Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia kelima yang dikenali sebagai pemimpin berperwatakan tenang, berjiwa rakyat dan berprinsip sederhana.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau membawa pendekatan kepimpinan yang menekankan integriti, pembangunan modal insan, pemerkasaan ekonomi wilayah, serta penerapan nilai Islam dalam pentadbiran melalui gagasan Islam Hadhari.
Selain berperanan penting dalam kerajaan, Tun Abdullah turut menyumbang besar selepas persaraannya menerusi penglibatan aktif dalam NGO, pendidikan Islam dan diplomasi antarabangsa.
Artikel ini akan mengupas secara menyeluruh biodata, pencapaian utama serta sumbangan besar beliau kepada negara dan dunia Islam.
Baca juga: Dato’ Sri Ismail Sabri – Biodata, Pencapaian, Kronologi Kes SPRM
Latar Belakang
Nama | Tun Abdullah Ahmad Badawi |
Nama Panggilan | Pak Lah |
Tarikh Lahir | 26 November 1939 |
Tempat Lahir | Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang |
Pendidikan | Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Universiti Malaya |
Pekerjaan | Ahli politik, Bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-5 |
Kehidupan Peribadi
Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mendirikan rumah tangga dengan Tun Endon binti Mahmood Ambak pada 1995. Hasil perkahwinan pertama itu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Bagaimanapun, Tun Endon meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 akibat kanser payudara.
Tun Abdullah kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.
Baca juga: Syed Saddiq : Biodata, Kerjaya, Pencapaian & Update Terkini
Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia
Tun Abdullah Ahmad Badawi telah meninggal dunia pada 14 April 2025 pada usia 85 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 7:10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, akibat penyakit jantung. Pemergian beliau disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, melalui media sosial.
Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk mengadakan upacara pengebumian negara bagi menghormati jasa beliau. Jenazah akan disemayamkan di Masjid Negara dan dikebumikan di Makam Pahlawan pada 15 April 2025.
Kerjaya Politik & Profesional
Tun Abdullah Ahmad Badawi memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pegawai diplomatik dan pentadbiran (PTD) sebelum terjun ke arena politik pada tahun 1978 sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas. Beliau kemudiannya memegang pelbagai jawatan penting dalam kabinet seperti Menteri Luar Negeri, Menteri Pertahanan, dan Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada tahun 2003, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima. Sepanjang pentadbirannya (2003–2009), beliau menekankan agenda integriti, pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi wilayah melalui lima Koridor Ekonomi, dan pengenalan konsep Islam Hadhari. Selepas meletak jawatan pada 2009, beliau terus menyumbang melalui institusi seperti IKIM, IAIS, dan pelbagai forum antarabangsa.
Kerajaan:
- 1964: Penolong Setiusaha Jabatan Perkhidmatan Awam
- 1969: Ketua Penolong Setiusaha Majlis Gerakan Negara
- 1971: Pengarah Belia Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KBS)
- 1975: Timbalan Ketua Setiusaha KBS
- 1978: Setiusaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan
- 1980: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan
- 1981-1983: Menteri Jabatan Perdana Menteri
- 1983: Memangku Menteri KBS
- 1984: Menteri Pelajaran
- 1986 – 17 Mei 1987: Menteri Pertahanan
- 1991-1999: Menteri Luar Negeri
- 1999: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri
- 2003-April 2009: Perdana Menteri ke-5
Politik:
- 1964: Menyertai UMNO Bahagian Kepala Batas
- 1979: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pulau Pinang
- 1980: Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pulau Pinang
- 1981: Ahli Majlis Tertinggi UMNO
- 1982-1988: Pengerusi UMNO Kepala Batas
- 1984-1996: Naib Presiden UMNO
- 1998-2004: Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pulau Pinang
- 1999: Memikul tanggungjawab Timbalan Presiden UMNO
- 2000: Timbalan Presiden UMNO
- 2003-2009: Presiden UMNO & Pengerusi Barisan Nasional
Wakil Rakyat:
- 1978-2008: Ahli Parlimen Kepala Batas
Lain-Lain Jawatan:
- Pengerusi UNESCO Malaysia
- Pengerusi Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara
- Pengerusi Majlis Tindakan Islam Nasional
- Pengerusi OIC
- Pengarah Majlis Gerakan Negara
- Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara
- Penasihat Malaysia Airlines
- Penasihat Pembangunan Koridor Negara
- Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia
- Canselor Universiti Teknologi Petronas
- Penasihat Petronas
Sumbangan & Jasa
Berikut adalah antara sumbangan dan jasa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan:
Ekonomi:
Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan lima Koridor Ekonomi Malaysia iaitu:
- Iskandar Malaysia,
- Koridor Wilayah Ekonomi Utara,
- Koridor Pantai Timur,
- Koridor Pembangunan Sabah, dan
- Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak.
Koridor-koridor ekonomi ini diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dengan matlamat untuk merangsang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di kelima-lima wilayah utama negara.
Membanteras Rasuah:
Beliau telah menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk menangani gejala rasuah dalam sektor awam dan juga sektor swasta.
Pembangunan Modal Insan:
Tun Abdullah telah melancarkan Pelan Integriti Nasional dan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bertujuan memupuk nilai integriti dan membentuk masyarakat Malaysia yang beretika.
Beliau juga memperkenalkan konsep Islam Hadhari sebagai satu dasar kebangsaan yang menumpukan kepada pembangunan menyeluruh masyarakat dan peningkatan kualiti hidup, melalui penguasaan ilmu dalam semua bidang serta pembangunan modal insan. Sebanyak 10 strategi utama telah digariskan sebagai panduan untuk merealisasikan matlamat Islam Hadhari.
Penglibatan NGO / Awam
Selepas bersara sebagai Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi aktif dalam NGO dan institusi Islam. Beliau pernah menjadi Pengerusi IKIM dan penaung kepada Institut Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) yang ditubuhkannya pada 2009 untuk memperkukuh pendidikan Islam.
Tun Abdullah juga merupakan penaung pengasas Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi negara-negara Islam. Di peringkat nasional, beliau menjadi penasihat pembangunan koridor dan Malaysia Airlines.
Manakala di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai InterAction Council, BOAO Forum untuk Asia, mengetuai Kumpulan Tokoh-Tokoh Komanwel (2010–2011), serta menjadi pengasas Asian Peace and Reconciliation Council (APRC).
Fakta Menarik Tentang Tun Abdullah Ahmad Badawi
- Tun Abdullah berasal daripada keturunan keluarga ulama terkenal di Pulau Pinang.
- Beliau sangat gemar memancing ikan ketika zaman kanak-kanak.
- Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
- Beliau meminati model kereta-kereta klasik seperti classic Mini Cooper, Alfa Romeo, the 1960 Mercedes-Benz 190SL, dan black Morris Minor.
- Tun Abdullah memiliki jiwa puitis dan pandai menulis puisi.
Kesimpulannya, pemergian Tun Abdullah merupakan kehilangan besar kepada negara. Sumbangan beliau dalam memperkukuh nilai integriti dan kesederhanaan dalam pentadbiran akan terus dikenang oleh rakyat Malaysia.
Sumber: