A’Famosa Safari Wonderland – Harga Tiket Masuk & Tarikan Utama
Siapa kata Melaka ada tempat bersejarah sahaja. Salah tu! Di Melaka ada banyak tarikan menarik selain tempat bersejarah salah satunya ialah A’Famosa Safari Wonderland.
A’Famosa Safari Wonderland adalah sebuah destinasi pelancongan yang menarik di Melaka yang menawarkan pengalaman berinteraksi bersama haiwan-haiwan liar.
Ia merupakan ‘rumah’ kepada lebih 100 spesies haiwan termasuk yang jarang ditemui seperti tapir Malaya dan harimau Malaya yang terancam.
Apa lagi yang menarik di A’Famosa Safari Wonderland ni?
Jom teruskan membaca!
A’Famosa Safari Wonderland – Pengenalan
A’Famosa Safari Wonderland sebenarnya sebahagian daripada A’Famosa Resort, sebuah projek pelancongan besar yang bermula pada tahun 1990-an di Melaka.
Taman safari ini telah dibuka secara rasmi pada 2001 dengan matlamat untuk menjadi lebih daripada sekadar taman safari atau destinasi hiburan.
Safari Wonderlang ini berfungsi sebagai pusat pemuliharaan dan pendidikan yang membolehkan rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa berhubung dengan alam semula jadi.
Meliputi kawasan seluas 150 ekar (61 hektar), taman safari ini menempatkan lebih daripada 100 spesies haiwan.
Selain melihat haiwan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan haiwan dan merasai pengalaman melakukan pelbagai aktiviti interaktif di sini.
Lokasi & Waktu Operasi
Alamat: A ‘famosa Resort, Jalan Kemus / Sempang Ampat, 78000 Alor Gajah, Malacca, Malaysia
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali hari Selasa (9.30 pagi – 6 petang)
Cara ke A’Famosa Safari Wonderland
A’Famosa Resort terletak hanya 10 minit dari persimpangan Lebuhraya Utara-Selatan, lebih kurang 30 minit dari Bandar Melaka.
Selain menaiki kenderaan peribadi, anda boleh menaiki pengangkutan awam seperti bas, kereta api dan teksi (e-hailing) mengikut lokasi anda.
Anda boleh menggunakan aplikasi Waze untuk mendapatkan panduan arah ke taman safari ini >> https://waze.com/ul/hw22tvv6nq
Harga Tiket Masuk
Berikut ialah harga tiket masuk ke A’Famosa Safari Wonderland dan syarat-syarat yang ditetapkan:
- Dewasa: RM55
- Kanak-kanak/Warga Emas/OKU: RM45
- Online Promo – Meal @ Safari Wonderland: RM18/pax
NOTA:
- Tiket dalam talian ini adalah sah untuk rakyat Malaysia sahaja.
- Anda boleh menempah tiket ekspres (express ticket) dalam talian yang membolehkan anda akses ke laluan masuk khusus.
- Masa penebusan tiket Safari adalah dari 9.30 pagi hingga 3.30 petang.
- Kanak-kanak di bawah 90cm menikmati kemasukan PERCUMA ke Safari Wonderland dan Water World.
- Tiket yang dibeli akan sah sehingga Isnin, 30 Jun 2025.
Kemudahan
A’Famosa Safari Wonderland menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung dan memastikan pengalaman yang menyeronokkan ketika berada di taman safari ini.
Antara kemudahan yang disediakan ialah:
- Restoran dan gerai makanan
- Tempat letak kenderaan
- Bilik solat/Surau
- Bilik persalinan
- ATM
- Tandas
- Laluan mesra kerusi roda
- Kemudahan untuk kereta sorong bayi (stroller)
- Stesen pertolongan cemas dengan kakitangan terlatih
- Bahagian barang hilang dan jumpa (found & lost)
- Kawasan Walk-Thru untuk melihat haiwan dari dekat
- Safari Truck Ride untuk pengalaman safari berpandu
- Kawasan mesra kanak-kanak
Apa yang Menarik di A’Famosa Safari Wonderland?
A’Famosa Safari Wonderland Melaka menawarkan pelbagai tarikan utama yang menjadikannya destinasi menarik untuk semua peringkat umur.
Berikut adalah 7 tarikan utama di Safari Wonderland Melaka ini:
1. Pertunjukan Haiwan
Pertunjukan haiwan adalah antara tarikan yang diminati ramai di taman safari ini. Terdapat 4 pertunjukan utama yang dilakukan setiap hari iaitu;
- In Nature Elephant (10.45 pagi & 4.30 petang): Pertunjukan ini menampilkan kebijaksanaan dan ketangkasan gajah. Pengunjung boleh memberi makan gajah dan berinteraksi dengan mereka secara langsung.
- Avian Stars (12.45 tengah hari & 3.45 petang): Saksikan persembahan burung kakak tua dan cockatoo yang terlatih, hornbill menangkap makanan di udara dan helang laut terbang dengan tangkas.
- Animal Fantasy (11.45 pagi & 3.00 petang): Persembahan daripada pelbagai haiwan seperti beruang matahari, kerbau, beruk pigtail, memerang, kucing dan anjing.
- Wild Wild West Show (2.20 petang): Pertunjukan ini membawa pengunjung ke era koboi dengan aksi menarik dan dramatik.
2. Jelajah Safari (Safari Adventure)
Safari Adventure ni memang wajib cuba. Anda akan naik satu trak safari khas yang dipandu oleh staf terlatih menelusuri beberapa stesen sambil berkongsi maklumat menarik tentang setiap spesies haiwan yang ditemui.
Sepanjang perjalanan, anda berpeluang melihat pelbagai haiwan liar seperti harimau, singa, zirafah, unta, zebra, dan gajah dalam habitat semulajadi mereka. Siap boleh bagi makan lagi.
Walaupun ada rasa takut-takut (yelah haiwan liar kan!) tapi sumpah seronok sangat!
3. Monkey Island Cruise
Seterusnya, Monkey Island Cruise. Tarikan ini membolehkan anda melihat dan berinteraksi serta memberi makan dengan pelbagai jenis monyet dan primat lain.
Yang bestnya, anda akan menaiki menaiki bot untuk ke sebuah pulau kecil yang dihuni oleh pelbagai spesies monyet dan primat tersebut.
Pemandu bot akan memberikan maklumat menarik tentang setiap spesies, habitat mereka dan usaha pemuliharaan yang dijalankan.
4. Walk Thru
Anda juga boleh menikmati pengalaman berjalan kaki sambil melihat pelbagai haiwan dari dekat di kawasan Walk Thru.
Sepanjang laluan, anda boleh melihat pelbagai haiwan dalam kandang yang luas termasuk flamingo, capybara, rakun, unta, burung merak, burung unta dan emu.
Anda juga boleh memberi makan kepada beberapa haiwan jinak dengan membeli makanan haiwan yang disediakan.
5. The Orang Utan Home
Inilah tempatnya untuk melihat orang utan secara dekat dan mempelajari tentang tingkah laku, die dan usaha pemuliharaan spesies ini. Anda juga boleh melihat haiwan ini diberi makan mengikut jadual yang ditetapkan.
The Orang Utan Home ini direka khas untuk menyerupai hutan hujan Borneo, habitat semula jadi orang utan.
6. Reptilia Discovery
Reptilia Discovery menempatkan pelbagai spesies reptilia dan amfibia dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna.
Anda boleh melihat pelbagai jenis reptilia seperti ular, buaya, kura-kura, dan iguana dalam persekitaran yang selamat.
7. Petzonia
Petzonia pula adalah kawasan yang dikhaskan untuk haiwan jinak seperti arnab, kucing, anjing dan sebagainya. Di sini anda boleh memberi makan, membelai dan belajar tentang haiwan-haiwan ini dengan bimbingan kakitangan yang terlatih.
Terdapat beberapa lagi tarikan lain di taman safari ini yang pasti memberikan keseronokan kepada anda sekeluarga. Anda boleh layari https://www.afamosa.com/safari-wonderland untuk info terkini dan maklumat lebih lanjut.
Jom ke rancang kunjungan anda ke A’Famosa Safari Wonderland!
BACA JUGA: