CARA TUKAR ALAMAT / TEMPAT MENGUNDI SPR ONLINE / MANUAL MELALUI PORTAL MYSPR
PRU 15 bakal diadakan tidak lama lagi. Sudahkan anda membuat semakan tempat mengundi? Atau adakah anda ingin tukar tempat mengundi?
Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya, seseorang pengundi boleh menukar alamat dalam daftar pemilih SPR mengikut alamat terkini dalam kad pengenalan.
Mereka boleh berurusan dengan semua Pusat Pendaftaran dan Penolong Pendaftar Pemilih yang dibenarkan oleh SPR untuk membuat pendaftaran tukar alamat atau membuat permohonan secara atas talian.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang cara tukar tempat mengundi untuk makluman bersama.
Bolehkah Pengundi Memohon Pertukaran Tempat Mengundi SPR?
Mengikut Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan jika seseorang pemilih berdaftar tidak membuat apa-apa permohonan untuk bertukar pusat mengundi, namanya tetap kekal disenaraikan di alamat asal tempat dia mendaftar sebagai pemilih walaupun pada hakikatnya dia telah pun menukar alamatnya dalam Kad Pengenalan di tempat baru.
Peraturan 12(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 pula menetapkan bahawa SPR hanya boleh menukar alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar jika pemilih berkenaan memohon pertukaran dan telah mengisi Borang A yang ditetapkan di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Cara Mohon Tukar Alamat Tempat Mengundi
i) Permohonan Tukar Alamat Tempat Mengundi Secara Manual
Pemilih boleh hadir di mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Menara SPR, Putrajaya dengan membawa kad pengenalan.
Selain hadir ke Pejabat SPR, anda juga boleh membuat kemaskini alamat SPR melalui Pejabat Pos.
Dalam perkongsian seorang pengguna di Facebook, beliau dan suami telah berjaya tukar tempat mengundi di Pejabat Pos sahaja. Mudah kan?
ii) Permohonan Tukar Alamat Mengundi SPR Online
Pemilih boleh membuat permohonan bertukar alamat mengundi melalui dalam talian di https://myspr.spr.gov.my
Langkah-langkah pertukaran adalah seperti berikut:
PERTUKARAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA / PERTUKARAN STATUS
- Sila layari pautan https://myspr.spr.gov.my/login
- Log masuk ke Akaun MySPR anda dengan mengisi No Kad Pengenalan, Kata Laluan dan CAPTCHA.
- Klik Borang A (Pertukaran Bahagian Pilihan Raya / Pertukaran Status) dengan mengisi borang yang disediakan.
- Pilih KATEGORI PEMILIH di Bahagian 1.
- Isikan ALAMAT LENGKAP SEPERTI DALAM KAD PENGENALAN / ALAMAT TEMPAT BERTUGAS / ALAMAT TEMPAT BERTUGAS PASANGAN dan maklumat yang dikehendaki.
- Muat naik GAMBAR DEPAN MyKad dan GAMBAR SWAFOTO bersama MYKAD berkenaan.
- Semak maklumat yang telah diisi dan klik HANTAR. Satu notifikasi MOHON TAC akan dipaparkan. Anda diminta untuk klik MOHON TAC.
- Anda akan menerima no TAC melalui e-mel dan SMS. Masukkan no TAC dan klik HANTAR.
- Anda akan menerima notifikasi “Borang A TELAH DITERIMA DAN SEDANG DISEMAK UNTUK KELULUSAN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia” melalui e-mel.
Berikut adalah contoh paparan notifikasi yang akan diterima melalui e-mel yang didaftarkan.
PERMOHONAN PERTUKARAN ALAMAT DI MYKAD
Pengemaskinian alamat pada MyKad boleh dilakukan dengan hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran dan membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.
- Pemohon boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran untuk memohon pertukaran alamat pada MyKAD
- Pemohon perlu membawa dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti / cukai taksiran / borang taksiran cukai pendapatan.
- Pemohon juga boleh menggunakan perjanjuan jual beli rumah / perjanjian / resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon.
- Pemohon adalah diingatkan untuk membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.
*Sekiranya pemohon tidak mempunyai dokumen yang dinyatakan di atas, pemohon perlu mendapatkan dokumen sokongan dari Ketua Kampung / Tuai Rumah / Penghulu / ADUN / Ahli Parlimen / Majikan atau dokumen lain yang boleh membuktikan alamat terkini mereka.
Sila rujuk makluman dari JPN yang terkini dalam infografik di atas.
NOTA:
Prosedur perubahan alamat adalah sama seperti pendaftaran baharu.
Pemilih perlu menunggu sehingga diwartakan untuk bertukar tempat mengundi.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk :
Menara SPR
No.2, Jalan P2T, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 PUTRAJAYATel : +603 8892 7200
Faks : +603 8892 7001
Email : [email protected]
Pautan soalan lazim : https://www.spr.gov.my/ms/pilihan-raya/soalan-lazim/pendaftaran-pertukaran-alamat-dan-maklumat-dalam-daftar-pemilih
Baca juga: