Penyakit virus Kawasaki ialah sejenis radang salur darah yang jarang berlaku, tetapi boleh menyebabkan komplikasi serius kepada jantung kanak-kanak.
Ia sering menyerang kanak-kanak kecil dan bermula dengan demam tinggi yang berpanjangan. Jika tidak dirawat awal, ia boleh menjejaskan arteri jantung dan membawa risiko serangan jantung. Oleh itu, penting untuk ibu bapa mengenali simptom awal penyakit ini.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda tentang virus Kawasaki, simptom, punca, komplikasi yang boleh berlaku.
Baca juga: Penyakit HFMD Menyerang Lagi! Awasi 10 Tanda & Cara Cepat Rawat HFMD
Apa itu Virus Kawasaki?
Penyakit Kawasaki, yang juga dikenali sebagai Kawasaki disease atau Kawasaki syndrome, bukanlah penyakit yang berpunca daripada virus secara langsung, walaupn ia sering digelar “virus Kawasaki” oleh orang awam kerana simptomnya yang menyerupai jangkitan virus.
Ia sebenarnya adalah sejenis vasculitis, iaitu keradangan pada dinding salur darah kecil dan sederhana yang membawa darah ke seluruh tubuh. Keadaan ini jarang berlaku tetapi boleh memberi kesan serius, terutamanya kapada jantung kanak-kanak.
Penyakit ini lazim menyerang kanak-kanak berumur antara 6 bulan hingga 5 tahun, dan ia memberi kesan paling besar kepada arteri koronari, iaitu salur darah utama yang membekalkan darah beroksigen ke jantung. Apabila salur darah ini menjadi bengkak (inflamasi), ia boleh menjadi lemah, meregang, menyempit atau mengalami perut.
Ini boleh mengganggu aliran darah ke tisu dan organ, sekaligus menyebabkan komplikasi jantung seperti aneurisme (salur darah membengkak seperti belon) atau serangan jantung pada usia muda.
Punca Virus Kawasaki
Sehingga hari ini, punca sebenar penyakit Kawasaki masih belum diketahui walaupun banyak kajian telah dijalankan. Doktor dan pakar kesihatan belum menemui sebarang virus atau bakteria tertentu yang boleh disahkan sebagai penyebab utama penyakit ini.
Oleh itu, ramai percaya bahawa penyakit ini mungkin berlaku kerana sistem imun badan kanak-kanak bertindak balas secara berlebihan terhadap jangkitan biasa seperti selsema atau virus lain.
Ada juga kemungkinan faktor keturunan atau genetik memainkan peranan. Ini bermakna sesetengah kanak-kanak mungkin dilahirkan dengan kecenderungan lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini jika mereka terdedah kepada pencetus tertentu.
Apa yang menarik, virus Kawasaki lebih banyak berlaku di Jepun berbanding negara lain. Selain itu, kanak-kanak berketurunan Asia atau Asia-Amerika juga dilihat lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini, walaupun mereka tinggal di luar Asia.
Namun, kanak-kanak dari semua bangsa dan latar belakang juga boleh dijangkiti, jadi ibu bapa perlu peka terhadap simptomnya.
Simptom & Gejala
Virus Kawasaki boleh menunjukkan pelbagai tanda dan gejala, terutamanya pada kanak-kanak keci;. Ia biasanya muncul secara berperingkat, dan simptom boleh berbeza antara seorang pesakit dengan yang lain.
Berikut adalah senarai simptom utama yang biasa berlaku:
- Demam yang berlarutan sekurang-kurangnya lima hari
- Mudah meragam atau gelisah (irritability)
- Mata merah atau merah jambu tanpa lelehan (discharge)
- Kemerahan atau rekahan pada bibir dan lidah
- Bengkak dan/atau kemerahan pada tangan dan kaki
- Pegelupusan kulit, terutamanya sekitar kuku jari tangan dan kaki
- Ruam pada badan (trunk) dan kadang-kadang di bahagian lain
- Bengkak pada kelenjar limfa di leher (lymph node)
- Sakit perut atau perut tidak selesa (upset stomach / belly pain)
Komplikasi Virus Kawasaki
Walaupun kebanyakan kanak-kanak pulih sepenuhnya dengan rawatan awal, penyakit Kawasaki yang tidak dirawat atau terlewat di kesan boleh membawa kepada komplikasi serius, terutamanya berkaitan dengan sistem kardiovaskular.
Berikut ialah senarai komplikasi yang boleh berlaku akibat penyakit Kawasaki:
- Aneurisme pada arteri koronari
- Pembekuan darah dan salur darah sempit
- Salur darah koronari pecah (ruptur)
- Masalah injap jantung
- Keradangan pada jantung (miokarditis atau perikarditis)
- Hepatitis (keradangan hati)
- Keradangan pada paru-paru
- Jangkitan pada jantung (endokarditis atau miokarditis bakteria)
- Pankreatitis (keradangan pankreas)
- Fungsi jantung yang lemah atau kegagalan jantung
- Serangan jantung (heart attack)
Rawatan yang Boleh Diberikan
Kebanyakan kanak-kanak boleh pulih sepenuhnya tanpa sebarang kerosakan pada salur darah jika rawatan dimulakan dalam tempoh 10 hari pertama selepas gejala bermula. Rawatan biasanya diberikan di hospital dan melibatkan dua komponen utama:
1. Gamma Globulin (Intravenous Immunoglobulin – IVIG)
Rawatan utama yang digunakan sebaik sahaja diagnosis disahkan. Ubat ini diberikan melalui salur intravena (IV) yang dimasukkan ke dalam pembuluh darah anak. Proses pemberian IVIG ini mengambil masa beberapa jam.
Fungsi utama IVIG adalah untuk mengurangkan demam dan mencegah keradangan serius pada salur darah, termasuk mencegah terbentuknya aneurisme (pengembangan dinding arteri yang berbahaya). Ia juga membantu sistem imun kembali stabil.
2. Terapi Aspirin
Aspirin kanak-kanak (baby aspirin) akan diberikan secara konsisten, siang dan malam, untuk membantu mengawal demam dan keradangan. Selain itu, aspirin berfungsi menghalang pembekuan darah dengan memastikan sel darah tidak bergumpal.
Dos aspirin akan dimulakan pada kadar tinggi untuk mengawal simptom dengan lebih pantas, dan kemudian dikurangkan secara berperingkat selepas beberapa hari apabila keadaan anak stabil.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Penyakit Kawasaki memerlukan pemantauan rapi walaupun selepas rawatan awal diberikan. Ibu bapa atau penjaga perlu segera membawa anak berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda tertentu yang menunjukkan komplikasi atau kesan sampingan rawatan.
Berikut adalah situasi di mana anda perlu segera mendapatkan nasihat atau rawatan lanjut daripada doktor:
- Demam berterusan melebihi 100.4°F (38°C)
- Ruam atau demam kembali semula
- Tanda-tanda anak mendapat terlalu banyak aspirin
- Anak kelihatan sangat letih dan tidak aktif seperti biasa
- Anak dijangkiti selesema atau cacar air semasa mengambil aspirin
Baca juga: 10 Tanda Bersalin Semakin Hampir yang Wajib Ibu Tahu!
Kesimpulan
Kesimpulannya, sebagai ibu bapa, penting untuk kita sentiasa peka terhadap perubahan kesihatan anak, terutamanya apabila mereka mengalami demam berpanjangan yang tidak sembuh dengan rawatan biasa.
Penyakit Kawasaki mungkin jarang berlaku, tetapi ia membawa risiko besar terhadap kesihatan jantung anak jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera.
Rawatan awal mampu memberi peluang pemulihan penuh dan melindungi anak daripada risiko serangan jantung di usia muda.
Rujukan:
- Kawasaki Disease: Symptoms, Diagnosis and Treatment. Nationalwide Children’s Hospital
- Kawasaki Disease. National Center for Biotechnology Information
- Kawasaki Disease (Children). National University Health System