Ubat Gugur Kandungan : Risiko dan Hukum Dalam Islam

Pada tahun 2019, negara telah dikejutkan dengan 5 kes kematian akibat pengambilan ubat gugur kandungan iaitu Cytotec secara haram.

Ini sekaligus mencerminkan mentaliti masyarakat masa kini yang tidak menghargai nyawa bayi dalam kandungan.

Sedang ramai suami isteri berikhtiar selama bertahun-tahun untuk dapatkan anak, segelintir wanita atau pasangan yang tak bertanggungjawab malah memilih jalan yang berbahaya untuk menghalang kelahiran bayi dalam kandungan.

Lebih menyedihkan, pil yang digelar sebagai ‘pil cuci noda’ ini boleh didapati dengan mudah secara atas talian sama ada di Marketplace atau platform media sosial.

Difahamkan bahawa kebanyakan pengguna pil tersebut adalah daripada kalangan pelajar sekolah menengah kerana ia mudah didapati di hujung jari.

Pelanggan hanya perlu berhubungan melalui aplikasi Whatsapp sahaja.

ubat gugur kandungan

Nama Ubat Gugur Kandungan

Ubat gugur kandungan yang dikenalpasti adalah tablet Cytotec atau nama generic Misoprostol 200mcg. Ia diklasifikasikan sebagai Racun Jenis B dan kegunaan utama tablet Cytotec yang didaftarkan adalah bagi merawat ulser.

Ia juga sering menjadi jalan penyelesaian mudah, mudah dan berkesan bagi pasangan yang tidak menginginkan anak berbanding berjumpa dengan doktor.

Selain merawat ulser, Cytotec juga bertindak untuk menyebabkan kecutan atau kontraksi rahim yang sangat kuat dan menyebabkan proses keguguran berlaku.

Ia juga dipercayai mempunyai keberkesanan sehingga 90% sekiranya digunakan pada 12 minggu pertama kehamilan.

Risiko Pengambilan Ubat Gugur Kandungan

Secara umumnya, wanita atau pasangan hanya mengetahui kesan sampingan yang kecil bagi tablet Cytotec seperti loya, sakit kepala, cirit-birit, muntah dan sembelit.

Mereka juga menganggap yang kesan tersebut hanya akan berlaku pada tempoh yang singkat sahaja.

Sebaliknya, ‘pil cuci noda’ ini boleh mendatangkan pelbagai risiko bagi wanita termasuk :

  • Kesan yang lebih memudaratkan seperti koyakan teruk pada rahim dan embolism air ketuban (ambiotic fluid embolism) bagi penggunaan melebihi 12 minggu.
  • Pendarahan yang teruk dari rahim yang koyak sehingga mengakibatkan kematian
  • Risiko lebih besar sekiranya kandungan luar rahim (ectopic pregnancy). Ia boleh mengakibatkan pendarahan dalaman yang teruk dan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Hukum Gugur Kandungan Dalam Islam

Bagaimana solusi wanita yang menjadi mangsa rogol? Adakah dia perlu teruskan kandungan dan menghadapi tekanan daripada masyarakat sekeliling?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

“Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002 juga telah membincangkan isu Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh KECUALI pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan menghidap penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Kesimpulan

Untuk makluman, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau pihak perseorang sebagai agen untuk mengedar produk atau ubat menggugurkan kandungan.

Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlulah bersama-sama mainkan peranan bagi mengelakkan isu ini menjadi lebih berleluasa.

Lebih penting lagi, penilaian bagi meneruskan prosedur pengguguran hanya berada di bawah bidang kuasa doktor perubatan sahaja.

Pakar perubatan akan bersidang dan mengkaji tahap kesihatan ibu hamil. Sekiranya terbukti secara klinikal bahawa meneruskan kandungan boleh mengancam nyawa ibu, maka prosedur pengguguran akan dijalankan di hospital dengan pemantauan rapi.

Jadi, para wanita serta pasangan di luar sana perlulah faham bahawa penggunaan ubat gugur kandungan atau ‘rawatan sendiri’ di rumah bukan sahaja melibatkan nyawa janin, malah ia turut mengancam nyawa wanita hamil itu sendiri.

Harus diingatkan juga bahawa berdasarkan Seksyen 312, kanun keseksaan, individu yang menggugurkan anak tanpa sebab boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : upm.edu.my

Bantu kami share artikel ini: