Udang Harimau : Ciri-ciri, Harga Terkini & Resipi Menarik

udang harimau
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bagi penggemar makanan laut, nama udang Harimau ini pastinya tidak asing lagi buat anda. Walaupun harganya lebih mahal dari yang biasa, ia masih mendapat tempat di hati penggemar kerana rasanya yang manis dan saiznya yang juga lebih besar. 

Untuk anda yang menggemari udang jenis ini, berikut kami kongsikan semuanya tentang udang ini, dari ciri-cirinya, habitat, harga terkini dan resipi yang boleh anda cuba menggunakan udang ini.

Apa Nama Udang Harimau In English?

Udang ialah nama yang diberikan kepada sebarang jenis haiwan krustasea akuatik yang berbadan lonjong, berkulit keras, berkaki sepuluh, dan mempunyai ekor, berbeza dengan ketam yang berbadan pipih. 

Seperti makanan laut yang lain, udang juga mempunyai jenis yang pelbagai, dan antara jenis yang popular sebagai makanan kita, adalah udang Harimau (Penaeus monodon) atau nama Inggerisnya giant tiger prawn, Asian tiger shrimp atau black tiger shrimp.

Udang jenis ini yang dikenali juga sebagai udang windu, merupakan spesies udang laut dari keluarga Penaeidae yang banyak diternak sebagai makanan kerana daya ketahanan yang tinggi dan kadar tumbesarannya  yang cepat. 

Ciri-ciri Fizikal

Ciri-ciri fizikal udang harimau (Penaeus monodon) adalah seperti berikut:

  • Saiz badan:
    • Panjang keseluruhan biasanya antara 18 hingga 33 cm, dengan berat badan antara 60g  hingga 320g bergantung kepada jantina:
      • Panjang betina boleh mencecah 33 cm ( 200g – 320g). 
      • Panjang jantan selalunya di antara 20 – 25 cm (100g -170g).
  • Warna dan corak
    • Karapas dan abdomen berbelang merah, hitam, dan putih menyerupai corak harimau
    • Memiliki antena berwarna kelabu coklat dan kaki dengan setae berwarna merah.
  • Struktur badan
    • Badan terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu sefalotoraks (kepala dan dada yang bersambung) dan abdomen. 
    • Badan diliputi oleh kulit keras (karapas). 
    • Kepala memanjang dengan taji bergerigi dikenali sebagai rostrum.
    • Mata bertangkai dan mulut berada di bawah kepala.
  • Ciri jantina
    • Udang harimau adalah diosius (berjantina berasingan).
      • Jantan mempunyai kepala lebih besar berbanding badan dan penyepit yang lebih besar pada kaki kedua.
      • Betina mempunyai saiz kepala dan badan yang hampir sama.

Sumber: Media Permata

Habitat Udang Harimau di Laut/Air tawar?

Udang Harimau tersebar secara semula jadi di lautan Hindi dan Pasifik, dari persisiran timur Afrika, Semenanjung Arab, Asia Tenggara, seperti Malaysia, Thailand, dan Indonesia hingga Laut Jepun dan Australia timur. 

Anak udang jenis ini biasanya membesar di kawasan muara sungai dan hutan bakau yang airnya sedikit payau, manakala udang dewasa tinggal di laut terbuka dengan dasar berlumpur atau berpasir pada kedalaman 20 hingga 50 meter.

Di Malaysia, udang jenis ini banyak diternak oleh penternak-penternak di negeri Johor, Perak, Sarawak, dan Melaka. Udang ini diternak dalam kolam air payau menggunakan sistem separa intensif dan intensif untuk hasil yang lebih baik. 

Baca juga: Ayam Kampung : Khasiat & Perbezaan Dengan Ayam Biasa

Harga Sekilo

Udang jenis ini merupakan salah satu komoditi akuakultur utama di Malaysia dan Asia Tenggara, dengan permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa, terutamanya dari negara seperti China dan Jepun.

Pada tahun ini, seorang penternak dari Malaysia telah berjaya menembusi pasaran eksport ke Beijing, China. Sebanyak 300 tan metrik udang harimau ini akan di eksport setiap minggu bagi memenuhi permintaan negara tersebut. 

Di Malaysia, anggaran harga bagi sekilo udang jenis ini (antara 20 hingga 30 ekor) boleh mencecah RM28-RM76 (Mengikut Saiz). Jika di restoran pula harga udang ini boleh mencecah RM8-RM40 bagi seekor udang yang telah dimasak. 

Masak Apa dengan Udang Harimau?

Berikut merupakan resipi mudah menggunakan udang Harimau yang boleh anda cuba:

  • UDANG GORENG BEREMPAH
    • Bahan-bahan
      • Udang harimau (500g)
      • Bawang merah (4 ulas)
      • Bawang putih (2 ulas)
      • Bawang besar dicincang (1 biji)
      • Serai dipotong nipis (1/2 batang)
      • Daun kari (1 tangkai)
      • Ketumbar (1 sudu)
      • Serbuk cili (1 sudu)
      • Serbuk jintan manis (1/2 sudu)
      • Serbuk kunyit (1/2 sudu)
      • Serbuk jintan putih (1/2 sudu)
      • Gula (sikit je kalau perlu)
      • Garam (secukup rasa)
    • Cara buat Udang Goreng Berempah
      • Tumbuk serai hingga hancur diikuti dengan bawang putih.
      • Setelah lumat, tumbuk bawang merah. Masukkan garam supaya mudah ditumbuk.
      • Gaulkan udang dengan bahan ditumbuk, semua rempah, gula. Perap 1/2 jam.
      • Goreng daun kari hingga naik bau.
      • Masukkan bawang besar dan biar hingga layu.
      • Masukkan udang, goreng hingga masak dan hidang.

    Sumber: Hairul Nizam Ijam

    Resipi seterusnya ialah resepi gulai udang campur nenas yang telah dikongsikan Cheyah Saripuddin di laman Facebook Resepi Pembuka Selera:

    • RESEPI GULAI UDANG CAMPUR NENAS
      • Bahan-bahan
        • 8-10 ekor udang harimau
        • 1/2 biji nenas
        • 1 biji bawang merah besar
        • 2 ulas bawang putih
        • 3 biji cili merah (nak pedas tambah lagi)
        • Seinci kunyit hidup
        • Seinci halia
        • 1 batang serai diketuk
        • Seinci halia dibakar
        • Sekeping asam keping
        • 100ml santan (guna setengah kotak)
        • Garam dan gula
        • Air untuk blender
      • Cara buat gulai udang campur nenas
        • Kisar bawang merah, bwang putih, cili merah, kunyit hidup dan halia. Kemudian tuangkan ke dalam periuk bersama serai.
        • Biarkan sehingga sedikit mendidih, kemudian masukkan santan. Kacau sehingga ia cantik dan mesra sebati.
        • Seterusnya boleh masukkan udang, asam keping, gula dan garam. Kacau lagi sehingga kuah pekat.
        • Boleh masukkan nenas yang dibahagi dua tadi. Kacau hingga masak. Sedia untuk dihidang.
    udang harimau

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut