Apa Itu Tepung Sagu, Kegunaan dan Manfaatnya Pada Kesihatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Pernahkah anda mendengar tentang tepung sagu? Ia merupakan antara tepung yang menjadi pilihan ramai masyarakat Asia Tenggara dan mempunyai banyak kegunaannya.

Tepung ini dihasilkan daripada isi pokok sagu. Secara lebih spesifik, bahagian tengah pokok sagu akan dikisar dan direndam. Sagu yang mendap ini kemudiannya akan dikeringkan dan dijadikan tepung.

Selain dijumpai dalam bentuk tepung, sagu juga cukup popular di pasaran dalam bentuk bijian berwarna putih.

Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai Sago.

tepung sagu
Sumber : Vermont Public

Selain tidak mempunyai rasa, tekstur tepung dan biji sagu turut dikatakan menyamai tepung ubi iaitu liat dan kenyal.

Seperti tepung ubi dan tepung kentang, tepung sagu turut dikategorikan sebagai tepung yang bebas gluten.  

Kegunaan

Sebagai Pemekat Adunan

Tepung ini terkenal sebagai ejen pemekat adunan. Sebagai contoh, ia merupakan salah satu ramuan penting bagi memadatkan adunan keropok lekor, keropok ikan, bubur dan lempeng.

Meskipun kita tahu terdapat pelbagai kuih yang menggunakan biji sagu, namun terdapat juga beberapa makanan tradisional yang dihasilkan menggunakan tepungnya seperti ambuyat, kuih kaswi dan kuih bangkit.

Dalam Industri Tekstil dan Plastik

Di samping menjadi bahan wajib di dapur, tepung ini juga memiliki fungsi yang pelbagai dalam industri tekstil.

Kanji daripada sagu sering digunakan untuk memproses serat di dalam fabrik. Pada masa yang sama, sesetengah plastik yang terbiodegradasikan (biodegradable) juga diperbuat daripada tepung ini.

Kandungan Nutrisi dan Manfaat Untuk Kesihatan

Seperti kebanyakan tepung putih lain, sagu juga tergolong sebagai salah satu sumber karbohidrat kompleks.

Ia mengandungi protein, lemak dan serat dalam jumlah yang sedikit.

100 gram tepung sagu mampu membekalkan nutrisi seperti berikut :

  • Kalori : 355
  • Protein : 0.2
  • Lemak : 0.2
  • Zink : 11% daripada keperluan harian
  • Indeks Glisemik : < 55

Memetik Healthline, tepung ini dilihat berpotensi dalam memberikan manfaat kepada tubuh seperti berikut :

Tinggi Kandungan Zink

Seperti yang dikongsikan, 100 gram tepung sagu boleh membekalkan sehingga 11% keperluan zink harian untuk tubuh.

Mineral ini memainkan peranan penting dalam tumbesaran kanak-kanak di samping dapat mempercepat pemulihan luka serta menggalakkan sistem imuniti yang sihat.

Sumber Antioksidan Yang Baik

Sebuah kajian tabung uji mendapati sagu kaya dengan antioksidan iaitu flavonoid yang berperanan dalam meningkatkan ketahanan tubuh, mencegah keradangan serta masalah kesihatan berkaitan jantung.

Satu kajian terhadap tikus makmal turut mendapati diet yang tinggi kandungan sagu berpotensi dalam mencegah penyakit berkaitan salur jantung termasuk kolesterol tinggi.  

Tepung Sagu Boleh Diganti Dengan Apa?

Dalam kebanyakan resepi, tepung sagu boleh digantikan dengan tepung ubi kayu kerana ia mempunyai tekstur yang hampir sama.

Ia juga tidak menambah sebarang rasa ke dalam masakan atau adunan, namun ia memberikan tekstur yang unik.

Tepung yang mempunyai banyak kegunaan ini mampu memberikan tekstur yang menarik dalam hidangan.

Ia juga boleh menjadi pengganti tepung yang sesuai kepada pesakit celiac dan individu yang mengamalkan diet bebas gluten.

Meskipun begitu, ia masih merupakan sumber karbohidrat yang perlu diambil secara berpada-pada.

Tambahan pula, tepung ini tidak mempunyai kandungan vitamin dan mineral yang tinggi kecuali zink.

Sumber : Healthline, expatliving.sg

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut