Ubat Sakit Lutut dan Kaedah Rawatan dari Rumah

Adakah anda sedang mengalami masalah sakit lutut? Meskipun ia sinonim dengan warga emas, namun ia juga boleh berlaku kepada golongan yang lebih muda disebabkan oleh faktor tertentu.

Adakah ubat sakit lutut boleh didapati di pasaran dan mampukah ia memberi kelegaan segera? Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Punca Sakit Lutut

Secara umumnya, sakit lutut boleh berlaku kerana struktur tulang yang menjejaskan sendi lutut, lutut, ligamen atau tulang rawan lutut.

Antara punca seseorang boleh alami sakit lutut adalah :

  • Peningkatan usia
  • Oesteoarthritis
  • Berat badan berlebihan
  • Faktor genetik/sejarah keluarga
  • Pernah mengalami kecederaan lutut.

Masalah sakit lutut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Namun, wanita didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat sakit lutut berbanding lelaki.

Ubat Sakit Lutut dan Kaedah Rawatan

Memetik WebMD, pesakit boleh mencuba beberapa ubat sakit lutut atau rawatan seperti berikut  :

1. Ubat Tahan Sakit

Beberapa jenis ubat tahan sakit didapati mampu memberikan kelegaan pada keradangan sendi.

Antara ubat yang boleh dibeli di farmasi adalah aspirin, ibuprofen (Advil, Motrin, Nuprin), acetaminophen dan naproxen sodium (Aleve, Anaprox, Naprosyn).

Namun, ubat tahan sakit tidak boleh diambil dengan kerap kerana ia boleh menjejaskan fungsi hati.

Jadi, anda perlulah semak label sebelum makan ubat sakit lutut ini supaya tidak terlebih dos.

2. Krim Sapuan atau Patch  

Pasti ramai nenek atau ibu kita yang suka menyapu minyak pada kawasan yang lenguh.

Sesetengah orang akan merasa lebih lega selepas menggunakan krim atau ubat sapuan pada lutut.

Farmasi turut menjual patch, krim atau ubat sapuan bagi mengurangkan keradangan sendi.

ubat sakit lutut

Ia biasanya mengandungi bahan seperti lidocaine atau capsaicin yang boleh menyebabkan sendi terasa kebas.

Selain itu, krim atau ubat sapuan juga akan bertindak dengan mengurangkan rangsangan otak terhadap rasa sakit yang dialami pada lutut.

3. Suntikan

Bergantung kepada masalah yang dialami, doktor juga mungkin akan mengesyorkan ubat sakit lutut dalam bentuk suntikan.

Secara umumnya, terdapat 2 jenis suntikan ubat sakit lutut yang boleh diberikan kepada pesakit.

i) Corticosteroid

Ini bukanlah steroid yang membina otot. Sebaliknya, ia berfungsi untuk mengurangkan keradangan dan melegakan kesakitan selama beberapa bulan.

Pesakit juga disarankan untuk mengambil tidak lebih daripada 2 ke 3 suntikan Corticosteroid dalam masa setahun.

Biasanya, kesan akan dirasai dalam masa 2 ke 3 hari selepas disuntik. Sesetengah orang juga akan mengalami ‘steroid flare’ iaitu rasa pedih di bahagian yang disuntik pada 2 hari pertama.

ii) Hyaluronic Acid

Cecair ini pula dikatakan sama dengan cecair yang bertindak sebagai ‘pelincir’ di sendi.

Sesetengah pesakit yang menerima suntikan Hyaluronic Acid dapat bergerak dengan lebih mudah dan kurang rasa sakit sehingga 6 bulan.

Namun, kedua-dua suntikan ini mungkin tidak sesuai atau berkesan bagi semua pesakit.

Sesetengah individu juga didapati boleh mengalami kesan sampingan seperti warna kulit berubah di bahagian suntikan, jangkitan atau tendon semakin lemah.

Rawatan Dari Rumah

Anda juga boleh pratikkan beberapa rawatan dari rumah untuk meredakan sakit lutut.

1. Rehat Secukupnya

Sekiranya anda mengalami kecederaan, dapatkan rehat secukupnya. Anda juga boleh berhenti lakukan aktiviti tertentu untuk mengurangkan bebanan pada lutut.

2.Gunakan Ais

Ais boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan di bahagian lutut. Gunakan ice pack yang dibalut dengan tuala nipis dan letakkan pada lutut.

Namun, anda harus ingat supaya tidak menggunakannya lebih daripada 20 minit kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada saraf dan kulit.

ubat sakit lutut

3. Tuam Panas

Selain ais, anda juga boleh gunakan heat pack atau botol tuam untuk mendapatkan kelegaan sementara.

4. Tinggikan Lutut

Kaedah ini pula dapat mengurangkan bengkak pada lutut. Anda boleh gunakan bantal atau duduk di kerusi ‘recliner’.

5. Gunakan Pembalut Lutut

Penggunaan pembalut lutut boleh menawarkan pelbagai kelebihan antaranya :

  • Mengelakkan pengumpulan cecair pada tisu yang rosak
  • Mengekalkan kestabilan lutut
  • Dapat memberikan sokongan tambahan pada lutut.

Pastikan anda menggunakan pembalut yang diperbuat daripada material ringan dan mempunyai pengaliran udara yang baik.

ubat sakit lutut

Disebabkan sakit lutut boleh mengganggu aktiviti rutin dan pergerakan fizikal, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan seawal mungkin daripada doktor.

Ini bagi mengelakkan masalah sakit lutut bertambah buruk pada masa akan datang.

Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, WebMD, Mayo Clinic

Baca Juga : Kaki Bengkak : Punca, Simptom dan Tips Mencegah

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!