Tema Maal Hijrah 2024 /1446H : Sambutan Peringkat Kebangsaan
Tema Maal Hijrah 2024 yang dipilih pada tahun ini adalah “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”.
Baca juga:
Apa itu Maal Hijrah?
Maal Hijrah adalah tahun Islam yang amat penting bagi orang Islam iaitu Awal Muharam. Ia amat penting kerana berlakunya peristiwa sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Koa Mekah ke Madinah pada tahun 622M.
Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam setiap tahun bagi takwim hijrah. Namun tahun Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan kalender Hijrah.
Makna Disebalik Logo Maal Hijrah
Tarikh Cuti Maal Hijrah 2024
Awal Muharam 2024 adalah hari cuti umum bagi setiap negeri di Malaysia. Pada tahun ini, tarikh cuti Maal Hijrah 2024 jatuh pada 7 Julai 2024 bersamaan dengan 1 Muharam 1446.
Tema Maal Hijrah 2024 / 1446H
Tema Maal Hijrah 2024 / 1446H : Al-Falah Pemacu Malaysia Madani
Pengenalan Al-Falah
Al-Falah digubal bersandarkan kepada falsafah dan semangat “Bersama Mencapai Kejayaan” yang menjadi moto harian fardhu solat oleh semua umat Islam.
Asas kejayaan yang sebenar adalah berlandaskan konsep al-falah iaitu meliputi ciri-ciri yang digariskan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 yang bermaksud
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan serta perkataan sia-sia, mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, merekalah orang yang melampaui batas dan mereka yang menjaga amanah serta janjinya dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya mereka itulah orang yang berhak mewarisi – yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”
Maksud kesejahteraan dan kejayaan tersebut seiring dengan tema sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani.’
Salah satu lafaz azan ialah kalimah yang bermaksud ‘marilah menuju kejayaan (al-falah).’ Sebahagian ulama menjelaskan bahawa laungan azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah berdasarkan hadis daripada Ibn Umar RA dalam suatu peristiwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Seruan untuk mengecapi kejayaan amat penting sehingga menjadi sebahagian daripada kalimah dalam lafaz azan. Kejayaan sebenar hanya dapat digapai apabila setiap manusia menjadikan Allah SWT sebagai keutamaan melalui kesempurnaan akidah, ibadah dan akhlak.
Al-Falah mengandungi inisiatif-inisiatif yang terdiri daripada 5 Teras, 10 Fokus dan 5 Nilai penghayatan bersama.
Objektif Al-Falah
- Menggariskan teras-teras strategik untuk dicapai oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun 2023 hingga 2027.
- Membentuk kesatuan fikrah, gerak kerja, dan nilai-nilai bersama seluruh kepimpinan agensi dan warga kerja Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menjayakan pelan tranformasi yang disepakati bersama.
- Memandu penglibatan dan sokongan umat Islam di segenap peringkat dalam menjayakan visi kesejahteraan Malaysia Madani.
Pelan Tranformasi Al-Falah
5 TERAS, 10 FOKUS
1. Pentadbiran Islam Mampan
- Fokus 1: Pengislahan Dasar & Tadbir Urus Institusi Islam
- Fokus 2: Pemantapan Penyelidikan dan Persuratan Islam
2. Kesejahteraan Insan
- Fokus 3: Kemampuan Ekonomi dan Kebajikan Sosial Islam
- Fokus 4: Pengukuhan Perpaduan Ummah dan Keharmonian Tamadun
3. Kemuliaan Syariah
- Fokus 5: Memartabatkan Perndangan & Kehakiman Islam
- Fokus 6: Penghayatan Nilai Masyarakat Madani
4. Kepimpinan Berdaya Cipta
- Fokus 7: Pengukuhan Kepimpinan Generasi Muda dan Komuniti
- Fokus 8: Pemerkosaan Media dan Keseniaan Islam
5. Kehormatan Institusi Islam
- Fokus 9: Keunggulan Pendidikan Islam dan Dakwah Berhikmah
- Fokus 10: Pemodenan Prasarana Institusi Islam
5 NILAI AL-FALAH
- Ilmu
- Integriti
- Itqan
- Istiqamah
- Ikhlas
10 FOKUS AL-FALAH
1. Pengislahan Dasar dan Tadbir Urus Institusi Islam
Penilaian dan pembaharuan dasar dan tadbir urus Hal Ehwal Agama sejajar dengan Maqasid Syariah dan agenda pembangunan Malaysia Madani meliputi peningkatan profesionalisme, kecekapan, inovasi tadbirurus serta tatakelola pentadbiran Islam yang cekap, telus, mesra dan berkualiti.
2. Pemantapan Penyelidikan dan Persuratan Islam
Menyemarak penyelidikan ilmiah dan persuratan menerusi pengukuhan program kajian, persidangan dan penerbitan ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya ilmu dan berbudi tinggi.
3. Kemampanan Ekonomi dan Kebajikan Sosial Islam
Mengukuhkan Institusi dan program ekonomi Islam serta kebajikan sosial sebagai tonggak pembangunan masyarakat dan negara Madani.
4. Pengukuhan Perpaduan Ummah & Keharmonian Tamadun
Memperluaskan jaringan kerjasama umat Islam di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan melestarikan budaya dialog harmoni antara penganut agama dan tamadun.
5. Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Islam
Mengangkat martabat perundangan dan kehakiman Islam bagi mencapai matlamat keadilan dan kemuliaan insan.
6. Penghayatan Nilai Masyarakat Madani
Penerapan kefahaman Islam yang syumul dan penghayatan nilai-nilai unggul Masyarakat Madani dalam kehidupan ummah.
7. Pengukuhan Kepimpinan Generasi Muda dan Komuniti
Pemantapan bakat dan daya kepimpinan dalam kalangan generasi muda dan komuniti menerusi pembinaan modal insan berkualiti.
8. Pemerkasaan Media dan Keseniaan Islam
Memperkukuhkan media, institusi penyiaran dan program kesenian berorientasikan Islam ke arah penyebaran ilmu dan maklumat yang tepat, sesuai dan bermutu.
9. Keunggulan Pendidikan Islam & Dakwah Berhikmah
Memantapkan Pendidikan Islam di segenap peringkat serta pengembangan program dakwah berhikmah sepanjang hayat.
10. Pemodenan Prasarana Institusi Islam
Menambahbaik dan memodenkan prasarana Institusi Islam sebagai pusat pendidikan, pengupayaan komuniti dan kesejahteraan Ummah.
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA ( JAKIM )
BERKENAAN MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446H / 2024M
Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M pada 7 Julai 2024 (Ahad) bersamaan 1 Muharram 1446H bermula pada jam 10.00 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.
TEMA SAMBUTAN MA’AL HIJRAH
Sempena Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, Kerajaan telah memilih tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”. Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah ( kejayaan ) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.
PENGANUGERAHAN TOKOH MA’AL HIJRAH
Seperti kelaziman, penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan diumumkan pada majlis tahun ini.
Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara. Tokoh juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.
PENGISIAN AKTIVITI SEMPENA SAMBUTAN MA’AL HIJRAH
- Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M ini akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Putra, Putrajaya pada 6 Julai 2024 jam 7.00 malam. Majlis ini akan dihadiri oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ).
- Pembacaan doa akhir dan awal tahun ini akan dipimpin oleh Sahibul Fadhilah Dr. Muhamad Zakuwa bin Rodzali, Imam Besar Masjid Putra. Justeru, umat Islam turut dijemput ke Masjid Putra dan disarankan untuk bersama-sama berdoa memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini.
- Kemuncak Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M ini adalah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
- Seramai 6000 orang tetamu dijangka akan hadir terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet, Duta-duta, Ketua-ketua Jabatan / Agensi Kerajaan, pegawai-pegawai kanan Kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan juga orang awam.
- Sambutan Ma’al Hijrah yang disambut saban tahun di negara kita ini tentunya mempunyai pengertian tersendiri bagi mendidik masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat kita contohi dan aplikasikan dalam hidup pada masa ini. Saya yakin setiap dari kita mempunyai perspektif dan pengertian masing-masing berkaitan peristiwa hijrah ini.
- Harapan saya, semoga sambutan Ma’al Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat selaras dengan tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” ke arah menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang diperkenal oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
- Majlis ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan Youtube JAKIM. Radio Nasional FM, Radio IKIM, Bernama Radio, dan Web TV JAKIM turut membuat liputan secara langsung. Selain itu, beberapa radio RTM juga membuat lintas langsung iaitu Salam FM, KL FM, Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).
Sekian.
DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
5 Julai 2024M / 28 Zulhijjah 1445H
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1446H / 2024M pada 1 Muharam 1446H bersamaan 7 Julai 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Anda boleh saksikan secara langsung bermula jam 9.30 pagi di RTM TV1 dan media sosial rasmi JAKIM.
- Facebook JAKIM: https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia
- YouTube JAKIM: https://www.youtube.com/@myjakim
- TikTok JAKIM: https://www.tiktok.com/@myjakim
- Instagram JAKIM: https://www.instagram.com/myjakim
- Portal Rasmi JAKIM: https://www.islam.gov.my/
Doa Akhir Tahun / Awal Tahun Islam
Sumber infografik: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM