Maksud Play Victim, Punca, Tanda-Tanda dan Cara Tanganinya

Mungkin anda tertanya-tanya maksud play victim kerana terma ini sering digunakan sejak beberapa tahun ini.

Bila kita sebut tentang mangsa, kita sering terfikir tentang mangsa yang tidak bersalah. Mereka juga sering alami perkara negatif atau terperangkap dalam situasi yang tidak diingini.

Namun, lain pula ceritanya dengan individu yang mempunyai mentaliti mangsa.

Terdapat beberapa punca yang boleh mencetuskan mentaliti ini. Individu dengan mentaliti ini juga cenderung untuk menunjukkan beberapa tanda-tanda.

Oleh itu, ayuh kita kenali maksud play victim secara lebih dekat.

Sumber : The Good Men Project

Maksud Play Victim

Play victim ini adalah mentaliti seseorang individu yang merasakan diri adalah mangsa keadaan walaupun bukti mengatakan sebaliknya. Kelakuan ini turut dikenali sebagai victim mentality.

Individu dengan mentaliti sebegini juga sering dikaitkan dengan Narcissistic Personality Disorder (NPD).

Ini disebabkan oleh kelakuan individu yang sering memanipulasi orang lain dan mempunyai kecenderungan yang kuat untuk meletakkan diri sebagai mangsa.

Dengan meletakkan kesalahan pada orang lain, individu yang play victim ini dapat melindungi diri sendiri dalam situasi atau masalah yang dialami.

Akibatnya, mereka tidak mahu bertanggungjawab, banyak mengadu dan suka menyalahkan orang sekeliling atau ‘takdir’ yang telah tertulis.

Punca Play Victim

Pakar psikologi berpendapat bahawa victim mentality boleh tercetus daripada beberapa perkara seperti :

  • Pengalaman buruk atau trauma masa lalu
  • Sering terperangkap dalam emosi negatif
  • Pernah dikhinanati oleh orang terdekat seperti keluarga atau pasangan
  • Hubungan yang tidak sihat dengan orang terdekat
  • Sering diabaikan ketika masih kecil

Tanda-Tanda Play Victim / Victim Mentality

Tak pasti cara untuk kenalpasti individu yang sering play victim atau sering menganggap diri mangsa keadaan?

Individu yang sering play victim akan menunjukkan beberapa tanda seperti berikut :

  • Sering menyalahkan orang lain terhadap sesuatu yang berlaku dalam hidup mereka
  • Selalu merasakan diri mereka dibeban dengan masalah
  • Mempunyai sikap negatif dalam kebanyakan situasi
  • Mudah marah apabila seseorang ingin membantu
  • Cenderung untuk bersama individu lain yang turut suka menyalahkan orang lain
  • Sukar untuk membuat perubahan dalam hidup
  • Kurang keyakinan diri
  • Cenderung untuk kasihan pada diri sendiri
  • Tidak bersimpati terhadap orang lain
  • Sering merasakan dunia ini tidak adil
  • Sukar untuk mempercayai orang lain
  • Lebih suka mengadu berbanding mencari jalan penyelesaian
  • Suka membesarkan kesalahan orang lain dan tidak nampak kesalahan diri
  • Sering merasa tidak terdaya untuk menolong diri sendiri
  • Selalu merasakan orang lain lebih baik daripada diri sendiri
Sumber : Hack Spirit

Cara Untuk Tangani Victim Mentality

Meskipun mentaliti ini tidak mudah untuk dibuang, namun ia bukanlah mustahil. Terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk tanganinya.

Pakar psikologi mencadangkan beberapa cara seperti :

Kenalpasti Trigger : Adakah sesetengah orang atau situasi tertentu menyebabkan anda mudah rasa tidak berdaya atay kasihan pada diri sendiri? Jika ada, cuba tanya pada diri sendiri apa yang boleh dilakukan untuk kembalikan keyakinan diri.

Nilai Semula Mentaliti : Kita tidak boleh kawal apa yang orang lain fikir atau katakan. Namun, kita masih boleh kawal cara kita memberi tindak balas terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kita. Oleh itu, nilai semula mentaliti dan cuba untuk kawal situasi sebaik mungkin. Jangan malu untuk minta bantuan atau pendapat orang lain.

Refleksi Semula Punca Victim Mentality : Adakah anda sering berasa seperti mangsa keadaan disebabkan pengalaman buruk atau hubungan yang tidak baik sebelum ini? Sebaiknya, anda perlu cari jalan untuk ingatkan diri supaya dapat lupakan masa lalu dan fokus pada waktu sekarang.

Pelajari Skil Komunikasi dan Dapatkan Bantuan : Pakar psikologi juga mensarankan supaya individu yang sering play victim untuk pelajari skil komunikasi yang lebih baik. Gunakan cara yang terbaik untuk berkomunikasi dan uruskan konflik dengan orang lain supaya anda tidak mudah terjebak dalam victim mentality.  

Selain itu, anda juga boleh dapatkan bantuan atau pendapat daripada pakar psikologi atau membaca buku motivasi antaranya The Power of Now karya Eckhart Tolle seperti yang dicadangkan oleh verywellmind.com.

Tips Untuk Berdepan Dengan Individu Yang Sering Play Victim

Mungkin anda sendiri buntu untuk berdepan dengan individu yang gemar play victim.

Memang tidak dinafikan agak sukar untuk mengajak mereka berbincang kerana individu sebegini tidak mahu bertanggungjawab dan sering menyalahkan orang lain.

Berikut merupakan beberapa tips yang anda boleh cuba :

  • Tunjukkan simpati dan berikan mereka ruang untuk bercakap.
  • Elakkan daripada melabel mereka sebagai mangsa kerana ini boleh memburukkan keadaan.
  • Jangan minta maaf sekiranya anda rasa bukan anda seorang yang perlu dipersalahkan dalam situasi atau masalah tersebut.
  • Buat persiapan sebelum berdepan dengan mereka bagi mengelakkan mereka pengaruhi anda dalam perbincangan.
  • Jangan ‘serang’ mereka. Sebaliknya, bercakaplah dengan lemah lembut dan berikan kata-kata dorongan seperti “Saya tak boleh selesaikan masalah ini untuk awak, tetapi saya boleh bantu awak mengharunginya”.
Sumber : sustainhealth.fit

Sekarang anda sudah tahu maksud play victim dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada mentaliti seseorang.

Walaupun mentaliti ini sukar untuk dibendung disebabkan punca seperti trauma masa lalu dan sebagainya, namun terdapat pelbagai kaedah yang boleh dicuba untuk menanganinya.

Anda juga boleh dapatkan bantuan daripada orang sekeliling atau pakar psikologi bagi mengatasi masalah ini.

Sumber : Very Well Mind, WebMD, Medical News Today

Bantu kami share artikel ini: