15+ Aktiviti Menarik Di Bali & Tarikan + Tips Penting!
Bali adalah merupakan destinasi percutian yang sememangnya menjadi pilihan ramai sama ada pelancong tempatan mahupun dari seluruh dunia.
Turut dikenali sebagai Pulau Dewata, ia menawarkan pelbagai tarikan yang tidak dapat anda temui di tempat lain.
Terdapat juga macam-macam aktiviti menarik di Bali yang boleh dilakukan dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Apa yang menjadikan Bali lebih istimewa adalah kehangatan budaya dan keramahan penduduk tempatannya.
Sekiranya anda bercadang untuk bercuti di Bali, jom baca perkongsian mengenai Bali yang kami kongsikan di bawah.
Kami telah menyenaraikan 15+ aktiviti menarik di Bali yang sesuai untuk semua; sama ada anda bercuti bersama keluarga dengan anak kecil, pasangan berbulan madu, hingga pelancong solo yang mencari pengembaraan.
BACA JUGA: Peta Indonesia: Info Geografik dan Demografik
Aktiviti Menarik Di Bali & Tempat Tarikan
1. Melakukan Aktiviti Rekreasi di Pantai Suluban
Nak tahu tak Pantai Suluban (Blue Point Beach) yang terletak di Uluwatu ini adalah merupakan salah satu pantai tercantik dan ter-unik di Bali. Pantai ini dikelilingi oleh tebing batu kapur yang tinggi.
Untuk sampai ke kawasan pantai, pengunjung perlu menuruni tangga dan melalui celah-celah di antara batu karang. Agak mencabar juga la, tetapi suasana pantainya memang sangat memukau dan ‘eksklusif’. Memang tak sama dengan mana-mana pantai.
Setibanya di Pantai Suluban, anda akan disambut oleh pasir putih yang lembut dan air laut biru jernih. Pantai ini juga ‘syurga’ bagi peminat sukan air, terutama luncur ombak.
Sekiranya anda tidak gemar aktiviti air, ada banyak lagi aktiviti yang anda boleh lakukan di sini seperti menjelajahi gua-gua karang yang tersembunyi di sekitar pantai, berjalan di atas pasir putih, bersantai di tepi pantai sambil menikmati matahari terbenam dan sebagainya.
Jangan lupa singgah di kafe dan warung makan di sepanjang tebing untuk menikmati makanan tempatan sambil melihat pemandangan yang tiada tandingannya.
Tips: Pakai kasut yang selesa kerana anda perlu menuruni tangga batu untuk ke kawasan pantai.
2. Menginap di Uluwatu Surf Villas
Bayangkan menginap di villa mewah di atas tebing yang menghadap ke lautan luas, itulah pengalaman yang ditawarkan oleh Uluwatu Surf Villas. Lokasi ini bukan sahaja memberikan pemandangan yang memukau tetapi juga suasana yang tenang dan dekat dengan alam.
Menariknya lagi, vila ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas dan moden seperti kolam renang peribadi, ruang santai yang luas, restoran serta perkhidmatan yang mesra daripada staf-staf villa.
Bagi pasangan yang ingin menikmati bulan madu atau pelancong yang mencari ketenangan eksklusif, memang recommended sangat menginap di sini!
Oh ya, villa ini juga mempunyai akses langsung ke Pantai Suluban.
Tips: Tempah lebih awal kerana vila ini sangat popular dan selalu penuh. Anda boleh minta cadangan untuk menempah bilik dengan pemandangan lautan untuk pengalaman terbaik.
Klook.com3. Menziarahi Kuil di Pura Luhur Uluwatu
Pura Luhur Uluwatu adalah salah satu kuil ikonik di Bali yang terletak di atas tebing setinggi 70 meter. Selain merupakan tempat suci bagi orang Hindu Bali, kuil ini juga menawarkan pemandangan laut yang indah kepada pengunjung.
Apabila anda tiba di kuil ini, anda akan disambut oleh gerbang batu yang besar dan patung-patung tradisional Bali. Seni bina Bali yang indah dan ukiran batu yang rumit menambah lagi daya tarik kuil ini.
Pada waktu petang, anda boleh menyaksikan tarian Kecak yang memukau, lengkap dengan latar belakang lautan biru dan langit jingga. Pastikan anda berpakaian sopan dan berhati-hati dengan monyet yang berkeliaran di kawasan kuil.
Tips: Pakai pakaian yang sopan kerana ini adalah tempat suci. Ada sarung biasanya disediakan percuma di pintu masuk. Jangan lupa datang awal untuk mendapatkan spot tempat duduk terbaik bagi menyaksikan persembahan tarian Kecak dan matahari terbenam.
4. Berkunjung ke Nusa Penida
Nusa Penida, sebuah pulau kecil yang terletak di tenggara Bali adalah destinasi wajib jika anda ingin meneroka keindahan semula jadi Bali.
Pulau ini terkenal dengan pantai-pantai seperti Kelingking Beach, Angel’s Billabong, dan Broken Beach yang menawarkan pemandangan luar biasa.
Selain itu, aktiviti snorkeling di Crystal Bay adalah pengalaman yang tak boleh dilepaskan, di mana anda boleh melihat terumbu karang yang cantik dan ikan-ikan berwarna-warni.
Apapun, pastikan anda merancang perjalanan sehari penuh kerana banyak tempat menarik di pulau ini.
Tips: Sewa motosikal atau kereta dengan pemandu untuk meneroka pulau dengan lebih mudah. Pastikan anda memakai kasut yang selesa kerana banyak tempat menarik memerlukan sedikit pendakian.
5. Meneroka Ubud
Ubud, terletak di tengah-tengah pulau Bali, adalah pusat budaya dan seni pulau ini. Kalau pergi Bali tak singgah Ubud memang rugi.
Salah satu tempat yang wajib dikunjungi di Ubud adalah Sacred Monkey Forest, iaitu sebuah hutan yang dipenuhi dengan patung-patung kuno dan ratusan monyet yang berkeliaran bebas. Selain daripada keunikan semula jadinya, hutan ini adalah lokasi penting bagi upacara agama masyarakat setempat.
Di samping itu, anda juga boleh melakukan aktiviti mendaki santai di Ubud dengan berkunjung ke Campuhan Ridge Walk. Laluan ini membentangkan pemandangan indah bukit-bukit hijau dan lembah yang subur.
Bagi mereka yang gemar membeli-belah pula, anda boleh singgah di Pasar Seni Ubud. Pasar ini dipenuhi dengan barangan seni seperti kain batik, lukisan, ukiran kayu, dan aksesori unik buatan tempatan. Jangan lupa gunakan kemahiran tawar-menawar anda untuk mendapatkan harga terbaik!
Selain tarikan fizikal, Ubud juga terkenal dengan pelbagai hidangan tradisional Bali. Antara menu yang anda kena cuba ialah bebek betutu dan lawar.
Tips: Pastikan anda menjaga barang peribadi di Sacred Monkey Forest kerana monyet di sini sangat nakal dan suka mengambil barang. Hati hati okay!
6. Mendaki Gunung Batur
Mendaki Gunung Batur untuk menyaksikan matahari terbit adalah salah satu aktiviti menarik di Bali yang paling popular. Gunung Batur adalah salah satu gunung berapi yang masih aktif di Indonesia. Gunung ini dikelilingi oleh tasik dan juga kampung-kampung yang indah.
Bagi yang ingin menyaksikan matahari terbit, anda perlu memulakan pendakian pada waktu subuh, sekitar pukul 2 atau 3 pagi agar anda sampai di puncak tepat pada masanya. Pendakian akan mengambil masa sekitar 2 hingga 3 jam, bergantung pada kelajuan anda.
Pendakian di Gunung Batur akan ditemani oleh pemandu tempatan yang berpengalaman. Mereka bukan sahaja akan memastikan keselamatan anda, tetapi juga akan berkongsi maklumat menarik tentang gunung berapi ini dan budaya tempatan.
Selepas menikmati pemandangan matahari terbit yang sangat memukau, anda boleh bersarapan ringan di puncak. Sesetengah pemandu juga akan membawa anda ke kawasan gua lava atau mata air panas jika anda berminat.
Tips: Nak mendaki gunung kena ada stamina dan fizikal yang baik, jadi pastikan anda melakukan senaman dan aktiviti fizikal beberapa bulan sebelum pendakian.
7. Melihat Ikan Lumba-lumba (Dolphin) di Pantai Lovina
Siapa suka ikan lumba-lumba? Angkat tangan!
Salah satu aktiviti menarik di Bali yang anda tidak boleh lepaskan ialah melihat ikan lumba-lumba. Di Pantai Lovina, anda berpeluang melihat ikan lumba-lumba bermain di habitat semula jadi mereka. Anda akan menaiki bot tradisional yang dipanggil jukung, dan pemandu bot akan membawa anda ke kawasan di mana kumpulan ikan lumba-lumba sering muncul.
Waktu terbaik untuk melihat lumba-lumba di pantai ini adalah pada waktu pagi, khususnya antara pukul 6 pagi sehingga 7.30 pagi.
Sebaiknya datang awal sekitar pukul 5.30 pagi untuk bersiap sedia dan menaiki bot. Perjalanan ke tengah laut biasanya mengambil masa sekitar 20 minit dari pantai. Jangan risau, pemandu bot biasanya akan memastikan anda berada pada jarak yang selamat untuk tidak mengganggu ikan lumba-lumba.
Untuk memaksimakan lawatan anda, pertimbangkan untuk menginap semalaman di kawasan Lovina. Ada banyak resort dan hotel di kawasan sekitarnya yang menawarkan penginapan yang berpatutan, lengkap dengan pemandangan pantai yang menenangkan.
Jangan lupa bawa kamera okay!
Tips: Pastikan anda menempah lawatan lebih awal dan pilih operator/travel agen yang beretika untuk memastikan trip melihat ikan lumba-lumba anda berjalan lancar.
8. Berkunjung ke Kawasan Sawah Padi
Bali bukan sahaja terkenal dengan pantainya, tetapi juga sawah padinya. Sawah padi di Bali, terutamanya di kawasan seperti Jatiluwih dan Tegalalang, adalah bukti keagungan sistem pertanian tradisional Subak yang telah diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Dunia.
Sawah padi di Bali menggunakan sistem Subak yang menggambarkan falsafah Bali “Tri Hita Karana” – keharmonian antara manusia, alam, dan spiritual. Kawasan sawah padinya menciptakan pemandangan berperingkat (bertingkat-tingkat) yang menakjubkan dengan warna hijau yang memukau.
Berkunjung ke kawasan sawah padi juga salah satu aktiviti menarik di Bali yang memberikan anda pengalaman luar biasa dan jarang di dapati di tempat lain. Antara kawasan sawah padi yang memang recommended untuk pergi ialah:
Jatiluwih Rice Terraces
Jatiluwih Rice Terraces terletak di kawasan pergunungan, sawah ini menawarkan pemandangan yang luar biasa dengan teres-teres hijau yang luas dan tersusun rapi.
Anda boleh menyewa basikal untuk menjelajah kawasan ini atau berjalan kaki di laluan-laluan kecil sambil menikmati angin segar.
Terdapat juga beberapa kafe yang menyajikan hidangan tradisional Bali dengan pemandangan sawah sebagai latar belakangnya.
Tegalalang Rice Terraces
Manakala, Tegalalang Rice Terraces pula terkenal dengan aktiviti Bali Swing, di mana anda boleh menaiki buaian yang tergantung tinggi sambil menikmati pemandangan lembah yang memukau. Jika anda minat mengambil gambar, Tegalalang menawarkan banyak spot menarik.
Sidemen Rice Terraces
Sementara itu, Sidemen Rice Terraces menawarkan pengalaman yang lebih damai dan autentik. Terletak di kawasan timur Bali, sawah padi ini kurang dikunjungi pelancong, menjadikannya destinasi yang ideal untuk mereka yang tidak sukakan keramaian (kesesakan).
Di sini, anda boleh berjalan kaki di sepanjang laluan desa sambil berinteraksi dengan petani tempatan, atau sekadar menikmati pemandangan kehijauan yang mendamaikan.
9. Berseronok di Trans Studio Bali
Jika anda mencari tempat untuk berseronok bersama seisi keluarga, Trans Studio Bali adalah pilihan terbaik. Taman tema ini terletak di kawasan Denpasar Selatan dan menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk semua peringkat umur.
Trans Studio Bali adalah taman tema indoor, jadi anda tidak perlu risau tentang cuaca panas atau hujan. Taman ini dibahagikan kepada beberapa zon bertema seperti Adventure Zone, Action Zone, dan Magic Corner, yang masing-masing menawarkan tarikan uniknya tersendiri.
Di Trans Studio Bali ini juga, anda berpeluang untuk melihat live show seperti pertunjukan aksi, muzik termasuklah persembahan Broadway-style, yang dijamin memukau penonton dengan kostum dan koreografi yang hebat.
Harga tiket bermula sekitar IDR 150,000 hingga IDR 250,000 (bergantung kepada pakej dan promosi). Untuk menjimatkan masa dan wang, anda boleh membeli tiket secara dalam talian melalui platform seperti KLOOK, yang sering menawarkan diskaun menarik.
Tips: Datanglah awal untuk mengelakkan kesesakan dan nikmati setiap zon dengan tenang. Pakai pakaian yang selesa kerana anda mungkin akan bergerak aktif sepanjang hari.
Klook.com10. Melawat Muzium dan Galeri
Selain pantai dan keindahan alam semula jadi, Bali juga terkenal dengan seni dan budayanya yang kaya. Untuk lebih memahami sejarah dan seni Bali, melawat muzium dan galeri adalah satu aktiviti yang wajib dimasukkan dalam itinerari anda.
Tiga pilihan muzium/galeri yang sangat popular dan wajib dilawati apabila berkunjung ke Pulau Dewata ini adalah Muzium Puri Lukisan, Neka Art Museum, dan Muzium Pasifika.
Muzium Puri Lukisan
Muzium Puri Lukisan adalah muzium seni tertua di Bali yang didedikasikan untuk seni tradisional Bali. Koleksinya merangkumi lukisan klasik Bali seperti gaya Batuan dan Kamasan serta ukiran kayu yang halus.
Muzium ini juga dikelilingi taman tropika yang indah, menjadikannya lokasi yang tenang untuk mendalami sejarah seni Bali.
Neka Art Museum
Juga terletak di Ubud, Neka Art Museum terkenal dengan koleksi seni yang mencerminkan perkembangan seni Bali dari zaman tradisional hingga moden. \
Muzium ini menampilkan karya seniman tempatan seperti I Gusti Nyoman Lempad serta artis antarabangsa yang diilhamkan oleh keindahan Bali. Terdapat juga pameran fotografi yang menarik bagi mereka yang ingin mendalami budaya Bali secara visual.
Muzium Pasifika
Bagi mereka yang ingin menerokai seni dari rantau Asia Pasifik, Muzium Pasifika di Nusa Dua adalah pilihan yang tepat. Muzium ini menempatkan lebih daripada 600 karya seni termasuk lukisan, tekstil, dan ukiran tradisional dari pelbagai negara seperti Indonesia, Tahiti, dan Perancis.
Seni Bali tradisional dan moden juga dipamerkan dengan indah di sini, memberikan gambaran mendalam tentang kepelbagaian budaya di rantau ini.
11. Melihat Haiwan di Bali Safari and Marine Park
Berkunjung ke Bali Safari and Marine Park adalah salah satu lagi aktiviti menarik di Bali yang pasti akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Di Bali Safari and Marine Park, anda berpeluang melihat lebih daripada 100 spesies haiwan dari seluruh dunia, termasuk spesies terancam seperti harimau putih India dan orangutan Sumatera.
Salah satu tarikan utamanya adalah anda boleh menaiki kenderaan khas untuk menyaksikan haiwan seperti singa, badak, dan zebra di kawasan yang menyerupai habitat semula jadi mereka secara dekat. Rasa real betul macam di tengah-tengah hutan liar!
Selain itu, taman ini juga menawarkan pelbagai persembahan menarik seperti Elephant Talent Show dan Animal Education Show. Ada juga zon bermain yang menawarkan beberapa permainan seperti gelongsor dan sebagainya.
Selain safari, di taman ini juga ada bahagian Marine Park yang menampilkan pelbagai hidupan laut eksotik, menjadikan lawatan ke sini lebih seronok.
Sekiranya anda nak rasa pengalaman bermalam sambik ‘ditemani’ haiwan-haiwan, anda boleh tempah penginapan di taman ini. Bangun-bangun pagi, terus nampak haiwan-haiwan berkeliaran di luar bilik. Seronoknya!
Tips: Tempah tiket secara dalam talian untuk mendapatkan diskaun dan rancang kunjungan anda pada waktu pagi untuk mengelakkan kesesakan.
Klook.com12. Mengambil Gambar Buaian (Bali Swing) di Wanagiri Hidden Hills Lookout
Salah satu aktiviti paling popular di Bali adalah Bali Swing, dan destinasi terbaik untuk pengalaman ini adalah di Wanagiri Hidden Hills Lookout.
Terletak di daerah Bedugul, destinasi ini menawarkan pemandangan semula jadi yang menakjubkan dengan latar belakang hutan hijau, danau, serta pergunungan yang mempesona.
Selain, buaian dengan latar belakang alam, ada beberapa lagi spot menarik yang direka khas untuk mengambil gambar seperti love tree dan bird nest.
Jangan lupa singgah sini untuk dapatkan gambar terbaik anda di Bali!
13. Menonton Devdan Show Bali di Nusa Dua Theatre
Jika anda ingin merasai dan memahami lebih mendalam mengenai kekayaan budaya Indonesia, Devdan Show di Bali Nusa Dua Theatre adalah persembahan yang wajib ditonton.
Persembahan ini menggabungkan seni, tarian, muzik, dan pemandangan visual yang memukau, memberikan pengunjung pengalaman yang penuh dengan keajaiban budaya nusantara.
Tips: Pastikan anda menempah tiket lebih awal kerana tempat duduk biasanya cepat habis. Datang awal sedikit untuk agar anda boleh menenangkan diri sebelum persembahan bermula.
14. Mendalami Budaya Bali di Garuda Wisnu Kencana Cultural Park
Jika anda ingin benar-benar mendalami keindahan budaya Bali, Garuda Wisnu Kencana (GWK) Cultural Park juga antara pilihan destinasi yang boleh dipertimbangkan.
GWK Cultural Park adalah sebuah taman budaya yang menempatkan patung besar Garuda Wisnu Kencana, salah satu monumen terbesar di dunia yang menjadi simbol kebanggaan budaya Bali.
Patung ini bukan sahaja menakjubkan dari segi saiznya, tetapi juga menampilkan seni ukiran dan perincian yang sangat halus, yang mempamerkan kehebatan seni pahat Bali.
Selain patung, GWK Cultural Park juga menawarkan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan budaya Bali, termasuk pertunjukan tarian tradisional Bali seperti Tari Kecak, Tari Barong, dan Tari Legong.
Berkunjung ke sini adalah peluang terbaik untuk melihat penari Bali yang mengenakan pakaian tradisional yang berwarna-warni, mempamerkan gerak tari yang penuh makna dan keindahan.
Setiap tarian mengisahkan kisah-kisah dari mitologi Hindu yang merupakan sebahagian daripada warisan budaya Bali.
15. Mandi mandi di Air Terjun Banyumala
Bali juga terkenal dengan air terjunnya yang indah-indah dan mempesona yang tersembunyi di dalam hutan tropikanya. Jadi, aktiviti menarik di Bali yang memang anda tidak boleh skip ialah mandi di air terjunnya!
Salah satu air terjun yang wajib dikunjungi di bali adalah Air Terjun Banyumala, yang terletak di kawasan utara Bali, dekat dengan kawasan Bedugul.
Air terjun ini menawarkan pemandangan yang menakjubkan dengan air jernih yang mengalir melalui batu-batu besar.
Untuk sampai ke air terjun ini, anda perlu berjalan kaki sejauh sekitar 15-20 minit melalui trek yang agak mencabar.
Sampai sahaja di kawasan air terjun, anda akan disambut dengan pemandangan dua aliran air terjun yang jatuh dengan megahnya ke ‘kolam’ semulajadi di bawahnya. Airnya memang sangat jernih dan sesuai untuk bermandi manda.
Tips: Jangan lupa bawa baju lebih, pakai kasut yang sesuai dan utamakan keselamatan!
16. Shopping di Seminyak
Shopping memang aktiviti wajib di Bali. Salah satu lokasi popular untuk shopping (dan bersantai) ialah di Seminyak.
Salah satu tarikan utama di Seminyak adalah pelbagai butik dan kedai-kedai mewah yang menawarkan pakaian, aksesori, dan barangan tempatan yang unik.
Anda boleh menemui reka bentuk pakaian yang chic dan elegan, terutama di Seminyak Village dan Seminyak Square, dua pusat membeli-belah utama di kawasan ini.
Jalan utama untuk membeli-belah di Seminyak adalah Jalan Raya Seminyak (juga dikenali sebagai Jalan Basangkasa) dan Jalan Laksmana (juga dikenali sebagai “Eat Street”)
Di sini, anda akan dapati pelbagai pilihan dari jenama tempatan Bali yang terkenal hingga ke jenama antarabangsa. Jika anda mencari barangan seni dan kraf Bali, terdapat banyak kedai yang menawarkan lukisan, ukiran kayu, tekstil, dan perhiasan tangan yang sangat cantik dan unik.
Selain pakaian dan aksesori, Seminyak juga terkenal dengan pelbagai kedai perabot dan barangan rumah yang bergaya.
Bagi mereka yang mencari dekorasi rumah, anda boleh menemui perabot dan aksesori rumah dengan sentuhan Bali yang sangat memukau, sempurna untuk mereka yang ingin membawa pulang sedikit sentuhan Bali ke rumah mereka.
Penutup
Bali menawarkan pengalaman yang benar-benar unik, daripada keindahan alam semulajadi sehinggalah keseronokan budaya. Setiap sudut pulau ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Dengan perancangan yang teliti, anda pasti akan membawa pulang kenangan indah yang tidak akan dilupakan.
Jadi, bagi sesiapa yang mencari gabungan ketenangan, pengembaraan, dan keunikan budaya, Bali adalah jawapannya!