Adakah anda sedang mencari ubat panau? Masalah kulit yang disebabkan oleh kulat Malasezzia ini mudah berlaku di kawasan badan yang mudah berpeluh.
Ditambah pula dengan cuaca panas dan lembap di negara kita ini, maka lebih mudah untuk seseorang terkena panau.
Gejala Penyakit Panau
- Sering tumbuh di bahagian yang mudah berpeluh dan berminyak seperti muka, kaki, belakang badan, dada, lengan dan leher.
- Muncul tompok berwarna pucat (putih, merah jambu) atau gelap (perang, hitam) dengan permukaan yang berdebu halus.
- Tompok berbentuk bulat atau bujur, kadang kala bercantum sehingga menyebabkan permukaan menjadi lebih besar.
- Sesetengah pesakit berasa gatal pada kawasan yang tumbuh panau.
Faktor Risiko
Panau boleh berlaku bagi sema peringkat umur. Walau bagaimana pun, golongan berikut lebih berisiko tinggi untuk mengalaminya :
- Remaja dan belia
- Pesakit yang kekurangan zat makanan
- Pesakit yang mengambil ubat tertentu seperti steroid sistemik dan immunosuppresant
- Pesakit hyperhidrosis yang mengalami masalah peluh berlebihan
Namun, anda tidak perlu risau kerana kulat panau tidak berjangkit atau memberi masalah serius kepada seseorang.
Rawatan Menggunakan Ubat Panau Sapu
Secara umumnya, ubat panau terdiri daripada dua jenis iaitu ubat sapu atau ubat makan / sistemik.
Pada keseluruhannya, ubat sapu dilihat lebih selamat. Ia terbahagi kepada jenis ubat yang tidak spesifik terhadap kulat dan antikulat.
Contoh-contoh ubat yang tidak spesifik terhadap kulat adalah :
- Losyen 2.5% selenium sulphide
- Propylene glycol / Tacrolimus
- Whitfield’s ointment
Ubat Sistemik Antikulat
Rawatan sistemik antikulat hanya akan diberikan kepada pesakit yang mempunyai panau yang teruk, panau berulang atau panau yang tidak boleh dirawat dengan ubat sapu.
Ia juga hanya boleh diberikan oleh doktor atau pakar kulit kerana terdapat risiko kesan sampingan ubat dan tindak balas dengan ubat-ubatan lain.
Terdapat beberapa jenis ubat panau yang dikategorikan sebagai ubat sapu antikulat antaranya :
- Kumpulan azole – clotrimazole, miconazole, ketoconazole, econazole, tioconazole
- Krim terbinafine
Bolehkah Panau Sembuh?
Secara umumnya, pesakit akan sembuh dengan rawatan yang dinyatakan di atas. Segelintir pesakit mungkin akan mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun sebelum tompok pucat kembali kepada warna kulit sedia kala.
Namun, ini tidak bermakna rawatan telah gagal.
Kulat panau menghasilkan bahan kimia yang toksik serta menghalang fungsi sel-sel pigmen semasa jangkitan aktif sehingga mengakibatkan perubahan warna kulit. Oleh itu, ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
Cara Elakkan Panau Berulang
Kebarangkalian untuk panau berulang adalah setinggi 60% pada tahun pertama.
Untuk mencegahnya, pesakit boleh gunakan losyen selenium sulphide sebanyak sebulan sekali.
Ada kalanya, pengambilan ubat panau sistemik antikulat selama sehari atau sehingga tiga hari sebulan juga dapat membantu.
Sebelum anda menyapu ubat, pastikan kawasan kulit kering dan bersih.
Pastikan juga anda mencuci tangan sebelum dan selepas menyapu ubat.
Sekiranya anda memerlukan ubat panau, dapatkan diagnosa daripada doktor terlebih dahulu. Mereka akan mengesyorkan rawatan yang terbaik bagi masalah kulit yang anda alami.
Jangan lupa untuk patuhi penggunaan ubat serta kekerapan yang telah ditetapkan.
Sumber : myhealth.moh.gov.my (1), (2), Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Baca Juga : Kurap : Gejala, Kaedah Rawatan, dan Tips Kawalan Jangkitan