Trip Ke Hatyai: Cadangan Itinerari 4 Hari 3 Malam
Hatyai menawarkan pengalaman percutian yang unik dan menyeronokkan untuk semua lapisan masyarakat. Ada sesuatu yang membezakan Hatyai daripada destinasi lain (seperti Bangkok), namun ia sukar diungkapkan dengan kata-kata; hanya dapat dirasai sendiri.
Daripada segi penginapan, pengangkutan, tempat menarik, hingga ke makanan, Hatyai tidak perlu diragukan lagi. Dengan harga yang rendah dan mampu milik, anda tidak akan ragu-ragu untuk mencuba semuanya!
Bagi sesiapa yang sedang merancang trip ke Hatyai, berikut adalah panduan lengkap untuk membantu anda menikmati percutian yang terbaik di bandar ini.
Jom baca!
BACA JUGA: 10 Tempat Menarik Di Bangkok yang Wajib Dikunjungi
Mengapa Pilih Hatyai Sebagai Destinasi Percutian?
Hatyai terkenal sebagai destinasi murah untuk membeli-belah, syurga makanan serta menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur. Tidak hairanlah destinasi ini sangat popular dalam kalangan pelancong tidak kira dari Asia mahupun Barat.
Bandar ini boleh diakses melalui udara, jalan darat dengan menaiki bas, kereta sendiri mahupun kereta api. Ini menjadikannya pilihan destinasi percutian ideal bagi pelancong dari Malaysia.
Lebih menarik lagi, Hatyai juga menawarkan banyak kemudahan untuk pelancong Muslim seperti restoran halal, kemudahan surau dan juga hotel mesra Muslim.
Persiapan Sebelum Mulakan Perjalanan
Sebelum memulakan perjalanan dan trip ke Hatyai, ada beberapa persiapan yang perlu anda buat bagi memastikan trip ke Hatyai anda berjalan lancar.
1. Dokumen Penting
Pastikan pasport anda masih sah sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh perjalanan. Untuk rakyat Malaysia, visa tidak diperlukan jika percutian anda di Thailand kurang dari 30 hari.
2. Pengangkutan
Anda boleh memilih untuk menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Hatyai, dengan masa penerbangan sekitar 1 jam 15 minit. Penerbangan murah dari syarikat penerbangan seperti AirAsia atau Malindo Air adalah pilihan popular.
Selain itu, anda juga boleh memilih untuk memandu sendiri, menaiki bas atau kereta api. Jika anda memilih untuk memandu, pastikan anda mempunyai insurans kenderaan yang sah untuk perjalanan antarabangsa.
Bagi yang memilih pengangkutan awam, bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Hat Yai mengambil masa sekitar 8 jam, manakala perjalanan kereta api dari Padang Besar ke Hat Yai hanya mengambil masa kira-kira 1 jam.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh baca artikel berikut:
- Panduan Naik Bas Ke Hatyai Dari TBS / Hentian Duta KL
- Panduan Naik Train Ke Hatyai Untuk First Timer
- Hatyai Van – Harga & Cara Sewa Van di Hatyai 2024
3. Tukar Mata Wang
Mata wang rasmi Thailand adalah Baht (THB). Sebaiknya anda menukar mata wang di Malaysia sebelum bertolak kerana kadar pertukaran lebih baik berbanding di Hatyai. Namun, jika anda tidak sempat, jangan risau, ada banyak tempat pertukaran wang di bandar Hatyai.
Trip Ke Hatyai: Cadangan Itinerari 4 Hari 3 Malam
Berikut adalah cadangan itinerari 4 hari 3 malam trip ke Hatyai dengan menggunakan pengangkutan awam. Perkongsian ini adalah berdasarkan info terkini (2024) dan kemungkinan ada perubahan dari segi tambang dan waktu pengangkutan awam beroperasi dari masa ke semasa.
Hari 1: KL Sentral > Padang Besar > Hatyai
Mulakan perjalanan anda dari KL Sentral ke Padang Besar dengan menggunakan ETS. Perjalanan ini biasanya mengambil masa sekitar 5 setengah jam. Sebaiknya bergerak pada awal pagi untuk memastikan anda tiba di Hatyai sebelum malam.
Kemudian, dari Padang Besar ke Hatyai, anda boleh menaiki van atau kereta api SRT. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja.
Info tambahan:
Perkhidmatan van disediakan oleh Pens Leisure and Services Sdn Bhd, yang beroperasi di KTM Padang Besar.
Perjalanan menaiki van biasanya lebih cepat berbanding kereta api kerana tidak perlu menunggu jadual perjalanan tertentu. Dari segi kos, tambang van adalah sekitar RM 30 seorang, dan setiap van boleh memuatkan sehingga 10 orang penumpang.
Kereta api SRT menawarkan dua jadual perjalanan setiap hari dari Padang Besar ke Hatyai, iaitu pada pukul 10:15 pagi waktu Thailand (11:15 pagi waktu Malaysia) dan 3:40 petang waktu Thailand (4:40 petang waktu Malaysia).
Harga tiket untuk kereta api sekitar 50 baht, iaitu lebih kurang RM 7. Lebih murah daripada van. Tapi anda kena tunggu jadual.
Sekiranya anda tiba di Padang Besar pada waktu tengahari anda mungkin perlu menunggu hingga petang untuk jadual kereta api seterusnya.
Check-in Hotel
Sebaik sahaja tiba di Hatyai, anda boleh terus check-in hotel dan luangkan masa untuk berehat sebentar sebelum meneroka lokasi seterusnya. Salah satu pilihan hotel yang strategik ialah Centara Hotel. Hotel ini terletak di hadapan Lee Garden Plaza sahaja. Memang mudah nak pergi mana-mana.
Ada banyak hotel kawasan ini, anda boleh cari dan tempah segera. Kalau lambat, memang penuh. Boleh tengok sini pilihan hotel murah di Hatyai: Senarai Hotel Murah Di Hatyai – Harga Bawah RM200!
Lee Garden Night Market
Tempat menarik di Hatyai yang pertama untuk dikunjungi ialah Lee Garden Night Market. Turun sahaja dari Centara Hotel, anda hanya perlu berjalan beberapa langkah sahaja untuk sampai ke sini.
Lee Garden Plaza adalah antara hotspot di Hatyai yang sangat popular. Ia merupakan salah satu pasar malam yang wajib anda kunjungi apabila bercuti di Hatyai.
Sudah puas menjelajah seluruh pasar ini, tibalah masa untuk balik ke hotel dan berehat dan topup tenaga untuk hari esok pula.
Lee Garden Plaza beroperasi dari pukul 5 petang sehingga 12 malam.
Hari 2: Meneroka Tarikan Tempatan
Restoran Al-Rahman
Pagi-pagi anda boleh isi perut dengan bersarapan di Restoran Al-Rahman atau restoran berhampiran tempat penginapan anda. Untuk senarai restoran halal dan viral di Hatyai, boleh tengok sini: Makanan Hatyai – Pilihan Restoran Halal, Sedap, dan Murah!
Centara Hotel ke Restoran Al Rahman hanya mengambil masa 4 minit berjalan kaki sahaja.
Hatyai Municipal Park
Selesai sarapan, lokasi seterusnya ialah Hat Yai Municipal Park. Taman ini merupakan salah satu tarikan utama di Hatyai. Di sini, anda boleh melawat patung Buddha besar, menikmati pemandangan indah bandar, atau menaiki kereta kabel ke puncak bukit.
Dari Restoran Al-Rahman ke Hatyai Municipal Park ia mengambil masa kurang daripada 20 minit.
Chang Puak Camp
Terletak lebih kurang 10 minit sahaja dari Hatyai Municipal Park, terdapat satu tempat tarikan yang juga cukup popular di Hatyai iaitu, Chang Puak Camp. Di sini, anda berpeluang untuk melihat dan berinteraksi dengan gajah termasuk memberi makan secara dekat.
Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini seperti bermain ATV, melihat persembahan buaya, bermain permainan tembak-tembak, dan sebagainya.
Khlong Hae Halal Seafood Buffet
Untuk makan tengah hari, anda boleh singgah di Khlong Hae Halal Seafood Buffet. Restoran ini menawarkan pelbagai buffet makanan laut halal dengan pelbagai pilihan seperti udang, ketam, ikan, lokan dan sebagainya.
Khlong Hae Floating Market
Selepas makan tengah hari, anda boleh teruskan food hunting di Khlong Hae Floating Market yang terletak berdekatan sahaja dengan restoran Khlong Hae Halal Seafood Buffet. Kira-kira dalam 10 minit naik kereta dan kurang 20 minit berjalan kaki.
Rujuk artikel ini untuk pilihan makanan halal, sedap dan wajib cuba! >> 15+ Makanan Halal di Hatyai Floating Market
Asean Night Bazaar
Malamnya pula, singgah ke Asean Night Bazaar. Ia merupakan sebuah pasar malam popular yang menawarkan pelbagai jenis makanan tempatan Thailand yang sedap, murah dan paling penting, mostly halal.
Antara makanan yang wajib cuba ialah kerabu maggi, pulut mangga, makanan laut goreng, oyster (pastikan segar nanti sakit perut pula), dan sebagainya.
Ada juga barangan seperti pakaian, aksesori, dan cenderahati dijual di sini. Macam-macam pilihan ada. Gunakanlah kemahiran menawar anda sebaik mungkin okay.
Dari Centara Hotel ke Asean Night Bazaar, lebih kurang 10 minit sahaja perjalanan menaiki kenderaan (Grab). Jadi, nak balik hotel dekat sahaja.
Hari 3: Aktiviti Santai & Membeli Belah
Bang Han Halal Restaurant
Mulakan pagi anda dengan bersarapan di Restoran Halal Bang Han. Restoran ini cukup popular jadi pastikan anda datang awal.
Terdapat pelbagai jenis menu yang ditawarkan di sini, antaranya ialah Dimsum, Nasi Kerabu, Roti Canai, Roti Pisang Nutella, Gyoza, Pau Salted Egg, Mee Celup, pad kra pao dan macam-macam lagi!
Magic Eye 3D Museum
Magic Eye 3d Museum ini terletak lebih kurang 12 minit sahaja dari Restoran Bang Han. Di muzium ini, anda boleh bergambar dengan ilusi optik yang menarik. Terdapat lebih daripada 100 lukisan dan mural 3D yang anda boleh saksikan di sini.
Muzium ini juga mempunyai kafe untuk pengunjung berehat dan mengisi perut. Terdapat juga pertunjukan silap mata yang boleh ditonton dengan bayaran tambahan.
Central Festival Hatyai
Central Festival Hatyai adalah hab membeli-belah terbesar di bandar ini. Terdapat lebih daripada 250 kedai yang menjual barangan berjenama, dari fesyen hingga elektronik. Anda boleh menemui pelbagai produk antarabangsa dan tempatan di sini.
Di samping itu, pusat membeli-belah ini juga mempunyai pelbagai pilihan restoran yang menawarkan makanan tempatan dan antarabangsa. Anda boleh singgah makan tengah hari di sini. Nak food hunting dekat sini pun boleh!
Dari Magic Eye 3D Museum ke sini, mengambil masa lebih kurang 15-20 minit bergantung trafik.
Greenway Night Market
Lebih kurang 10 minit daripada Central Festival Hatyai, terdapat satu lagi pasar malam yang tidak kurang popularnya dalam kalangan pelancong mahupun penduduk tempatan, iaitu Greenway Night Market.
Untuk pengetahuan anda, pasar ini mempunyai lebih daripada 1,000 gerai yang menjual pelbagai jenis barangan, termasuk makanan, pakaian, aksesori, barang kraftangan dan pelbagai lagi.
>> Aktiviti Pilihan Tambahan: Spa Massage
Sekiranya ada masa terluang, anda boleh cuba urutan Thai di mana-mana spa tempatan. Antara Spa yang popular ialah Baan Iyara Massage & Cafe. Selain bersih, spa ni pun muslim friendly juga.
Hari 4: Aktiviti Ringkas & Pulang
Kim Yong Market
Di hari terakhir ini, jangan lupa singgah di Pasar Kim Yong. Pasar ini terletak berdekatan sahaja dengan Centara Hotel atau kawasan Lee Garden Plaza, lebih kurang 5 minit berjalan kaki.
Pasar ini terkenal dengan pelbagai jenis barangan, termasuk makanan segar, pakaian, aksesori, dan produk tempatan. Anda boleh menemui buah-buahan tropika yang segar dan snek unik yang sukar didapati di tempat lain.
Bersiap pulang
Selepas check-out hotel, anda boleh terus ke Hat Yai Bus Terminal atau stesen van untuk menaiki k van atau bas ke Padang Besar.
Jika anda memilih untuk menaiki kereta api, anda perlu pergi ke stesen kereta api di Hat Yai. Namun, waktu perjalanan mungkin terhad kepada waktu tertentu bergantung pada jadual kereta api.
Setelah tiba di Padang Besar, anda akan melalui proses imigresen sebelum meneruskan perjalanan dengan ETS ke Kuala Lumpur.
Selamat tinggal Hatyai!
Kesimpulan
Dengan perancangan yang teliti, anda pasti akan menikmati percutian yang menyeronokkan dan bermakna di bandar ini.
Semoga cadangan itinerari trip ke Hatyai menggunakan pengangkutan awam yang dikongsikan di atas dapat membantu anda merancang percutian ke Hatyai dengan lebih mudah.
BACA JUGA: