Narsisistik : Punca, Ciri-Ciri, Cara Mengawal, Rawatan

Permahkah anda dengar tentang personaliti narsisistik? Secara umumnya, narsisistik adalah sikap seseorang yang terlalu mengagumi diri sendiri atau mempunyai sifat keakuan yang melampau.

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, narcissism atau narsisme bermaksud keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri.

Ia juga merupakan salah satu gangguan personaliti di mana seseorang individu mempunyai rasa kepentingan kepada diri sendiri sahaja.

Mereka mahukan perhatian yang mendalam terhadap diri mereka dan kurang berasa empati terhadap orang lain.

Punca

Menurut kajian, didapati orang lelaki lebih mudah mengalami gangguan personaliti ini berbanding wanita.

Walaupun sukar untuk pastikan punca sebenar kepada kewujudan gangguan ini, para penyelidik percaya bahawa ia berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut :

  • Mengalami peristiwa silam atau trauma pada zaman kanak-kanak seperti kritikan melampau
  • Faktor genetik
  • Sifat peribadi seseorang
  • Faktor neurobiology
  • Sikap atau cara didikan ibu bapa ketika anak masih kecil
narsisistik

Ciri-Ciri Narsisistik

Antara ciri-ciri orang narsisistik adalah :

  • Merasakan diri lebih baik daripada orang lain
  • Pentingkan diri sendiri
  • Suka memandang rendah atau memperlekehkan orang lain
  • Sombong dan bangga diri dengan pencapaian atau bakat yang ada pada diri.
  • Mudah berasa dengki pada orang lain serta menganggap orang lain juga dengki padanya.
  • Kurang memahami atau tidak mempunyai rasa empati terhadap orang lain.
  • Memerlukan pujian secara berterusan.
  • Sering memanfaat atau mempergunakan orang lain untuk memperoleh perkara yang diinginkan.
  • Tidak boleh menerima pandangan atau kritikan orang lain terhadap diri sendiri.

Kesan

Sifat narsisistik ini boleh memberikan kesan terhadap individu seperti :

  • Sukar untuk bersahabat atau mendapat rakan
  • Sering mempunyai masalah dalam hubungan
  • Cenderung untuk alami keresahan berpanjangan serta terdedah kepada tekanan
  • Bermasalah di tempat kerja
  • Mudah terjebak kepada masalah berkaitan alkohol atau penyalahgunaan dadah.

Sikap Narsisistik Dari Sudut Islam

Dalam Islam, sikap narsisistik adalah sifat mazmumah yang terjadi daripada akhlak yang buruk iaitu ujub dan takbur.

Walaupun di dalam al-Quran tidak menyatakan padanan yang tepat bagi sikap ini, namun istilah yang paling hampir adalah sifat-sifat negatif seperti takbur, riak, ujub dan hasad.

Sikap ujub ini tidak disukai oleh Allah SWT kerana individu sebegini dikatakan mempunyai hati yang buta dalam menilai orang lain serta dirinya.

Ini juga sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 18 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu memalingkan wajah daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh.

Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Cara Mengawal atau Mencegah Sikap Narsisistik

Adalah tanggungjawab kita untuk membendung penyakit ini daripada berlaku dalam kalangan ahli keluarga, saudara atau rakan terdekat.

Ini penting bagi mengelakkan daripada ia menjadi semakin teruk.

Antara kaedah pengawalan yang boleh dicuba adalah :

  • Elakkan daripada berdebat atau cari kesalahan daripada mana-mana pihak kerana perbincangan sebegini tiada kesudahannya dan boleh menjejaskan hubungan.
  • Kerap bercerita tentang perkara yang disukai agar tidak fokus kepada dirinya sahaja.
  • Ajak mereka lakukan aktiviti yang berfaedah seperti senaman, kerja kebajikan atau aktiviti kerohanian
  • Kerap memuji kebaikan yang dilakukan terhadap orang lain. Ini dapat mengajar mereka untuk berbuat baik kepada sesama manusia.
  • Tunjukkan rasa simpati terhadap masalah atau cabaran yang mereka sedang lalui. Bantu mereka untuk capai solusi bagi masalah tersebut.

Rawatan

Biasanya, seseorang akan diberikan diagnosis sebagai penghidap gangguan personaliti narsisistik sekiranya individu tersebut menunjukkan lima atau lebih ciri-ciri yang dinyatakan di atas.

Dari sudut perubatan, Narcisstic Personality Disorder (NPD) terbatas sebagai penyakit mental dan boleh dirawat menerusi rawatan psikoterapi atau penggunaan ubat-ubatan tertentu bagi mengurangkan sindrom berkaitan.

Kesimpulannnya, sifat narcisstic boleh dianggap sebagai wabak yang boleh memakan diri serta memberi kesan buruk kepada orang sekeliling.

Jadi, adalah penting untuk kita mengawalnya atau memberikan bantuan kepada orang terdekat yang mempunyai masalah ini.

Sumber : Majlis Agama Islam Selangor, Dewan Masyarakat

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!