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang telah mula menubuhkan unit sukarelanya sendiri yang dikenali sebagai Malay State Volunteer Rifles.

Pasukan sukarela ini kemudian terus berkembang dengan penubuhan beberapa pasukan baru seperti di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dipanggil Federated Malay States Volunteer Force.

Pasukan Sukarela di Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dipanggil Unfederated Malay States Volunteer Force dan di Negeri-Negeri Selat pula ialah The Straits Settlement Volunteer Force.

Pasukan-pasukan Sukarela telah memainkan peranan yang begitu penting terutamanya semasa dalam Peperangan Dunia Kedua, Darurat 1948-1960 dan Konfrontasi 1964.

Setelah tercetusnya Perang Dunia Kedua, kesemua unit-unit sukarela ini telah diaturgerak dan berganding bahu bersama-sama pasukan tentera tetap dari Britain, India dan Australia untuk mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, pasukan-pasukan sukarela yang telah wujud sebelum ini telah diaktifkan semula.

Semasa berlakunya Darurat Tanah Melayu pada tahun 1948, satu pasukan sukarela iaitu Pasukan Kawalan Kampung (Home Guard) telah ditubuhkan.

Pasukan Kawalan Kampung ini telah memainkan peranan yang penting sepanjang tempoh darurat tersebut.

Pasukan Kawalan Kampung (Home Guard) ini telah dibubarkan pada tahun 1958 setelah keadaan keselamatan telah berjaya dikawal dan dipulihkan.

Bagaimanapun, memandangkan ramai bekas anggota Pasukan Kawalan Kampung mahu terus menyumbang khidmat sukarela, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengambil keputusan untuk menyusun semula pasukan sukarela supaya ia lebih tersusun dan berkesan.

Oleh itu, Ordinan Tentera Darat Simpanan telah digubal pada 1958 dan menerusi kuasa ordinan ini, sebuah pasukan sukarela yang baru yang dikenali dengan nama Askar Wataniah telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jun 1958.

Insentif Yang Ditawarkan

Insentif yang ditawarkan kepada mereka yang menyertai askar ini adalah seperti berikut:

  • Elaun Latihan Tempatan :Pegawai RM 9.80/LLP RM 8.00 sejam (2022). Elaun ini dibayar berasaskan jumlah jam kehadiran ke latihan tempatan.
  • Elaun Latihan Berterusan dan Elaun Latihan Tempatan :  Melebihi 3 hari (72 jam) berterusan.
    – Latihan Berterusan – 14 hari
    – Latihan Kem Tahunan – 15 hari

    Bayaran elaun harian mengikut skala tangga gaji sama dengan Angkatan Tetap seperti pangkat semasa yang disandang.
  • Elaun Pemberian Pakar : (Pegawai RM 300.00/LLP RM 200.00) – Untuk pegawai atau anggota rejimen pakar yang ditauliahkan/didaftarkan untuk tempoh tidak kurang daripada empat tahun.
  • Elaun Perjalanan : Dibayar bagi perjalanan menggunakan kenderaan persendirian dari tempat kediaman ke tempat latihan.

    Syarat-syarat tuntutan:
    – Menggunakan kenderaan persendirian (kereta atau motosikal)
    – Membayar tambang pengangkutan awam (tiket bas, teksi dan keretapi).

    Kelayakan bayaran elaun pengangkutan adalah seperti berikut:
    – Latihan Tempatan (hujung minggu)
    – Latihan Berterusan dan Kem Tahunan
  • Elaun Pakaian :
    – Elaun Pakaian Istiadat : (RM 750.00) – Boleh dituntut lima tahun sekali bermula dari tarikh pentauliahan pegawai berkenaan.
    – Elaun Pakaian ‘Outfit’ : (RM 300.00) – Dibayar sekali semasa pentauliahan seseorang pegawai angkatan sukarela.
    – Elaun Senggaraan Pakaian : (RM 125.00) – Dibayar setahun sekali dikira dari tarikh pentauliahan pegawai.
    – Elaun Pakaian Tauliah Kehormat : (RM 1000.00) – Dibayar sekali semasa pegawai diberi tauliah kehormat seseorang pegawai angkatan sukarela. 
  • ‘Bounti’ : 
    Memenuhi syarat :-
    ·Kadar Penuh RM 520.00.
    ·Kadar Tiga Suku RM 390.00
    ·Kadar Separuh RM 260.00

Aktiviti & Latihan

Aktiviti dan latihan yang perlu dilalui sebagai salah seorang anggota Askar Wataniah adalah seperti berikut:

  • Latihan Tempatan  – Latihan yang dijalankan secara individu di luar waktu kerja atau hujung minggu antara 3 hingga 10 jam sehari. Jumlah masa latihan tidak melebihi 240 jam setahun. Latihan dilaksanakan adalah latihan kawad senjata, ilmu medan perang dan rejimental.
  • Latihan Berterusan -Latihan dibuat secara berterusan dengan memberi penekanan kepada Latihan Kolektif. Jangka masa latihan minimum 3 hari dan maksimum 14 hari. Ia adalah kesinambungan dari latihan tempatan dan dibuat secara berkelompok.
  • Latihan Kem Tahunan  – Ianya adalah latihan berkelompok untuk menguji tahap kecekapan anggota yang dilaksanakan selama 15 hari. Latihan yang dilaksanakan meliputi fasa kem dan medan.

Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan untuk menyertai askar ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Berumur di antara 18 ke 45 tahun.
  3. Mempunyai kelayakan akademik SPM bagi kategori Lain-Lain Pangkat.
  4. Sihat tubuh badan.
  5. Tidak mempunyai rekod jenayah.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai pasukan askar ini, sila layari laman web http://aw.army.mil.my/.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut