Salam Takziah: Contoh Ucapan Takziah dan Doa

Kita biasanya menyampaikan Salam Takziah kepada ahli keluarga individu yang baru meninggal dunia sebagai tanda simpati.

Dari sudut definisi, “takziah” bermaksud: “Memberikan ketenangan kepada keluarga si mati dan menggalakkan mereka untuk bersabar dengan jaminan pahala (terhadap perbuatan itu) serta mendoakan jenazah si mati yang beragama Islam dan juga doa kepada mereka yang ditimpa musibah.”

Seseorang itu boleh saja mengucapkan takziah di hadapan mereka yang ditimpa musibah itu atau boleh untuk seseorang mengucapkan takziah secara bertulis dan mengajak orang ramai turut mengucapkan takziah kepada keluarga si mati seperti yang dilakukan di Facebook, WhatsApp dan seumpamanya.

Hukum ucapan takziah

Secara umumnya, hukum takziah di dalam Islam adalah sunat yang dituntut.

Ini berdasarkan satu hadis diriwayatkan Abu ‘Umarah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak.”(Riwayat Ibn Majah – 1601)

Imam Al-Sindi dalam syarahannya ke atas hadis itu berkata: “Takziah kepada saudaranya adalah dengan cara menyuruhnya supaya bersabar. Seperti ucapan ‘semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada kamu’ dan seumpamanya.” (Rujuk Hasyiyah Al-Sindi ‘ala Ibn Majah – 1/486)

Kredit: Harian Metro

Contoh ucapan Takziah

Berikut merupakan beberapa contoh ucapan yang boleh diucapkan kepada kelarga arwah si mati.

Salam takziah diucapkan buat keluarga (nama arwah). Walaupun ujian ini begitu pahit dirasakan, semoga kita semua yakin dengan janjiNya buat hambaNya yang soleh dan solehah. InsyaAllah, syurga buat arwah.

Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Hati ini turut bersimpati dengan pemergian anak/ayah/emak kesayangan kalian. Bersabar dan yakinlah dengan janji Tuhan. Semoga arwah ditempatkan bersama hambaNya yang beriman.

Takziah buat (nama waris) seisi keluarga. Semoga dikurniakan ketabahan dan dipermudahkan segala urusan. Allahumma aamiin.

Ya Allah, ampunilah dia, berilah rahmat, sejahtera dan maafkanlah dia dan jadikanlah syurga sebagai tempat beristirehatnya.

Salam takziah juga buat keluarga arwah. Semoga Allah merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, mengampuni segala kesalahannya, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan menempatkan arwah di kalangan orang-orang yang beriman. Amin ya rabbal ‘alamin.

Salam takziah daripada kami sekeluarga. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan Allah. DaripadaNya kita hidup dan kepadaNya kita kembali.

Innalillahi wa inna ilahi rojiun. Salam takziah buat semua yang terlibat. Semoga tabah dan sabar dalam menghadapi ujian.

Innalillahi wa inna ilahi rojiun. Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah, menerima segala amalan beliau dan mengangkat darjatnya di sisi Allah. Semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia, dilindungi dari seksa kubur dan semoga roh arwah ditempatkan dikalangan para solihin. Aamiin.

Doa buat orang meninggal dunia

Berikut adalah antara doa orang meninggal dunia yang boleh anda bacakan:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. – Riwayat Muslim (963)

Artikel berkaitan: Doa Orang Meninggal & Adab-Adab Menziarahi Jenazah

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!