Phuket merupakan salah satu destinasi yang menjadi pilihan ramai pelancong dari serata dunia.
Ia menjadi kegemaran ramai dek kerana keramahan penduduknya, makanan tempatan yang sedap, banyak pilihan tempat penginapan, akses yang mudah dan paling utama, semuanya murah-murah!
Bukan itu sahaja, ia juga menawarkan banyak tarikan yang boleh dikunjungi dan lokasinya yang mesra pelancong. Yang pasti, selama berada di Phuket, anda tidak akan mengalami hari yang membosankan.
Artikel ini akan membawa anda meneroka lebih daripada 20 tempat menarik di Phuket yang wajib dikunjungi. Mari kita mulakan.
BACA JUGA: KidZania Malaysia: Tarikan Utama & Aktiviti Menarik Untuk Si Kecil!
Phuket, Thailand
Phuket adalah pulau terbesar di Thailand dan terkenal dengan pantainya yang memukau, kehidupan malam yang meriah dan kaya dengan budaya dan sejarah.
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di Phuket yang menjanjikan keseronokan dan kepuasan. Di sini juga merupakan syurga membeli-belah dan lokasi ‘food hunting’ yang ideal.
Ia sesuai untuk dilawati oleh semua peringkat umur sama ada bersama keluarga, rakan-rakan mahupun secara solo.
20+ Tempat Menarik Di Phuket
1. Pantai Patong
Pantai Patong adalah salah satu pantai paling popular di Phuket. Ia bukan sahaja menawarkan keindahan alam tetapi juga pengalaman yang meriah dan pelbagai aktiviti, menjadikannya pilihan utama bagi pelancong yang melawat Phuket.
Dengan pasir putih yang lembut dan air laut yang biru jernih, Patong menjadi tumpuan utama bagi pengunjung yang ingin berjemur, berenang, atau menikmati sukan air seperti jet ski dan parasailing.
Selain itu, kawasan sekitar Pantai Patong juga menawarkan kehidupan malam yang meriah dengan pelbagai bar, kelab malam dan restoran.
Terdapat juga beberapa tarikan menarik berdekatan pantai ini seperti Wat Chalong, Big Buddha dan pulau Phi Phi.
2. Wat Chalong
Terletak hanya 30 minit daripada Pantai Pantong, terdapat sebuah kuil Buddha yang terbesar dan terpenting di Phuket, iaitu Wat Chalong.
Kuil ini menarik ribuan pengunjung setiap tahun yang datang untuk bersembahyang dan melihat seni bina yang mengagumkan.
Wat Chalong juga merupakan pusat budaya dan agama yang penting, di mana pengunjung boleh mempelajari lebih lanjut tentang ajaran Buddha dan sekaligus mengimbau kembali sejarah kuil ini.
3. Phuket Big Buddha
Kira-kira 16 minit menaiki kereta dari Wat Chalong, anda boleh sampai ke Phuket Big Buddha atau Phra Phutta Ming Mongkol Eknakiri. Ia juga merupakan salah satu monumen ikonik di Phuket, Thailand.
Terletak di atas bukit Nakkerd, patung Buddha gergasi setinggi 45 meter boleh dilihat dari banyak tempat di pulau ini.
Terletak di puncak Nakkerd Hill, antara Chalong dan Karon, Big Buddha menawarkan pemandangan yang menakjubkan ke arah Ao Chalong Bay dan kawasan sekitarnya.
Selain patung itu sendiri, pengunjung juga dapat menikmati suasana tenang di sekelilingnya.
Pada masa tertentu, anda juga boleh menyaksikan nyanyian ataupun upacara keagamaan yang berlangsung di kawasan kuil ini.
Jom tempah pakej lawatan ke Phuket bersama KLOOK. Anda berpeluang berkunjung ke Big Buddha, serta beberapa tarikan utama di Phuket mengikut bajet anda!
Klook.com4. Pulau Phi Phi
Pulau Phi Phi adalah sekumpulan pulau yang terletak di Thailand, di antara pulau Phuket dan pesisir Selat Melaka.
Pulau-pulau ini terkenal dengan keindahan alamnya yang menakjubkan, pantai berpasir putih dan air laut yang jernih. Ia adalah destinasi wajib bagi penyelam dan pencinta alam.
Terdapat enam pulau dalam kumpulan ini, tetapi dua yang paling terkenal adalah Ko Phi Phi Don dan Ko Phi Phi Leh.
Ko Phi Phi Don adalah pulau terbesar dan satu-satunya yang mempunyai penduduk tetap, sementara Ko Phi Phi Leh terkenal dengan keindahan alamnya dan menjadi lokasi penggambaran filem The Beach yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
Pulau Phi Phi boleh diakses dengan feri atau bot cepat dari Phuket dan Krabi, dengan perjalanan yang mengambil masa antara 45 minit hingga 2 jam.
Sekiranya anda ingin bermalam, anda boleh pilih pelbagai pilihan penginapan disini, dari resort mewah sehinggalah hostel bajet.
5. Taman Negara Sirinat
Taman Negara Sirinat terletak di bahagian barat laut Phuket, meliputi kawasan pantai dan hutan bakau. Taman ini menawarkan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan dan pelbagai jenis flora dan fauna.
Salah satu tarikan utama di Taman Negara Sirinat adalah pantainya yang menakjubkan. Pantai Nai Yang, Pantai Nai Thon, dan Pantai Mai Khao adalah antara pantai yang terdapat di taman ini.
Setiap pantai menawarkan pasir putih yang lembut dan air laut yang jernih, menjadikannya tempat yang ideal untuk pelbagai aktiviti rekreasi seperti berenang, berjemur dan bersantai.
6. Phuket Old Town
Phuket Old Town adalah kawasan bersejarah yang penuh dengan bangunan-bangunan berwarna-warni dan seni bina Sino-Portugis.
Jalan-jalan di sini dipenuhi dengan kedai-kedai antik, kafe hipster dan galeri seni. Setiap sudut di Phuket Old Town mempunyai cerita dan sejarah tersendiri, menjadikannya tempat yang ideal untuk berjalan-jalan sambil menikmati keindahan budaya dan warisan tempatan.
Bukan itu sahaja, Phuket Old Town juga adalah syurga bagi pencinta makanan.
Daripada kedai makan jalanan sehinggalah restoran mewah, kawasan ini menawarkan pelbagai hidangan yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Phuket. Antara makanan yang mesti dicuba termasuk mee Hokkien, roti canai, dan kuih-muih tradisional Thailand.
7. Pulau James Bond
Pulau James Bond, atau Koh Tapu, mendapat nama selepas menjadi lokasi penggambaran filem James Bond “The Man with the Golden Gun”.
Keindahan alam semula jadi dan formasi batu kapur yang unik menjadikan pulau ini tarikan wajib bagi pelancong yang melawat kawasan ini.
Pulau James Bond juga adalah salah satu destinasi yang sangat fotogenik. Banyak sudut menarik untuk mengambil gambar, terutama Ko Tapu yang ikonik. Jangan lupa bawa kamera anda!
Kebanyakan pelancong melawat Pulau James Bond sebagai sebahagian daripada lawatan sehari dari Phuket atau Krabi.
Lawatan ini biasanya termasuk perjalanan dengan bot melalui Teluk Phang Nga, dengan perhentian di beberapa pulau dan gua menarik di sekitar kawasan tersebut.
8. Phuket Fantasea
Phuket Fantasea adalah taman tema yang menakjubkan yang menawarkan pertunjukan budaya yang spektakuler.
Di sini, anda boleh menikmati persembahan yang menggabungkan elemen-elemen tradisional Thai dengan teknologi moden, termasuk pertunjukan gajah, akrobatik, dan seni persembahan yang mengagumkan.
Pertunjukan utama biasanya bermula pada waktu malam, jadi pengunjung disarankan untuk tiba pada lewat petang untuk menikmati semua tarikan sebelum pertunjukan bermula.
9. Taman Tema Splash Jungle
Taman Tema Splash Jungle adalah taman air terbesar di Phuket, menawarkan pelbagai jenis permainan air yang sesuai untuk seisi keluarga.
Taman ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 5.45 petang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk gerai makanan yang menyajikan pelbagai pilihan makanan seperti pizza, salad dan burger.
Taman ini terletak berdekatan dengan Splash Beach Resort, yang menawarkan akses istimewa dan diskaun kepada pengunjung yang menginap di resort tersebut.
Ini menjadikannya pilihan yang popular bagi mereka yang mencari penginapan dan aktiviti dalam satu lokasi.
10. Promthep Cape
Promthep Cape adalah salah satu tempat yang paling popular untuk menikmati pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan di Phuket.
Terletak di bahagian selatan pulau, Promthep Cape juga menawarkan pemandangan laut yang luas dan formasi batu yang dramatik. Ia adalah tempat yang ideal untuk mengambil gambar dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Ia dibuka 24 jam sehari dan tidak mengenakan bayaran masuk. Pengunjung boleh mengakses lokasi ini dengan kereta atau motor.
11. Pantai Ra Wai
Terletak kira-kira 2 kilometer dari Promthep Cape, Pantai Ra Wai menawarkan suasana yang lebih santai berbanding pantai-pantai yang lain di Phuket. Ini menjadikannya destinasi yang ideal untuk bersantai dan menikmati pemandangan laut.
Pantai Ra Wai juga terkenal dengan aktiviti kehidupan tempatan yang aktif, termasuk pasar makanan laut yang menawarkan pelbagai pilihan makanan segar. Pengunjung boleh membeli hasil laut dan meminta restoran berdekatan untuk memasaknya.
12. Koh Bon dan Koh Hae (Coral Island)
Koh Bon dan Koh Hae (juga dikenali sebagai Coral Island) adalah dua pulau kecil yang tidak boleh dilepaskan.
Pulau-pulau ini kaya dengan terumbu karang dan kehidupan marin, menjadikannya tempat yang popular untuk pelancong yang ingin meneroka keindahan bawah laut.
Koh Bon terletak sekitar 8 kilometer dari Pantai Rawai dan boleh diakses dalam masa kira-kira 20 hingga 30 minit dengan bot panjang (longtail boat) dari pantai tersebut.
Pulau ini menawarkan suasana yang tenang dan pemandangan yang indah. Pengunjung boleh menikmati aktiviti seperti berenang, snorkeling dan bersantai di pantai yang tidak sesak.
Koh Hae pula terletak berdekatan dengan Koh Bon dan juga boleh dicapai dalam masa yang sama dengan bot panjang dari Pantai Rawai. Di sini, anda boleh melakukan aktiviti snorkeling dan menyelam.
Kedua-dua Koh Bon dan Koh Hae menawarkan pengalaman yang unik dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan dan aktiviti luar yang menyeronokkan.
13. Pantai Kata
Pantai Kata adalah satu lagi pantai yang terkenal di Phuket. Dengan pantai yang luas dan ombak yang tenang, Pantai Kata juga pilihan pantai yang menarik untuk dikunjungi.
Kawasan ini juga menawarkan pelbagai restoran dan kafe yang menyajikan makanan laut segar dan hidangan Thai yang lazat.
Pantai Kata terletak berdekatan dengan Pantai Kata Noi, yang juga menawarkan keindahan yang serupa.
14. Pantai Kamala
Pantai Kamala terkenal dengan pasir putih yang lembut dan air laut yang jernih. Terdapat juga beberapa resort dan restoran mewah di sekitar kawasan ini.
Pantai ini juga dikelilingi oleh pemandangan semula jadi yang indah dengan bukit-bukit hijau yang menambah keasyikan suasana pantai.
Air lautnya yang biru dan jernih sangat sesuai untuk aktiviti berenang dan snorkeling. Pasir putihnya yang halus menjadikan pantai ini tempat yang sesuai untuk berjemur dan bersantai.
15. Akuarium Phuket
Aquaria Phuket adalah akuarium terbesar di Thailand, terletak di bawah Central Phuket Floresta di tengah-tengah Kota Phuket.
Akuarium ini bukan sahaja menawarkan pengalaman pendidikan yang mendalam tentang kehidupan laut, tetapi juga memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat pelbagai spesies marin dari dekat.
Ia juga menawarkan pertunjukan harian, termasuk pertunjukan puteri duyung dan balet bawah air, yang berlangsung dua kali sehari kecuali pada hari Isnin.
Terdapat juga Muzium Trick Eye yang menampilkan ilusi optik untuk pengalaman visual yang unik.
16. Pantai Surin
Pantai Surin adalah destinasi mewah yang sering dikunjungi oleh selebriti dan pelancong berprofil tinggi.
Pantai ini menawarkan pasir putih yang lembut dan air laut yang biru jernih. Kawasan ini juga dipenuhi dengan resort mewah, restoran, dan kedai-kedai butik.
Pantai Surin juga menawarkan pelbagai aktiviti sukan pantai seperti bola tampar, frisbee, dan sepak takraw.
Anda boleh menikmati makanan laut segar yang disediakan dengan cara tradisional Thailand di restoran makanan laut berhampiran pantai ini.
Hidangan seperti tom yum goong, ikan bakar dan udang goreng tepung adalah antara pilihan yang anda mesti cuba!
17. Phuket Bird Park
Taman burung ini menawarkan pelbagai spesies burung yang eksotik dan berwarna-warni dari seluruh dunia.
Di sini, anda boleh melihat burung-burung berwarna-warni dalam habitat semula jadi mereka dan menikmati pertunjukan burung yang menghiburkan.
Salah satu tarikan utama di Phuket Bird Park ialah pameran burung hidup yang diadakan beberapa kali sehari.
Pameran ini menampilkan burung-burung yang dilatih untuk melakukan pelbagai aksi dan helah yang mengagumkan.
Anda boleh melihat burung helang terbang dan menangkap makanan, burung kakak tua bercakap dan banyak lagi aksi menarik yang lain.
Bagi memudahkan percutian anda di Phuket, anda boleh menyewa kereta pilihan bersama KLOOK.
Klook.com18. Tiger Kingdom
Tiger Kingdom adalah tempat di mana anda boleh berinteraksi dengan harimau dalam persekitaran yang selamat. Di sini, anda boleh mengambil gambar dengan harimau dan mempelajari lebih lanjut tentang usaha pemuliharaan harimau.
Tiger Kingdom juga menawarkan lawatan berpandu yang dikendalikan oleh penjaga harimau berpengalaman.
Di sini juga, terdapat kafe yang menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman. Pengunjung boleh menikmati hidangan yang lazat sambil melihat pemandangan harimau di habitat mereka.
19. Simon Cabaret Show
Simon Cabaret Show adalah pertunjukan kabaret yang terkenal di Phuket. Dengan kostum yang berwarna-warni, tarian serta muzik yang menghiburkan, ia pasti memberikan pengalaman yang seronok kepada pengunjungnya.
Selepas persembahan, penonton berpeluang untuk berinteraksi dan bergambar dengan para penari. Ini adalah peluang yang menarik untuk merakam kenangan indah bersama para penari yang berbakat serta melihat lebih dekat kostum yang mereka gunakan.
20. Elephant Jungle Sanctuary
Elephant Jungle Sanctuary di Phuket, Thailand, adalah tempat perlindungan gajah yang menawarkan pengalaman unik dan mendalam untuk berinteraksi dengan gajah dalam persekitaran semula jadi mereka.
Tempat ini tidak hanya memberi peluang kepada pelancong untuk melihat gajah daripada dekat tetapi juga mendidik mereka tentang pemuliharaan dan perlindungan haiwan yang hebat ini.
Terdapat pelbagai pilihan pakej lawatan tersedia, termasuklah sesi memberi makan dan memandikan gajah. Setiap pakej termasuk makanan tradisional Thai, air minuman dan makanan untuk gajah.
21. Karon Viewpoint
Dari Karon Viewpoint, pengunjung dapat menikmati pemandangan yang memukau dari tiga pantai utama di Phuket: Kata Noi, Kata, dan Karon.
Pemandangan ini menawarkan kontras yang menarik antara pasir putih, laut biru dan kehijauan bukit-bukau. Ia adalah tempat yang ideal untuk fotografi, terutama semasa matahari terbenam.
Karon Viewpoint terletak di jalan utama yang menghubungkan Pantai Kata dan Pantai Nai Harn, menjadikannya mudah diakses oleh pelancong yang menggunakan kereta atau motosikal.
Terdapat kawasan parkir yang luas, memudahkan pengunjung untuk berhenti dan menikmati pemandangan.
22. Pasar Malam
Pasar malam dalah salah satu tarikan yang paling meriah dan menarik di pulau ini. Terkenal dengan suasana yang sibuk dan penuh warna, pasar malam di Phuket menawarkan pelbagai jenis barangan dan makanan jalanan yang lazat.
Pasar Malam Phuket adalah tempat yang sesuai untuk merasai budaya tempatan dan mencari cenderahati unik untuk dibawa pulang.
Pastikan untuk melawat salah satu pasar malam apabila anda berada di Phuket, Thailand, untuk pengalaman membeli-belah dan merasai makanan tempatan yang tidak dapat dilupakan.
Penutup
Phuket adalah destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai jenis aktiviti dan tempat menarik untuk semua jenis pengunjung.
Jadi, jika anda merancang untuk bercuti ke Thailand, pastikan anda masukkan Phuket dalam senarai perjalanan anda. Akhir kata, selamat bercuti!