Berdiri sama tinggi dengan penyanyi berpengalaman lain, bakat Amir Masdi kian menambat hati penggemar muzik tanah air apabila lagunya berjudul Sengaja tercalon sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-39.
Meskipun baru 8 tahun berkecimpung dalam industri, namun mungkin ada yang menganggap beliau sudah lama menyanyi.
Mana tidaknya, Amir sudah tercalon sebanyak tiga kali sebagai finalis Anugerah Juara Lagu dan tampil dalam beberapa program realiti popular di kaca TV.
Penyanyi yang berasal dari Selangor ini juga sering diundang untuk membuat persembahan di beberapa konsert bersama legenda muzik lain seperti Dewa 19 : A Night at The Orchestra dan Konsert Gemuruh Search.
Namun, sejauh manakah anda kenali penyanyi mudah berbakat besar ini? Ayuh sama-sama kita semak biodata Amir Masdi dan pencapaian beliau dalam industri muzik.
Biodata Amir Masdi
- Nama Penuh : Amir Syazwan Masdi
- Nama Komersial : Amir Masdi
- Tarikh Lahir : 3 Oktober 1996
- Umur : 28 tahun (2024)
- Asal : Selangor
- Status : Bujang
- Pekerjaan : Penyanyi, komposer lagu
- Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Universiti Utara Malaysia)
- Akaun Media Sosial : @amir.masdi (Instagram), @amir.masdi (TikTok), Amir Masdi (Facebook)
Perjalanan Karier
Bakat Amir Masdi sebagai penyanyi terbukti apabila beliau muncul juara dalam Akademi Fantasi 2016 (AF2016).
Antara peserta lain yang turut menyerlah dalam program AF2016 adalah Ara Johari dan Ammal Bellamy.
Pada tahun berikutnya, beliau terpilih sebagai peserta AF Megastar 2017 iaitu sebuah program nyanyian yang mengumpulkan semula bakat peserta Akademi Fantasia dari pelbagai musim.
Walau bagaimanapun, rezeki tidak menyebelahi Amir yang tersingkir di konsert separuh akhir.
Setelah melahirkan beberapa single dan sebuah album, Amir Masdi kini kembali dengan album kedua yang bertajuk AM : PM.
Berlainan dengan album sebelum ini, album AM:PM dihasilkan dalam dua bahagian iaitu AM dan PM. Album penuhnya ialah AM:PM tetapi PM akan dikeluarkan pada tahun 2025.
Menurut Amir dalam satu temubual, tajuk AM:PM agak menarik kerana AM mewakili huruf permulaan namanya iaitu Amir Masdi manakala PM adalah singkatan kepada Projek Manchester.
Dalam album ini, pendengar akan disajikan dengan lagu yang dicipta khas oleh Amir. Pada masa yang sama, penyanyi muda ini juga terlibat dalam penerbitan lagu bersama komposer terkenal Edry Abdul Halim.
Amir juga sangat berbesar hati apabila salah satu lagu daripada album AM yang berjudul “Nur Cinta” telah dipilih sebagai lagu OST utama bagi drama popular Andai Tiada Dia yang disiarkan di Astro Ria.
Album yang diterbitkan di Manchester ini juga merupakan terbitan AR United Music iaitu Syarikat rakaman milik Amir sendiri.
Ayuh sama-sama kita saksikan muzik video rasmi bagi Nur Cinta di bawah.
Setelah melancarkan album AM, Amir kini fokus untuk membuat persiapan bagi Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) apabila lagunya berjudul Sengaja dipilih sebagai salah satu daripada 10 karya untuk berentap di pentas tersebut.
Pencalonan ini sekaligus bakal menjadi penampilan ketiga Amir di anugerah berprestij tersebut.
Cabaran Dalam Karier
Dalam sebuah portal tempatan, Amir pernah mendedahkan bahawa perjalanannya untuk sampai ke tahap hari ini tidak semudah disangka. Gelaran juara dimiliki bukan tiket untuk dirinya mencapai apa diingini.
“Ini saya tidak pernah ceritakan, malah kedua ibu bapa saya tak tahu pun. Masa awal-awal selepas habis buat persembahan saya akan tanya pengurus berapa dibayar, dia cakap tidak ada. Ketika itu saya fikir macam inikah nasib penyanyi yang mana bersusah payah menyanyi tapi tidak ada bayaran.
“Malah, saya masih Ingat lagi selepas habis AF, pergi sana sini nyanyi banyak lagu, tapi percuma saja. Waktu itu saya ckp pada diri, ini adalah platform untuk saya cari pengalaman dan memperbaiki diri. Ini adalah ujian, saya ambil sebagai halangan yang perlu hadapi. Mungkin masa itu saya dapat pengalaman dan pendedahan, dan ia betul.
“Apa yang sedihnya, balik rumah mak ayah gembira sebab saya ada ‘show’ dan mestilah mereka fikir dapat bayaran. Kalau mereka tanya, saya hanya cakap ada. Dalam hati saya sendiri yang tahu. Saya tidak mahu mereka risau. Jadi, saya pendam saja,” katanya pada program SYOK Podcast.
Selain itu, dia juga pernah tidur di studio dan terpaksa ‘menipu’ kedua ibu bapanya dengan memberitahu mereka bahawa dia sibuk bekerja dan banyak tawaran menyanyi.
“Ketika tidak ada bayaran, masa itu tidur di studio. Saya ikut pengurus pergi jumpa orang berpengalaman dalam industri. Pendek kata saya banyak luangkan masa di studio untuk elak ditanya oleh mak ayah.
“Lagi satu saya tidak mahu terkurung di rumah dan menganggu fikiran yang saya tidak ada kerja. Jadi, saya memilih untuk berada di studio agar kelihatan sibuk dan banyak kerja. Pendek kata, saya sebenarnya sibukkan diri untuk kaburi pandangan keluarga. Tetapi dalam masa sama, di studio saya nak dapatkan pendedahan dan belajar banyak perkara berkaitan muzik,” katanya.
Pencapaian dan Penglibatan Lain
- The Masked Singer 2 (Naib Juara)
- Juri All Together Now Musim ke-2
- Finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (Lagu : Kau Sakiti)
- Finalis Anugerah Juara Lagu ke-37 (Lagu : Debu ft Dayang Nurfaizah)
- Finalis Anugerah Juara Lagu ke-39 (Lagu : Sengaja)
Penyanyi muda berbakat besar ini ternyata terus mendapat tempat di hati penggemar muzik tanah air.
Selamat maju jaya diucapkan buat Amir Masdi dan semoga kariernya dalam industri muzik terus berkembang.
Sama-sama kita nantikan persembahan Amir dalam anugerah berprestij AJL 39 yang akan berlangsung pada awal 2025.
Untuk ketahui perkembangan terkini Amir, jangan lupa ikuti laman media sosialnya.
Sumber : Harian Metro, Kosmo!, Remaja, SYOK
Baca Juga : Senarai Finalis AJL 39 (Anugerah Juara Lagu 2025)