Allahumma Innaka Afuwwun – Doa Memohon Keampunan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Allahumma Innaka Afuwwun – Doa Memohon Keampunan Dalam Bulan Ramadan & Lailatul Qadar

Ramadan adalah bulan pengampunan di mana pada bulan ini Allah membuka luas pintu ibadah dan memberikan ganjaran keampunan buat dosa-dosa silam kita.

Sepanjang bulan Ramadan, kita dianjurkan untuk banyakkan berdoa terutamanya sebelum berbuka puasa. Berdasarkan sebuah hadis, Baginda Nabi s.a.w bersabda:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.

Terdapat satu malam pada bulan Ramadan yang Allah SWT jadikan istimewa berbanding malam-malam lain, iaitu malam Lailatul Qadar. Pada malam tersebut, setiap amalan akan dilipatgandakan pahalanya.

Terdapat satu doa istimewa untuk memohon keampunan dalam bulan Ramadan, iaitu doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada isterinya iaitu Aisyah RA apabila bertemu Lailatul Qadar.

Nak tahu lebih lanjut? Jom semak artikel di bawah. 

BACA JUGA: Allahumma Yassir Wala Tu’assir – Maksud Doa & Kelebihannya

Doa Memohon Keampunan – Allahumma Innaka Afuwwun

Marilah sama-sama kita amalkan membaca doa ini memohon keampunan daripada Allah SWT.

Daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. 

Nabi SAW bersabda: 

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Bacaan Rumi: Allahumma Innaka Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Anni.

Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.

[Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah]

doa memohon keampunan
Sumber: Dr Ahmad Sanusi

Huraian 

Doa اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي “Allahumma Innaka Afuwwun” adalah doa yang mengandungi permohonan keampunan yang amat mendalam.

Kata “Afuwwun” bermaksud “Pengampun yang Maha Luas”. Dalam doa ini, umat Islam mengakui dosa-dosa mereka serta memohon agar Allah SWT mengampuni segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan.

Doa ini menjadi lebih bermakna apabila dibaca pada malam Lailatul Qadar. Malam Lailatul Qadar merupakan malam di mana Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada hamba-Nya yang memohon dengan tulus ikhlas. 

Dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berdiri (menunaikan ibadah) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka diampunilah dosanya yang telah lalu.”

Walaupun kita tidak mempunyai pengetahuan bilakah akan berlaku Malam Lailatul Qadar, namun kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan pada malam sepuluh terakhir Ramadan termasuk memperbanyakkan membaca doa ini. 

Allahumma Innaka Afuwwun - Doa Malam Lailatul Qadar/Doa Memohon Keampunan
Sumber: Dr Ahmad Sanusi

Kesimpulan

Ayuh, panjatkanlah doa kepada Allah apa sahaja yang dihajati samada untuk diri sendiri, kaum keluarga, sahabat handai dan untuk seluruh kaum Muslimin.

Rujuk doa-doa yang boleh diamalkan sepanjang bulan Ramadan di sini. 

Semoga dengan mengamalkan doa ini pada malam sepuluh terakhir Ramadan kita dapat meraih keampunan daripada Allah SWT serta rahmat dan keberkatan-Nya. 

Marilah kita memperbanyakkan melakukan kebaikan dan berdoa sepanjang bulan Ramadan ini. Jangan lupa berazam untuk meningkatkan kualiti iman serta ibadah kita. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa kita dan mengurniakan rahmat-Nya kepada kita semua. Amin.

Sumber:

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-204: DOA MALAM AL-QADAR – Mufti Wilayah Persekutuan., Dr Ahmad Sanusi

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut