Kenali Tebuan Tanah dan Langkah Yang Perlu Diambil Jika Disengat

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sengatan daripada serangga berbisa seperti tebuan tanah tidak mengenali sesiapa. Meskipun ia kecil, namun sengatannya boleh membawa maut lebih-lebih lagi buat anak kecil, warga emas dan individu yang mempunyai alahan terhadap lebah.

Dalam sebuah pemerhatian oleh Universiti Melbourne selama 13 tahun, kira-kira satu pertiga kes sengatan serangga beracun yang datang ke hospital adalah disebabkan lebah atau tebuan.

Negara kita juga tidak terkecuali dengan kes kematian akibat sengatan serangga ini.

Tambahan pula, satu atau dua sengatan daripada tebuan tanah boleh menyebabkan kanak-kanak sesak nafas dan kesakitan yang tidak terhingga.

Jadi, adalah penting untuk orang ramai kenali tebuan ini serta tahu kaedah pencegahan dan langkah kecemasan yang perlu diambil sekiranya disengat.

Nama Saintifik Tebuan Tanah

Mudah dikenali dengan tubuh berwarna hitam atau perang dengan jalur kuning yang besar pada abdomen kedua, tebuan ini dikenali sebagai Greater Banded Hornet dalam bahasa Inggeris.

Nama saintifik bagi serangga yang digeruni ini adalah Vespa tropica. Selain di Malaysia, ia juga boleh dijumpai di negara sekitar Asia Utara termasuk China, India, Filipina dan Indonesia.

Tebuan yang bersaiz kira-kira 2.5cm hingga 3cm ini merupakan pemangsa bagi lebah madu dan sering menyerang sarang dan menjadikan larva lebah sebagai makanan.

Sesuai dengan namanya, tebuan ini biasanya membina sarang di hutan khususnya di bawah tanah, atas pokok dan pada rongga pokok.

Apa Perlu Buat Jika Disengat Tebuan?

Orang ramai perlu tahu bagaimana untuk bertindak segera sekiranya disengat tebuan atau serangga berbisa.

Berdasarkan perkongsian daripada Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang, berikut merupakan langkah-langkah yang boleh diambil :

  • Tanggalkan pundi sengat menggunakan pengumpil atau penyepit.
  • Basuh dengan air dan sabun atau cecair antiseptik
  • Letakkan ais atau air sejuk di tempat sengatan
  • Bawa mangsa ke kecemasan dengan segera.
tebuan tanah
Sumber : Medical Xpress

Langkah Berjaga-jaga

Selain itu, orang ramai juga disarankan untuk mengambil beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan serangan serangga berbisa termasuk tebuan.

Elakkan anak bermain dalam hutan. Sekiranya perlu masuk hutan :

  • Elakkan meminum air tin berperisa manis
  • Pastikan memakai baju lengan panjang, seluar panjang dan bertopi
  • Elakkan menggunakan pakaian berwarna-warni kerana ia boleh menarik perhatian serangga
  • Elakkan memakai minyak wangi atau bau-bauan
  • Jangan mengibas kain atau baju untuk menghalau tebuan kerana pergerakan ini lebih menarik perhatian tebuan untuk menyerang.
  • Jangan sesekali mengganggu habitat atau sarang tebuan.
tebuan tanah
Sumber : Bird Ecology Study Group

Adalah penting untuk orang ramai berwaspada ketika keluar rumah dan memasuki hutan bagi mengelakkan serangan daripada serangga beracun seperti tebuan tanah.

Ikuti langkah pencegahan dan elakkan daripada mengganggu habitat haiwan serta serangga. Lakukan rawatan kecemasan segera dan bergegas ke hospital untuk pemeriksaan yang lebih rapi.

Sumber : nparks.gov.my, Twitter (X) Dr Redza Zainol, plantpono.org, Astro Awani

Baca Juga : Kena Sengat Lebah, Apa Perlu Buat dan Rawatan Yang Diperlukan?

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut