Dasar Pendidikan Kebangsaan: Sejarah & Pelaksanaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan wujud akibat timbulnya kesedaran dalam kalangan pemimpin dan rakyat ketika negara menuju kemerdekaan tentang betapa pentingnya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan

Dasar ini adalah untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak rakyat dan negara.

Oleh kerana itu, sebelum merdeka lagi, laporan mengenai pendidikan telah dilaksanakan bagi mengenal pasti sistem pendidikan yang terbaik untuk dilaksanakan dalam negara.

Kajian Sistem Pendidikan Sebelum Merdeka

Sebelum merdeka, terdapat 3 laporan telah dikemukakan iaitu:

i) Penyata Barnes 1950

Antara ringkasan cadangan dan idea yang terdapat dalam Laporan Barnes ini ialah:

  • Sistem sekolah kebangsaan yang mengumpulkan pelajar dari semua kaum, menggantikan sistem sekolah vernakular.
  • Pendidikan rendah di sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.
  • Pendidikan menengah masih lagi menggunakan bahasa Inggeris sahaja sebagai bahasa pengantar.
  • Pelajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil akan disediakan terdapat keperluan di sesebuah sekolah.
  • Bahasa Melayu wajib diajar di Sekolah Inggeris dan bahasa Inggeris wajib diajar di Sekolah Melayu.

ii) Laporan Fenn-Wu

Berbanding Laporan Barnes yang mengkaji sistem pendidikan secara menyeluruh, Laporan Fenn-Wu lebih kepada kajian terhadap sistem pendidikan Cina sahaja dan menyentuh mengenai perkara-perkara berikut:

  • Menambahbaik isi kandungan buku-buku teks Cina supaya ianya bercirikan tempatan.
  • Menambahbaik gaji dan elaun untuk pendidik Cina.
  • Menambahbaik kaedah kursus latihan perguruan.

iii) Ordinan Pelajaran 1952

Laporan Barnes dan Fenn-Wu kemudiannya disatukan oleh pihak Inggeris dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952.

Ordinan ini telah menetapkan beberapa cadangan:

  • Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu iaitu satu sekolah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan satu lagi sekolah menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar.
  • Kerajaan akan memberi pelajaran percuma selama 6 tahun dan diwajibkan kepada tiap-tiap warganegara yang berumur dari 6 tahun hingga 12 tahun. Murid-murid yang tamat di peringkat sekolah rendah ini akan diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan vokasional menurut kemampuan dan kelayakan masing-masing.
  • Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan. Bahasa Inggeis akan menjadi pelajaran wajib bagi sekolah Melayu dan bahasa Melayu akan menjadi pelajaran wajib bagi sekolah Inggeris.
  • Bahasa Cina dan Tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah.

iv) Penyata Razak 1956

Penyata Razak mempunyai 17 cadangan dengan mengambil kira matlamat akhirnya membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.

Antara perkara yang dicadangkan ialah:

  1. Semua sekolah di tanah air mempunyai sukatan yang sama
  2. Bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama.
  3. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan sekolah menengah.
  4. Bagi sekolah jenis kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi bahasa pengantar.
  5. Sekolah-sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
  6. Penubuhan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum.
  7. Guru-guru sekolah rendah dan menengah adalah bekelayakan.
  8. Sistem pendidikan sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah Menengah Atas (SMA) dan Pra Universiti.
  9. Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Pelaksanaan Dasar Pendidikan Selepas Merdeka

Selepas merdeka, terdapat beberapa laporan dan akta yang diperkenalkan:

i) Laporan Rahman Talib 1960

Pada tahun 1960, Laporan Rahman Talib telah diperkenalkan dan antara isi kandungannya:

  • Penekanan kepada pendidikan asas iaitu 3M – Membaca, Menulis, dan Mengira
  • Penekanan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang dikehendaki
  • Penekanan kepada kurikulum Malaya
  • Pendidikan menengah atas mempunyai dua aliran, iaitu akademik dan vokasional
  • Peluang untuk meneruskan pelajaran dari umur 9 tahun sehingga 11 tahun
  • Memudahkan prosedur pengurusan pendidikan untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan

ii) Akta Pelajaran 1961

Akta Pelajaran 1961 adalah berdasarkan kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Laporan Penyata Razak 1956.

Antara intipati akta ini adalah seperti berikut:

  • Bahasa Kebangsaan dijadikan bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.
  • Bahasa Kebangsaan adalah wajib bagi sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.
  • Bahasa Cina dan Tamil boleh diajar atas dua syarat, iaitu jka ada permintaan daripada 15 orang ibu bapa dan didapati munasabah serta praktik.
  • Pendidikan Islam wajib apabila terdapat 15 orang atau lebih murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.

iii) Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979

Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan pada September 1974 yang berfungsi untuk mengkaji semula pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan

Antara kandungan Laporan Jawatankuasa Kabinet:

  • Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib dalam peperiksaan awam.
  • Penekanan kepadapendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)
  • Penekanan kepada pendidikan kerohanian (Pendidikan Agama dan Moral dan nilai-nilai disiplin)
  • Penekanan kepada kurikulum sekolah.
  • Perlaksanaan pendidikan menengah atas melalui 2 jurusan (akademik dan vokasional)
  • Peluang diberi melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun, iaitu hingga Tingkatan 5.
  • Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan kebangsaan.
  • Meningkatkan mutu pendidikan dan pelajaran keseluruhannya.
  • Menekankan aktiviti kokurikulum melalui unit beruniform, sukan dan permainan serta persatuan.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan digubal berdasarkan laporan-laporan dan akta yang digubal sehingga terbentuknya dasar ini.

Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

  • Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama.
  • Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
  • Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua.
  • Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.
  • Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.
  • Mengadakan peluang pendidikan asas selama Sembilan tahun.
  • Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman.
  • Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh.
  • Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978.
  • Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan.
  • Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.
  • Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
  • Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

Sumber: https://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGSAAN.pdf.

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini: