Sosok Yahya Sinwar sangat digeruni oleh rejim zionis dan media antarabangsa. Sehinggakan media menggambarkan Yahya sebagai antara pemimpin tertinggi Hamas yang dianggap paling tegas dan enggan berkompromi apatah lagi ketika berhadapan dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel.
Bahkan di Gaza beliau turut dikenali sebagai The Butcher of Khan Younis. Namun berita kematian beliau yang diumumkan baru-baru ini telah mengemparkan seluruh umat Islam di dunia.
Untuk artikel pada kali ini, kami akan membawa anda mengenali dengan lebih rapat dengan sosok individu cukup dikenali ramai, Yahya Sinwar.
Baca juga:
- Biodata Khairul Aming – Influencer & Usahawan Sambal Nyet
- Biodata Ustaz Don Daniyal, Pendakwah & Usahawan Berjaya
- Biodata Teme Abdullah, Pemenang Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2024
Latar Belakang
Nama | Yahya Ibrahim Hassan Al-Sinwar “Abu Ibrahim” |
Nama Panggilan | Yahy Sinwar |
Tarikh Lahir | Oktober 1962 |
Tempat Lahir | Kem Pelarian Khan Yunis, Gaza |
Pendidikan | Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Arab dari Universiti Islam Gaza |
Pekerjaan | Ketua Biro Politik Hamas & Pemimpin Hamas |
Kehidupan Peribadi
Yahya Sinwar sudah mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan 3 orang anak iaitu 2 lelaki (Ibrahim, Abdullah) dan seorang anak perempuan (Redha).
Sumbangan Yahya Sinwar
Yahya Sinwar merupakan pemimpin nombor satu Hamas di Gaza, menggantikan Ismail Haniyah sejak Februari 2017. Beliau merupakan pengasas badan keselamatan Hamas dan merupakan figura ke-2 tertinggi barisan pejuang pembebasan Palestin selepas Haniyeh.
Beliau pernah dipenjarakan seumur hidup atas kejayaannya menumpaskan banyak operasi zionis, namun dibebaskan selepas 22 tahun dipenjarakan dengan pertukaran tentera Israel Korporal Ghilat Shalid, pada 2011 bersama 1026 tahanan Palestin dari penjara Israel.
Pelantikan Yahya sebagai Ketua Hamas selepas keluar dari penjara meningkatkan kemarahan Israel. Apatah lagi selepas mendapati bahawa Yahya adalah di antara perancang kepada Taufan al Aqsa yang telah menggegarkan rejim zionis dan kuasa-kuasa besar dunia, terutama Amerika Syarikat-United Kingdom.
Berikut adalah kronologi ringkas kehidupannya:
- 1962 : Dilahirkan pada bulan Oktober di Kem Pelarian Khan Yunis.
- 1980 : Mula terlibat dalam politik apabila menyertai pergerakan anti penjajahan Israel di Universiti Islam Gaza dan ditangkap pihak Israel.
- 1982 : Ditangkap zionis selama 6 bulan di Penjara Al-Faraa.
- 1983 : Menubuhkan Pasukan Keselamatan Al-Majd di bawah pimpinan Sheikh Ahmad Yasin.
- 1987 – 1988 : Intifadhah Pertama pencetus, beliau ditangkap zionis dan dihukum penjara seumur hidup.
- 1988 – 2011 : Menghabiskan 23 tahun di dalam penjara dengan menulis buku dan memimpin Badan Kepimpinan Tertinggi Tahanan Hamas di penjara.
- 2011 : Dibebaskan dalam perjanjian Wafa Al-Ahrar antara Hamas dengan zionis.
- 2012 : Menjadi Ahli Biro Politik Hamas di Gaza dan ditugaskan membuat koordinasi antara Parti Hamas dan Briged Al Qassam.
- 2014 : Memimpin Briged Al Qassam menghadapi serangan Israel pada Perang Al Asfim Maakul.
- 2015 : Amerika Syarikat senaraikan beliau dalam senarai hitam “pengganas antarabangsa”.
- 2017 – 2024 : Menjadi Ketua Hamas di Gaza.
- 2018 – 2019 : Mengetuai Kemaraan Kepulangan Agung (Great March Of Return).
- 2024 : Menjadi Ketua Biro Politik Hamas menggantikan Al-Syahid Ismail Haniyeh.
Pembunuhan Yahya Sinwar
Pada 17 Oktober 2024, tentera Israel mengumumkan bahawa mereka telah membunuh pemimpin Hamas Yahya Sinwar semasa operasi di selatan Gasa pada hari sebelumnya.
Hamas mengesahkan Ketua Biro Politiknya itu terbunuh dalam serangan Israel pada Khamis lalu. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh anggota biro politik Hamas, Khalil al-Hayya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Telegram Brigade al-Qassam Hamas pada Jumaat.
Buku doa dan tasbih antara barangan peribadi yang ditemui bersama jasad Yahya Sinwar di Tal-Al-Sultan, Rafah di Gaza Selatan yang terbunuh selepas diserang oleh rejim Israel.
Selain kedua barangan itu, turut ditemukan ialah jam tangan, pita pelekat, gula-gula, kad Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), wang tunai serta beberapa barangan lain.
Hasil Bedah Siasat
Dr Chen Kugel yang mengendalikan bedah siasat kepada Yahya Sinwar memberitahu punca kematian beliau adalah kerana tembakan di kepala.
Hasil bedah siasat, Yahya dikatakan pertama kali cedera di lengan oleh serpihan, kemungkinan daripada pelura berpandu atau (peluru) kereta kebal. Beliau kemudian mengikat kabel elektrik di lengannya sebagai tourniquet (alat untuk menyekat darah) sementara.
Tembakan di kepala itulah yang membunuh Yahya, namun tidak jelas siapa yang melepaskan tembakan dan senjata apa yang digunakan.
Siapa Pengganti Yahya Sinwar?
Syahidnya Yahya Sinwar menjadi tanda tanya dan persoalan oleh ramai pihak tentang siapakah bakal mengantikan posisi beliau sebagai pemimpin Hamas. Berikut adalah beberapa senarai calon yang dikatakan berpotensi mengambil alih:
- Mahmoud al-Zahar, seorang pengasas Hamas & tokoh kanan dalam kepimpinan politik Hamas
- Mohammed Sinwar, adik kepada Yahya Sinwar
- Mousa Abu Marzouk, seorang tokoh kanan dalam biro politik Hamas
- Mohammed Deif, pemimpin sayap tentera Hamas, Briged Izz al-Din al-Qassam
- Khalil al-Hayya, anggota biro politik Hamas
- Khaled Mashal, bekas pemimpin umum Hamas yang kini hidup dalam buangan di Qatar
Sesiapa sahaja yang mengambil alih posisi sebagai pemimpin Hamas, beliau akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Hamas dan pendekatannya terhadap konflik yang sedang berlangsung dengan Israel.
Fakta Menarik Mengenai Yahya Sinwar
- Mengasaskan Perisikan Keselamatan dan Dakwah (Majd) untuk memburu pengintip dan pegawai Israel di Gaza pada tahun 1985.
- Ditangkap oleh tentera Israel beberapa kali, pertama kali pada tahun 1982 dan yang terakhir pada tahun 1988.
- Menghabiskan 23 tahun di dalam penjara Israel dan dibebaskan pada tahun 2011 dalam perjanjian Wafaa Al-Ahrar.
- Disenaraikan oleh Amerika Syarikat dalam senarai pengganas pada tahun 2015.
- Digelar oleh Israel sebagai “pembunuh berdarah dingin dan ketua sayap keras Hamas”.
- Disebut oleh Israel sebagai salah seorang daripada 10 sasaran yang diutamakan dalam perang pada tahun 2023.
- Digelar “public enemy nombor satu” yang digeruni rejim Israel.
- Amerika Syarikat (AS) pernah melabelkan Sinwar sebagai “pengganas global yang ditetapkan khas” menjadikannya antara 10 individu paling dikehendaki sekutu Israel di barat.
- Beliau suka menggelar dirinya sebagai ‘pakar sejarah orang Yahudi’.
Biarpun Yahya Sinwar sudah meninggal dunia, namun perjuangannya akan kekal menjadi baja yang tertanam dalam jiwa setiap hari umat Islam khususnya rakyat Palestin di Gaza.
Beliau yang syahid tetap “hidup” menjadi sumber inspirasi kepada genarasi baru dan model kepada belia dan kanak-kanak yang akan meneruskan jalannya ke arah pembebasan Palestin!
Sumber:
- Siapa Yahya Sinwar Yang Digeruni Israel? The Merdeka Times
- Yahya Sinwar, ‘Pakar Sejarah Orang Yahudi’ Sinar Harian