Anjung Syawal @ Festival Ramadan Putrajaya 2025 – Tarikan Utama
Bulan Ramadan tiba lagi!
Pasti ramai yang tidak sabar untuk merasai suasana bazar yang meriah dengan pelbagai pilihan juadah, aktiviti menarik dan pakaian raya.
Tahun ini, Anjung Syawal @ Festival Ramadan Putrajaya 2025 kembali lagi dengan 300 lot niaga (booth) serta pelbagai tarikan menarik. Sejuta pengunjung dijangka akan memeriahkan bazaar terbesar di Malaysia ini!
Dengan tema “Memori Ramadan, Aspirasi Syawal”, festival ini menjadi platform terbaik untuk anda membeli-belah, beriadah dan merasai suasana ramadan serta membuat persiapan untuk Syawal kelak.
Jika anda merancang untuk berkunjung ke sini, jom teruskan membaca untuk mengetahui lebih banyak info-info penting mengenai Anjung Syawal @ Festival Ramadan Putrajaya 2025 ini.
BACA JUGA: Waktu Berbuka Puasa KL & Putrajaya 2025 (1446H)
Anjung Syawal @ Festival Ramadan Putrajaya 2025
Anjung Syawal adalah sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025. Ia akan berlangsung dari 28 Februari hingga 30 Mac 2025 di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Tahun ini, festival ini memasuki edisi ke-13 dengan skala yang lebih besar dan pelbagai tarikan menarik.
Terdapat 300 lot niaga tersedia yang menawarkan pelbagai produk persiapan raya dan juga juadah berbuka puasa.
Selain itu, festival ini memperkenalkan konsep baharu seperti Pangkin Seni dan Serambi Santai, ruang khas untuk pengunjung menikmati persembahan seni dan budaya dalam suasana santai.
Memang meriah!
Menariknya lagi, festival ini juga menyokong inisiatif hijau dengan sistem pembayaran tanpa tunai serta kempen kesedaran seperti pengurangan sisa makanan dan pengurangan penggunaan plastik sekali guna.
Demi keselesaan pengunjung, pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk ruang solat, parkir berpatutan, dan kawasan berbuka puasa terbuka dengan konsep berkelah.
Festival Ramadan Putrajaya 2025 menjanjikan pengalaman membeli-belah dan berbuka puasa dalam suasana yang penuh kemeriahan dan keselesaan!
Festival Ramadan Putrajaya 2025
Festival Ramadan Putrajaya 2025 dibahagikan kepada 4 komponen utama iaitu
- Bazar Ramadan P3
- Anjung Syawal
- Laman Oasis
- Laman Iftar
Bagi komponen Bazar Ramadan P3, terdapat 288 gerai yang bakal menjual lebih 1000 menu juadah berbuka puasa bertempat di lot berhampiran Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin.
Pengunjung turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka di Laman Oasis terletak di antara Blok AB dan CD, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang berbuka puasa berkonsepkan berkelah di kawasan padang berhadapan Kompleks PPj.
Bagi komponen Anjung Syawal pula, dianggarkan 300 penggerai akan turut serta termasuk selebriti tempatan dan pempengaruh terkenal Malaysia yang menjual barangan persiapan raya.
Di samping itu, pengisian tazkirah, persembahan dan hadiah cabutan bertuah lumayan turut disediakan kepada para pengunjung.
Perbadanan Putrajaya juga berkolaborasi bersama pempengaruh Pin Yang melalui program “Yang Riang Raya” yang bersiaran secara live di Anjung Syawal.
Lagu Tema
Tahun ini, suasana raya di Anjung Syawal dimeriahkan lagi dengan lagu tema bertajuk “Raya Sebenarnya”. Lagu ini ciptaan Choky Nainggolan, dengan lirik oleh Rayme & Choky Nainggolan.
Jangan lupa nikmati muzik video lagu tema ini sambil membeli-belah di Anjung Syawal @ Festival Ramadan Putrajaya 2025!
Lokasi, Tarikh & Waktu Operasi
- Lokasi: Dataran Putrajaya, Presint 3
- Tarikh: 28 Februari – 30 Mac 2025
- Waktu Operasi: 12.00 tengah hari hingga 12.00 malam (Isnin- Jumaat), 10.00 pagi hingga 12.00 malam (Sabtu & Ahad)
Masuk adalah percuma!!
Tarikan Utama
1. Bazar Aidilfitri Terbesar di Lembah Klang
Dengan lebih daripada 300 lot niaga, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan persiapan Hari Raya seperti pakaian, aksesori rumah, kuih-muih dan banyak lagi.
2. Juadah Berbuka Puasa yang Pelbagai
Festival ini turut menampilkan Bazar Ramadan Utama di Presint 3 yang menawarkan lebih daripada 1,000 jenis juadah berbuka puasa. Ada macam-macam jenis makanan yang tersedia untuk memuaskan selera anda.
3. Konsep Berbuka Puasa Unik
Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman berbuka puasa beramai-ramai dengan konsep berkelah sambil menikmati pemandangan indah sekitar Dataran Putrajaya.
4. Pangkin Seni & Serambi Santai
Segmen terbaru ini menyediakan ruang istirahat dengan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti tarian tradisional, persembahan gamelan dan pameran seni. Ia juga menjadi tempat bersantai untuk pengunjung selepas membeli-belah.
Kehadiran artis-artis tanah air juga pastinya akan memeriahkan lagi Festival Ramadan Putrajaya 2025 ini!
5. Kempen Hijau & Pembayaran Tanpa Tunai
Festival Ramadan Putrajaya 2025 menyediakan konsep pembayaran tanpa tunai (Cashless Initiative) sepenuhnya bagi menyokong inisiatif Putrajaya sebagai Bandar Raya Rendah Karbon.
Festival ini juga menyokong inisiatif hijau melalui pelaksanaan kempen Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna, Kempen Elakkan Pembaziran Makanan (Beli Apa Yang Perlu sahaja), Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan di Festival Ramadan Putrajaya dan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai.
6. Kemudahan Lengkap
Terdapat lebih daripada 2,000 tapak parkir disediakan dengan kadar bayaran rendah untuk semua pengunjung. Selain itu, terdapat juga kemudahan solat berjemaah dan solat tarawih di lokasi berhampiran seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
7. Cabutan Bertuah
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah lumayan melalui cabutan bertuah yang disediakan. Untuk menyertai cabutan bertuah ini, pengunjung perlu membeli-belah di gerai-gerai yang terdapat di Anjung Syawal.
8. Aktiviti Kebajikan & Tazkirah
Festival ini turut menganjurkan aktiviti keagamaan seperti tazkirah Ramadan dan program qiamulail pada malam-malam terakhir Ramadan. Ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk menghayati bulan mulia ini dengan lebih mendalam.
Tips Berkunjung ke Festival Ramadan Putrajaya 2025
1. Rancang Perjalanan Anda Dan Datang Awal
Festival ini dijangka menarik ribuan pengunjung setiap hari terutama pada hujung minggu dan menjelang Hari Raya.
Sebaiknya datang lebih awal untuk membolehkan anda meneroka setiap gerai dengan lebih tenang serta mendapatkan tempat yang selesa untuk berbuka puasa.
Anjung Syawal beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
2. Gunakan Pengangkutan Awam
Gunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan masalah tempat letak kereta. Walau bagaimanapun, jika anda memandu, terdapat lebih 2,000 tapak parkir yang disediakan.
3. Sediakan Wang Elektronik untuk Pembayaran
Festival ini menyokong inisiatif hijau dengan sistem pembayaran tanpa tunai. Jadi, pastikan e-wallet seperti Touch ‘n Go eWallet, Boost, atau GrabPay tersedia untuk urusan pembelian.
4. Bawa Beg Kitar Semula
Sokong inisiatif hijau festival ini dengan membawa beg kitar semula sendiri untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
5. Periksa Jadual Acara
Semak jadual acara dan aktiviti di laman web atau media sosial rasmi Perbadanan Putrajaya untuk maklumat terkini agar anda tidak terlepas mana-mana aktiviti menarik.
6. Hormati Kebersihan dan Jaga Keselamatan
Sebagai festival berkonsep mesra alam, pengunjung digalakkan untuk membuang sampah di tempat yang disediakan dan mengurangkan penggunaan plastik. Selain itu, pastikan keselamatan diri dan barangan berharga sentiasa dijaga ketika berada di kawasan yang sesak.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Anjung Syawal dan juga info keseluruhan Festival Ramadan Putrajaya 2025, anda boleh rujuk:
- Telegram Perbadanan Putrajaya
- Facebook Perbadanan Putrajaya
- Facebook Festival Ramadan Putrajaya 2025
- Instagram festivalramadanputrajaya2025