Sejarah Kemerdekaan Malaysia

Bagi rakyat Malaysia, sudah tentu kebanyakan daripada kita mestilah mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia.

Sejarah ini penting untuk dihayati agar kita sering menghargai nikmat kemerdekaan yang dinikmati negara.

Oleh itu, sejarah kemerdekaan Malaysia ini penting untuk diingati oleh rakyat Malaysia terutama kepada generasi muda.

Kesultanan Melayu Melaka

Sejarah Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi.

Pada zaman kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera.

Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana pemimpin yang berwibawa, sistem pentadbiran dan pemerintahan yang cekap di samping kedudukannya yang strategik berada di titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat.

Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara.

Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.

Kejatuhan Melaka & Penjajahan Kuasa Asing

Pada 10 Ogos 1511, armada Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque berjaya menakluki Melaka dan bermulalah era Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. 

Melaka sekali lagi dijajah apabila Belanda berjaya merampasnya dari tangan Portugis pada 14 Januari 1641.

Pada Tahun 1795, Melaka sekali lagi bertukar tangan apabila British menjajah Melaka dan Tanah Melayu melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. 

Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan.

Beberapa individu bangkit menentang penjajah antaranya di beberapa buah negeri seperti Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dhoby dan beberapa tokoh yang lain.

Kebangkitan Semangat Nasionalisme & Pendudukan Jepun

Pada era 1920-an dan 1930-an, kebanyakan semangat nasionalisme seperti kesedaran politik dan pembangunan negara penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan.

Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme.

Mereka menggunakan media cetak seperti akhbar, majalah, cerpen dan novel untuk menyebarkan ideologi masing-masing.

Ada dalam kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri.

Ini telahmengakibatkan mereka membantu pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula 1941.

Pendudukan ini bermula apabila Tentera Darat Ke-25 Jepun menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941.

Tentera Jepun melancarkan serangan amfibi (amfibious assault) di pantai utara Tanah Melayu di Kota Bharu dan mula maju kebawah ke pantai timur Tanah Melayu.

Ini dilakukan bersama dengan pendaratan di Pattani dan Singgora di Thailand, di mana mereka bergerak keselatan melalui jalan darat menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand untuk menyerang sebelah barat Tanah Melayu.

Pendudukan tersebut menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu namun Jepun yang menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 menyerah kalah ekoran pengeboman bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.

Penguasaan Parti Komunis Malaya (PKM)

Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu.

PKM telah melancarkan serangan menguasai Tanah Melayu melalui kekerasan, pembunuhan tiga orang pengurus peladang getah Eropah di Sungai Siput, Perak.

Lantaran itu, pada bulan Jun 1948, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu.

PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) atau BMA adalah antara akhir Perang Dunia II dan Penubuhan Malayan Union.

Penubuhan Malayan Union

Pada 1 April 1946, British menubuhkan Malayan Union, namun gagasan ini mendapat tentangan daripada orang Melayu kerana penghapusan institusi diraja dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Antara faktor yang mengakibatkan Orang Melayu menentang Malayan Union adalah pemberian taraf kerakyatan.

Prinsip kerakyatan berdasarkan jus soli telah mengakibatkan wujudnya perasaan kebencian orang Melayu kepada kaum lain.

Syarat kerakyatan yang longgar membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan orang Melayu.

Pengisytiharan Kemerdekaan & Pembentukan Malaysia

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kemudiannya telah menaikkan semangat perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Parti Perikatan pada 1952 mula membuka mata British untuk membenarkan penduduk Tanah Melayu mentadbir.

Perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi petanda bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957.

Sekembalinya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari London, Tunku telah membuat pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956.

Tanah Melayu kemudian diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957.

Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mencadangkan penggabungan lima buah jajahan iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei untuk membentuk sebuah negara yang baharu. 

Pada 9 Julai 1963, wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura kecuali Brunei disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.

Hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan Malaysia tercapai pada 16 September 1963.

Sumber: https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30120?language=my

Bantu kami share artikel ini: