Mandi Selepas Bersalin : Mandi Nifas dan Cara Mandi Yang Selamat

Mandi selepas bersalin adalah cukup penting bagi para ibu tak kiralah proses melahirkan dilakukan secara normal mahupun pembedahan.

Ia bukan sahaja penting bagi menjamin kebersihan peribadi ibu, malah rutin mandian turut memainkan peranan penting dalam pemulihan tubuh wanita selepas melahirkan anak.

Apakah yang perlu dititikberatkan dalam rutin mandi selepas bersalin dan tips yang wajib diketahui oleh para ibu?

Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Sumber : thebump.com

Mandi Selepas Bersalin : Mandi Nifas

Sebelum itu, para ibu wajib fahami hukum mandi nifas kerana ia merupakan perkara yang wajib dilakukan buat wanita beragama Islam yang melahirkan anak.

Antara yang sering menjadi persoalan adalah perbezaan antara mandi nifas dan wiladah.

Berikut merupakan istilah bagi kedua-dua mandi selepas bersalin :

• Wiladah – Mandi wajib selepas ibu itu selamat melahirkan anak.

• Nifas – Mandi wajib selepas kering darah nifas lepas tempoh berpantang selepas melahirkan anak.

Dari sudut perubatan, darah nifas dipanggil lochia. Tempoh jangka masa bagi darah nifas adalah seperti berikut :

  • Tempoh Minimum: Sedetik
  • Tempoh Kebiasaan: 40 hari
  • Tempoh Maksimum: 60 hari

Darah yang keluar melebihi tempoh maksimum adalah dikira darah penyakit (istihadhah).

Para ibu WAJIB mandi apabila berhenti keluarnya darah nifas dalam keadaan naqa’, yakni jika dimasukkan kapas ke dalam faraj lalu dikeluarkan tidak ada kesan-kesan darah, kekeruhan atau kekuningan.

Jika darah sudah berhenti tetapi jika dimasukkan kapas masih dilihat kesan darah, warna keruh atau kekuningan, maka itu adalah keadaan fatrah yang menunjukkan masih dalam keadaan bernifas.

Perlukah si ibu mandi kedua-duanya sekali iaitu mandi wiladah dan mandi nifas?

Jawapannya ialah TIDAK PERLU. Adalah memadai untuk para ibu mandi sekali sahaja.

Memetik perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan, Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad (1/137) berkata :

“Jikalau terhimpun ke atas seorang wanita kewajipan mandi hadas haid dan janabah (seperti jimak dan keluar mani), memadailah baginya dengan niat (mandi mengangkat hadas) salah satu daripada keduanya. Begitu juga seorang yang berjunub kemudian mati, dan orang yang berjunub kemudian haid, maka memadai bagi dua keadaan itu terangkat hadas dengan satu kali mandi. Begitu juga jika seseorang itu berjunub, kemudian berhaji, kemudian dia mati, cukup bagi wanita itu satu kali mandi untuk ke semua keadaan (hadas besar) itu.”

Beberapa cara yang boleh diaplikasikan oleh para ibu untuk mandi selepas bersalin, antaranya:

  1. Meniatkan setiap hadas besar yang dialami dan dimaksudkannya. Contoh, jika dia mengalami dua hadas besar iaitu nifas dan junub maka diniatkan kedua-duanya sekali.
    “ Sahaja aku mengangkat hadas nifas dan junub”
  2. Memadai niat hanya satu niat sahaja atau satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas.
    “Sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar)”
    atau
    “Sahaja aku sahaja aku menunaikan fardhu mandi atau seumpama dengannya”.

Tips Mandi dan Penjagaan Kebersihan Diri Untuk Ibu Bersalin Normal

1. Gunakan Rendaman Punggung : Rendaman punggung atau sitz bath menggunakan air suam boleh digunakan untuk membilas bahagian perineal sebelum mandi. Ini dapat membantu para ibu untuk membersihkan kawasan tersebut dengan lebih baik di samping mengurangkan risiko jangkitan.

Namun, para ibu yang mengalami koyakan pada bahagian perineum perlu dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum lakukan rendaman punggung di rumah.

2. Elakkan Menyental Ketika Mandi : Kawasan perineal adalah sangat sensitif selepas bersalin. Elakkan daripada menyental atau menggunakan sabun di kawasan tersebut. Sebaliknya, lalukan kawasan tersebut dengan air suam.

3. Pantau Pendarahan : Adalah normal untuk darah nifas keluar selama beberapa minggu. Gunakan pad pakai buang yang sesuai dan selesa dan tukar dengan kerap bagi mengekalkan tahap kebersihan pada kawasan tersebut.

4. Posisi Selamat Ketika Mandi : Sekiranya para ibu rasa tidak stabil untuk mandi berdiri, gunakan kerusi dan duduk ketika mandi. Ini bagi membantu para ibu lebih selesa dan selamat daripada risiko terjatuh dalam bilik mandi.

mandi selepas bersalin
Sumber : parents.com

Tips Mandi dan Penjagaan Kebersihan Diri Untuk Ibu Bersalin Caesar

1. Lindungi Kawasan Jahitan : Adalah penting untuk para ibu memastikan kawasan ini sentiasa kering dan bersih. Ketika mandi, lalukan kawasan ini dengan air suam. Elakkan menggunakan sabun di bahagian jahitan.

2. Elakkan Berendam : Elakkan daripada aktiviti merendam termasuk di tab mandi atau kolam renang sehingga doktor memberikan kebenaran. Biasanya, ibu boleh lakukan aktiviti berendam air 6 minggu selepas pembedahan.

3. Keringkan Kawasan Jahitan : Selepas mandi, tekapkan kawasan jahitan dengan lembut menggunakan tuala bersih. Pastikan kawasan tersebut bersih dan benar-benar kering sebelum anda melapikkannya dengan sebarang pakaian. Ini penting bagi mencegah kelembapan yang boleh menyebabkan jangkitan.

4. Pantau Tanda Jangkitan : Para ibu yang bersalin Caesar juga perlu sentiasa memantau kawasan jahitan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan seperti kemerahan, bengkak atau keluar darah atau nanah. Dapatkan rawatan segera sekiranya terdapat tanda-tanda ini.

Tips Tambahan Untuk Para Ibu

  • Jangan lupa untuk kekal hidrat dengan minum banyak air kosong dan amalkan diet seimbang bagi membantu pemulihan dan penghasilan susu badan ketika tempoh berpantang.
  • Dapatkan rehat secukupnya dan jangan ragu untuk dapatkan bantuan di rumah.
  • Lakukan senaman lantai pelvis sesuai dengan saranan doktor bagi menguatkan kembali otot yang terkesan daripada proses kelahiran.
  • Hadiri setiap temujanji doktor untuk pantau perkembangan diri dan bayi.

Semoga perkongsian tips mandi selepas bersalin ini dapat membantu para ibu untuk lebih bersedia untuk hadapi hari-hari berpantang.

Selain memenuhi keperluan bayi, jangan lupa untuk utamakan kesihatan serta kebersihan peribadi ibu kerana ia merupakan sebahagian penting dalam fasa pemulihan setelah melahirkan anak.

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan (1), (2), Mayo Clinic, babycenter.com, thebump.com

Bantu kami share artikel ini: