Buah Sukun: 6 Khasiat Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Mungkin tidak ramai yang tahu atau pernah rasa buah sukun goreng. Buah yang kebanyakkan dari kita membiarkan sahaja ia busuk di atas pokok ini sebenarnya mengandungi pelbagai kandungan nutrisi di samping boleh dijadikan snek ringan.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan khasiat buah sukun, dan beberapa resepi menarik untuk anda jadikan hidangan minum petang.

Baca juga:

Apa itu buah sukun?

buah sukun

Buah sukun (Artocarpus altilis) tergolong dalam keluarga Moraceae iaitu sama dengan pokok ara dan nangka.

Di Malaysia, pokok sukun mempunyai dua musim pengeluaran di waktu puncak sepanjang tahun.

Biasanya pokok akan berbunga pada bulan Februari / Mac / Julai dan Ogos. Manakala berbuah pula pada bulan April / Jun / Oktober dan November.

Buahnya seakan-akan buah nangka. Ia berbentuk bulat dan sedikit lonjong, berwarna hijau terang dan berubah kuning kecokelatan apabila matang.

Sukun digemari oleh banyak orang kerana ia boleh diolah dan dijadikan snek lazat di waktu petang seperti sukun goreng, kerepek, bubur, kuih-muih, biskut dan sebagainya.

Fakta kandungan nutrisi

Setiap 100 gram buah sukun mengandungi nutrisi seperti berikut:

  • Air: 70.6 g
  • Tenaga: 103 kcal
  • Protein: 1.07 g
  • Jumlah lemak: 0.23 g
  • Karbohidrat: 27.1 g
  • Serat: 4.9 g
  • Jumlah gula: 11 g
  • Kalsium: 17 mg
  • Zat besi: 0.54 g
  • Magnesium: 25 mg
  • Fosforus: 30 mg
  • Kalium: 490 mg
  • Natrium: 2 mg
  • Zink: 0.12 mg
  • Kuprum: 0.084 mg
  • Mangan: 0.06 mg
  • Selenium: 0.6 µg
  • Vitamin C: 29 mg
  • Thiamin: 0.11 mg
  • Riboflavin: 0.03 mg
  • Niasin: 0.9 mg
  • Kolin: 9.8 mg

Khasiat dan manfaat

Antara khasiatnya dalam kesihatan adalah seperti berikut:

1. Meningkatkan imuniti

Memandangkan buah sukun mengandungi bioflavonoid antiradang, memakannya boleh membantu mengurangkan risiko penyakit.

Tiamin yang terkandung di dalamnya akan meningkatkan pertahanan tubuh badan kerana ia menguatkan otot di sepanjang saluran penghadaman di mana paling banyak sistem imun manusia berada di sana.

2. Boleh membantu mengawal diabetes

Serat dalam buah sukun berfungsi untuk menghalang glukosa dalam darah yang mana sangat berguna kepada pesakit diabetes.

Satu kajian yang dilakukan oleh Trends in Food Science & Technology, mencadangkan pengambilan sukun kerana potensinya untuk mengurangkan diabetes jenis 2.

3. Racun serangga yang berkesan

Kajian yang dilakukan oleh USDA Agricultural Research Service mendapati bahawa bunga sukun mengandungi tiga jenis bahan kimia yang mampu menghalau serangga terbang seperti nyamuk.

Malah sejak dulu lagi, masyarakat Hawaii sudah menggunakan teknik membakar bunga sukun sebagai penghalau semula jadi serangga.

4. Baik untuk penjagaan rambut

Health Beckon mengesyorkan orang ramai untuk makan buah sukun bagi mendapatkan rambut sihat dan kuat.

Asid lemak omega 3 dan omega 6 dalam buah ini dikatakan mampu merapikan dan menguatkan rambut serta menggalakkan rambut tanpa kelemumur yang gatal.

Bukan itu sahaja, zat besi dalam buah sukun juga boleh meningkatkan peredaran darah di kulit kepala dan kemudiannya merangsang pula pertumbuhan folikel.

5. Boleh membantu kesihatan jantung

Sifat antioksidan buah sukun mungkin memberi kesan positif untuk kesihatan jantung pada umumnya. Kalium misalnya boleh membantu dalam mengurangkan tekanan darah seseorang.

Memandangkan ia mengurangkan kesan natrium, ia juga boleh menggalakkan degupan jantung lebih teratur.

6. Membekalkan sumber tenaga yang berpanjangan

Karbohidrat kompleks dalam buah sukun memberikan sumber tenaga berpanjangan. Itu fakta yang perlu kita ketahui!

Kerana setiap 100 gram buah sukun mengandungi sekitar 27.1 gram karbohidrat yang mana ia setara dengan 10% keperluan karbohidrat sehari ditambah dengan kandungan serat dan proteinnya.

Tips beli buah sukun

Sukun agak jarang dijual di bandar. Biasanya anda boleh temukannya di kampung atau ditanam sendiri di rumah.

Tetapi jika anda jumpa dan ingin membelinya, berikut adalah antara tips yang boleh dicuba:

1. Pilih sukun dengan durinya masih mekar

Jika anda ingin memilih sukun yang sudah masak, boleh perhatikan dulu duri dan teksturnya.

Tanda sukun yang telah masak boleh dilihat dari kulitnya yang mula mekar. Bila dipukul dengan pisau, ianya masih empuk dan tidak keras.

Sebaliknya buah yang masih mentah, teksturnya lebih keras dari biasa.

2. Jenis sukun yang sesuai untuk buat kerepek

Untuk membuat kerepek, pilih sukun yang sudah masak tetapi bukan terlalu masak.

Kerana buah yang terlalu masak akan lembik dan sukar untuk mendapatkan tekstur ranggup kerepek tersebut.

3. Cara hilangkan getah sukun

Sukun memiliki getah putih yang boleh membuatkan rasanya pahit apabila tidak dibersihkan dengan betul.

Jadi anda boleh cuba merendam sukun di dalam air garam selama 10-15 minit sebelum dihiris dan digoreng.

Boleh juga direndam menggunakan air yang dicampur bawang putih untuk memberi rasa ranggup ketika digoreng menjadi kerepek.

Resepi sukun goreng tepung & sambal kicap

Sukun goreng tepung memang enak dijadikan hidangan minum petang. Beli sukun goreng diluar semestinya tidak sama dengan masakan sendiri.

Selain menjimatkan duit, anda pun boleh olah resepi mengikut citarasa sendiri.

1. Sukun goreng tepung

buah sukun
Rose Nani Nizah Nayan

Bahan-bahan:

  • 1 biji buah sukun (saiz kecil)
  • 2 cawan tepung beras
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 3 cawan minyak masak (untuk menggoreng)

Cara penyediaannya:

  1. Potong nipis isi buah sukun.
  2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, telur, garam, gula, serbuk kunyit, dan air ke dalam mangkuk. Kemudian kacau sehingga sebati.
  3. Panaskan minyak dalam kuali.
  4. Celupkan sukun dalam bancuhan tepung lalu masukkan ke dalam minyak yang panas.
  5. Goreng sukun hingga kekuningan dan garing kedua-dua bahagian.
  6. Toskan minyak dan hidangkan di dalam piring.

2. Sambal kicap pedas

Bahan-bahan:

  • 30 tangkai cili padi hijau (digoreng)
  • 3 ulas bawang putih (digoreng)
  • Jus limau nipis
  • Kicap manis
  • Sedikit garam
  • 1 sudu besar gula

Cara penyediaannya:

  1. Goreng cili dan bawang putih seketika.
  2. Kisar semua bahan dan tambah garam gula secukup rasa
  3. Tuangkan sambal kicap ke dalam bekas dan sedia untuk dihidangkan.
  4. Untuk tahan lebih lama, anda boleh simpan sambal kicap dalam peti sejuk.

Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan khasiat buah sukun ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Breadfruit. Penang Tropical Fruitfarm
  2. Breadfruit Species. National Tropical Botanical Garden
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!